DAHLIA menanti ijab dan kabul dengan penuh debaran di dada. Sesekali dia mengerling Aisy yang duduk di sebelahnya. Dia menggenggam tangan sahabatnya itu. Terketar-ketar tangannya angkara debaran yang teramat sangat. Sesekali dia memandang wajah ibunya yang juga duduk di sebelahnya. Puan Salma hanya melemparkan senyuman.
"Haiqal Hanafi bin Ahmad." Ayah Dahlia, Encik Rashid, selaku wali mula bersuara. Tangannya erat memegang tangan bakal menantunya itu.
"Saya," sahut Haiqal. Pucat wajahnya.
"Aku nikahkan dikau dengan anakku, Dahlia Annisa binti Rashid dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai."
Haiqal menghela nafas. "Aku terima nikahnya Dahlia Annisa binti Rashid dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai."
Encik Rashid memandang ke arah dua orang saksi di sebelahnya. "Saksi, sah?"
Dua orang saksi itu saling berpandangan. "Sah."
"Alhamdulillah." Encik Rashid meraup wajahnya tanda bersyukur kepada Ilahi.
Dengan sekali lafaz, Haiqal dan Dahlia sudahpun menjadi suami dan isteri yang sah dan halal di sisi agama. Dahlia menyeka air matanya lalu memeluk ibunya. Belum sempat mereka berkata-kata, bacaan doa selepas ijab dan kabul dimulakan.
Selesai bacaan doa, Dahlia mendakap pula sahabatnya di sebelah. Aisy rasa nak menangis.
"Alhamdulillah. Tahniah, Lia. Kau dah jadi isteri orang. Jadi isteri solehah, taat suami okey? Aku sayang kau," luah Aisy dengan air mata yang menitis-nitis ke pipi. Sedih, bakal berjauhan dengan Dahlia.
"Ya, Aisy. Aku pun sayang kau," balas Dahlia lantas mengusap belakang badan sahabatnya.
Haiqal duduk merapati Dahlia untuk sesi pembatalan air sembahyang. Dia menyarungkan cincin di jari manis isterinya. Bukan main malu-malu mereka saat itu. Dahlia menyarungkan pula cincin ke jari manis suaminya. Dia dan Haiqal mengukir senyuman di depan lensa kamera.
Haiqal menghela nafas sebelum mendekati Dahlia. Wajah Dahlia dipegangnya sebelum dahi mulus isterinya itu dikucup lembut. Saat itu, ramai yang menangkap foto mereka, termasuklah Aisy. Gembira dia melihat Dahlia asyik senyum sejak tadi. Dia tahu, sahabatnya pasti bahagia di hari bahagianya.
Setelah beberapa minit bergambar, semua tetamu yang hadir di majlis itu dijemput untuk menjamu selera. Dahlia dan Haiqal sibuk melayani tetamu-tetamu mereka dari meja ke meja.
Saat Aisy ingin mengambil minuman untuk dia dan ibunya, dia terserempak dengan seseorang. Fakhri? Fakhri langsung tidak buat muka hairan saat menyapa mata dengan Aisy. Dia yakin, Aisy sudah tentu ada di majlis perkahwinan Haiqal dan Dahlia.
Aisy tidak menegur. Bukan berniat sombong tapi jika tiada keperluan, lebih baik elakkan berbicara dengan kaum ajnabi.
Fakhri yang melihat kebisuan Aisy, terus sahaja menyapa.
"Erm, tak sangka pula kawan saya kahwin dengan kawan awak. By the way, awak sorang je?"
Aisy rasa soalan itu tak penting mana pun untuk dijawab. Tapi, demi menjaga air muka Fakhri, dia jawab saja.
"Saya dengan ibu." Aisy menundukkan wajah. Dia tidak boleh memandang wajah Fakhri. Ada satu perasaan yang menjalar dalam dadanya. Cinta. Ya, cinta.

ANDA SEDANG MEMBACA
Takdir Dia
RomanceAisy Wardina, seorang pengusaha homemade cake bersama sahabatnya, Dahlia. Kek mereka dilabelkan sebagai kek laku keras di Bandaraya Kuala Lumpur itu. Mana tidaknya, rasa kek mereka yang sedap dan tak terlalu manis itu sentiasa menjadi sebutan orang...