KEDENGARAN bunyi enjin kereta bergema di pekarangan rumah keluarga Aisy. Aisy cepat-cepat keluar dari biliknya. Dia sudah elok mengenakan tunic labuh, skirt labuh dan tudung bawal labuh. Pendek kata, dia sudahpun menutup aurat sempurna
Tadi, Aisy dapat mesej daripada Datin Fatiha. Wanita itu kata mahu ke rumahnya. Aisy rasa hairan, buat apa Datin Fatiha mahu datang? Bila ditanya, Datin Fatiha tidak balas apa-apa. Makin curiga Aisy dibuatnya.
"Siapa datang, Aisy? Dahlia?" Puan Idayu keluar dari bilik dengan hanya memakai baju kelawar.
"Bukan, bu. Datin Fatiha datang. Erm, ibu bersiap lah ya? Aisy pun tak tahu kenapa Datin Fatiha tiba-tiba nak datang," kata Aisy. Menggelabah betul dia.
"Lah, iya ke? Ha yalah, kejap kejap. Ibu bersiap dulu." Puan Idayu berpatah balik ke bilik tidurnya yang hanya beberapa langkah dari kedudukannya.
"Okey, bu." Aisy menjawab sambil tangannya mencari-cari kunci pintu gril di tempat penyangkut. Entah kenapa dia jadi gelabah sangat.
"Ibu kata Datin Fatiha datang? Ada apa dia ke mari?" Encik Rahman datang menegur sambil memakaikan kopiah ke kepalanya.
"Haa? Oh, Aisy pun tak tahu, yah. Mungkin saja datang kut?" Aisy melontarkan andaian
Dia membuka pintu rumah. Saat itu, matanya terus tersapa Datin Fatiha. Jantung mula berdegup laju bila melihat Farhan dan Dato' Mikail juga ada sekali.
'Dato' dengan Farhan pun ada sekali? Biar betul? Kenapa diorang pun ada sekali? Tenang Aisy, tenang!' Aisy rasa nak tercabut jantungnya. Dia mula beristighfar dan berselawat dalam hati, mencari secebis ketenangan.
"Assalamualaikum," ucap Datin Fatiha.
Aisy baru perasan, ayahnya juga ada di sebelahnya.
"Waalaikumussalam," jawab Aisy, diikuti dengan Encik Rahman.
Aisy cepat-cepat membuka pintu. Rasa nak pitam bila Farhan melemparkan senyuman kepadanya. Dia macam tak percaya lelaki itu ada sekali.
Aisy mencium tangan Datin Fatiha, manakala ayahnya berjabat tangan dengan Dato' Mikail.
"Apa khabar?" Dato' Mikail bersuara.
"Alhamdulillah, sihat dato'." Encik Rahman menjawab pertanyaan khabar itu dengan rendah diri. Dia tahu Dato' Mikail itu majikan anak bongsunya, tapi baru pertama kali dia bersua dengan lelaki itu.
"Panggil Mi aje. Jangan panggil mi goreng sudahlah." Dato' Mikail berjenaka. Pandai betul dia menyesuaikan diri dengan orang.
Encik Rahman melepaskan tawa kecil. Tak sangka pula Dato' Mikail peramah orangnya. Aisy pula hanya sengih, tak mampu ketawa. Lagi-lagi bila dia perasan Farhan asyik menengoknya. Tak selesa betul dia!
Dia mengundur sedikit ke belakang saat Farhan mara sedikit ke arah dia dan ayahnya. Farhan mahu mencium tangan ayahnya.
"Ni anak ke ni?" Encik Rahman menanya. Dia tak pernah kenal Farhan. Tapi, dia dah boleh agak Farhan anak Dato' Mikail dan Datin Fatiha.
"Ha'ah, anak sulung," jawab Dato' Mikail.
"Nama apa?" Encik Rahman menanyakan Farhan. Dia perasan tangan Farhan sedikit menggeletar sewaktu bersalaman dengannya. Dah kenapa berdebar?
"Farhan, uncle." Farhan senyum nipis.
"Oh...." Terangguk-angguk Encik Rahman.
"Erm, mari masuk dulu?" Aisy membuka pintu seluas-luasnya untuk memberi ruang kepada tetamu.
"Terima kasih," ucap Datin Fatiha. Dia yang merasmikan langkah ke dalam rumah itu, kemudian baru Dato' Mikail, diikuti dengan Farhan selepasnya.
"Assalamualaikum. Lama tak jumpa. Sihat?" Datin Fatiha menyapa Puan Idayu yang baru saja keluar dari bilik. Dia terus bersalaman dengan wanita itu.
YOU ARE READING
Takdir Dia
RomanceAisy Wardina, seorang pengusaha homemade cake bersama sahabatnya, Dahlia. Kek mereka dilabelkan sebagai kek laku keras di Bandaraya Kuala Lumpur itu. Mana tidaknya, rasa kek mereka yang sedap dan tak terlalu manis itu sentiasa menjadi sebutan orang...