Bab 5 | Cinta?

3K 141 26
                                    

USAI Farhan membawa pulang lima bungkus martabak dari pasar malam, Datin Fatiha terus sahaja menjamahnya. Bukan dia seorang, Dato' Mikail dan Fakhri pun menjamu selera sekali. Farhan mulanya tidak mahu makan, katanya nak 'jaga badan'. Tapi, setelah dihasut oleh Fakhri, akhirnya dia menjamah juga martabak itu. Sedap, banyak juga yang dia telan.

"Sedapnya! Tak pernah mama makan martabak sedap macam ni," kata Datin Fatiha.

"Hmm, sedap. Jarang nak jumpa martabak sedap macam ni." Terangguk-angguk Dato' Rahman setelah menjamah dua keping martabak daging itu.

"Aisy yang jual... dengan kawan dia yang sorang lagi tu." Farhan baru teringat untuk memberitahu ibunya bahawa Aisy dan Dahlia yang menjual martabak itu.

"Lah, iya ke? Aisy dengan Dahlia yang jual?" Datin Fatiha agak terkejut. Hebat sungguh hasil air tangan Aisy dan Dahlia. Kek sedap, martabak pun sedap.

Farhan hanya mengangguk. Dia mengambil lagi martabak lalu disuapkan ke mulutnya. Sungguh dia tak sangka martabak ini sesedap itu.

"Mama tak tahu pula diorang meniaga kat pasar malam. Yang mama tahu, diorang meniaga kek aje. Mungkin diorang jarang-jarang je kut meniaga kat pasar malam," ujar Datin Fatiha. Cakap tentang kek, dia teringat akan kek yang dia tempah daripada Aisy dan Dahlia. Masih bersisa dua biji dalam peti ais.

"Siapa diorang tu?" Dato' Mikail mengerutkan dahi.

"Alaah, ingat tak masa majlis kahwin Auni dengan Ifrad hari tu awak ada makan kek coffee kan? Ha kek tu diorang lah yang buat," jelas Datin Fatiha, dengan pengharapan agar suaminya ingat tentang itu.

Dato' Mikail mengambil masa beberapa saat sebelum dia bersuara kembali.

"Oh, ingat, ingat. Sedap kek diorang. Dah boleh lawan kek Secret Recipe dah..."

'Biar betul? Sedap sangat ke kek diorang tu?' Farhan berbicara dalam hati. Dia tidak ada makan pula kek Aisy dan Dahlia ketika majlis itu. Jadi, dia tidak tahu mahu merumuskan antara sedap ataupun tidak sedap.

"Eh, saya ada tempah kek coffee diorang minggu lepas. Ada dalam peti. Mak Ti, tolong keluarkan kek tu dari peti ya," arah Datin Fatiha kepada Mak Cik Zati yang baru sahaja selesai menghidang minuman di atas meja.

"Baik, datin." Mak Cik Zati kembali ke dapur untuk mengambil kek itu.

Setelah diambilnya kek itu, Dato' Mikail dan Fakhri memakannya dengan berselera. Datin Fatiha sudah kenyang, tidak berdaya lagi untuk memakan kek itu.

"Han tak nak makan?" Datin Fatiha menanyakan anak sulungnya yang dari tadi asyik menatap kek itu. Hairan dia.

"Manis sangat ke? Han tak suka manis-manis sangat..." Ragu-ragu Farhan mahu merasa kek itu. Dia bukannya penggemar manisan.

Baru sahaja Datin Fatiha hendak bersuara, Dato' Mikail terlebih dahulu mengungkap bicara.

"Manis tu ada, tapi manis dia just nice. Try lah, Han. Papa guarantee Han mesti suka."

Setelah mendengar respon daripada ayahnya, Farhan terus memotong kek itu lalu meletakkannya ke dalam piring kecil. Dia menyuapkan kek itu ke mulutnya. Sekali mamahan, memang tidak terkata sedapnya. Terkejut juga Farhan, memang dia langsung tidak sangka rasanya sesedap itu.

"Sedap..."

"Kan? Ada lagi tinggal sebiji dalam peti. At first mama order tiga biji. Tapi tak tahu lagi sebiji tu lesap pergi mana." Datin Fatiha menjeling Fakhri. Dia tahu, anak bongsunya itu memang suka akan manisan. Siapa lagi kalau bukan Fakhri yang menghabiskan sebiji kek itu?

Takdir DiaWhere stories live. Discover now