Bab 44 | Marah

3.5K 142 8
                                    

AISY terbangun sewaktu jam di dinding tepat menunjukkan pukul empat setengah pagi. Sakit betul belakangnya bila berbaring atas lantai begitu. Yalah, tak berlapikkan apa-apa. Hanya berlapikkan bantal di kepala. Dia bangun meninggalkan tempat lenanya tadi. Dia tengok Farhan lena betul tidur atas katil. Dia duduk seketika di birai katil.

Dulu, dia pernah dengar ceramah satu ustaz. Ustaz itu cakap, bila isteri terbangun pada sepertiga malam yang terakhir, bangunkanlah suami juga. Boleh tunaikan solat sunat tahajud secara berjemaah.

Bila teringatkan itu, Aisy rasa nak kejutkan Farhan. Perlahan-lahan tangannya memegang lengan Farhan.

"Abang..."

"Nak apa?" Kerutan di dahi Farhan jelas menunjukkan bahawa dia tengah serabut bila dikejutkan. Matanya masih terpejam.

"Awal lagi ni. Aisy terbangun. Kita buat solat tahajud nak?" Aisy mengajak dengan cara yang baik. Lembut saja madahnya.

"Haish. Kau buatlah sorang-sorang. Aku ngantuk." Farhan guna aku-kau. Kasar betul bahasanya. Kalau tak nak sekalipun, tak payahlah cakap kasar begitu.

"Dah, jangan kacau aku." Farhan siap tepis lagi pegangan Aisy di lengannya. Sampai hati.

Aisy terasa hati dengan respon Farhan. Tak sangka pula Farhan akan berbahasa aku-kau dengannya. Nak ajak solat sunat saja pun, bukan nak ajak buat benda tak berfaedah. Aisy dengan wajah redup, berjalan menuju bilik air bagi mengambil wuduk.

Selepas menunaikan solat sunat tahajud, Aisy tak terus tidur. Dia membaca Al-Quran pula. Dia memang rajin beribadah. Tanpa sedar, azan subuh sudah berkumandang. Almaklumlah, rumah mereka dekat dengan masjid. Laungan azan pun jelas kedengaran.

Farhan serta-merta terbangun. Sudah lama dia tak solat di masjid. Selalunya, ayahnya selalu mengajak dia dan Fakhri untuk solat subuh berjemaah di masjid. Tapi, Farhan selalu menolak kerana malas. Katanya, nak solat di rumah saja. Nampak sangat kemalasannya nak pergi masjid.

Fakhri pula sebaliknya, tak pernah tinggal solat di masjid pada waktu subuh.

"Abang tak solat dekat masjid?" Aisy menanya dengan elok, tapi boleh pula Farhan buat tak endah saja dengan soalan itu. Dia melangkah ke bilik air.

Aisy makan hati dengan sikap Farhan. Dia rasa seperti dirinya tak wujud saja di situ. Tak sampai lima minit, Farhan keluar dari bilik air.

"Abang, kita solat subuh jemaah boleh?" Aisy menundukkan kepalanya saat menanyakan soalan itu. Tak mahu pandang Farhan.

Farhan tak menjawab lagi, malah terus menghamparkan sejadah ke atas lantai, depan sedikit daripada Aisy. Gayanya seperti mahu solat berjemaah.

"Nak solat berjemaah ke tak ni?" Farhan tanya. Dia tengok isterinya masih lagi duduk di birai katil.

Aisy terus bangun tanpa melontar sebarang kata. Berbunga-bunga hatinya bila Farhan bersetuju untuk mengimamkannya solat subuh.

Selesai solat, Aisy mencium tangan Farhan. Farhan tak cakap apa-apapun. Aisy tahu, lelaki itu tak ada hati pun dengannya. Itu yang wajahnya nampak tak ceria bila dengan Aisy. Bercakap pun nak tak nak saja.

"Terima kasih sudi imamkan Aisy."

"Mm.." Itu saja responnya.

Aisy menutup aurat dengan sempurna sebelum dia turun ke bawah. Farhan pula bertemu dengan katil semula. Jam sembilan baru dia pergi kerja.

"Assalamualaikum." Dato' Mikail beri salam sewaktu dia baru masuk ke dalam rumah bersama Fakhri. Baru lepas menunaikan solat fardu subuh secara berjemaah di masjid.

"Waalaikumussalam," jawab Aisy dan Datin Fatiha yang muncul dari arah dapur.

"Papa dengan Ri pergi solat dekat masjid. Nak ajak Farhan, dia memang liat bangun awal. Nanti Aisy kejutkan dia awal sikit, manalah tahu dia bangun." Datin Fatiha bersuara dari arah dapur.

Takdir DiaWhere stories live. Discover now