Bab 3 | Tuduh

3.7K 181 10
                                    

BEBERAPA hari kemudian, semua tempahan kek daripada pelanggan berjaya disiapkan oleh Aisy dan Dahlia, termasuklah tempahan tiga biji coffee cake daripada Datin Fatiha tempoh hari. Laju betul Aisy dan Dahlia buat kerja. Sebenarnya, mereka tidak mahu pelanggan tertunggu-tunggu akan kek mereka. Oleh itu, mereka akan siapkan tempahan secepat yang mungkin.

Aisy dan Dahlia kini sudahpun berada di dalam kereta untuk menghantar kek-kek yang telah ditempah tempoh hari.

"So, kita pergi rumah Datin Fatiha dululah kan? Sebab tak jauh mana dari sini." Dahlia bersuara.

"Ha'ah. Datin tinggal kat Vila Permata Qaseh kan?" Aisy ingin mendapatkan kepastian. Takut tersalah pula.

"Ha'ah. Fuyo! Rumah orang-orang kaya kat sana tu." Dahlia rasa tidak sabar pula nak masuk ke taman perumahan elit itu. Rekaan rumah banglo dua tingkatnya sangat cantik dan moden.

Sepuluh minit perjalanan, barulah mereka tiba di simpang Villa Permata Qaseh. Ada beberapa buah rumah sahaja di taman perumahan elit itu. Jadi, senang mereka hendak mencari rumah Datin Fatiha dan keluarga.

"Ni ha vila Datin Fatiha, vila nombor dua." Sebaik sahaja Dahlia berkata begitu, Aisy terus memperlahankan kereta Kancilnya lalu berhenti di tepi pagar vila mewah itu.

"Kita parking kat sini je lah."

"Okey." Dahlia menanggalkan tali pinggang. Aisy juga meniru perlakuannya.

Mereka mengeluarkan tiga kotak kek yang sudah tentunya berisi kek yang ditempah oleh Datin Fatiha. Dengan cermat kek-kek itu dikeluarkan. Sesudah kek-kek itu diambil, Dahlia mengatup pintu bonet memandangkan dia hanya membawa satu kotak kek berbanding Aisy yang membawa dua kotak.

Pintu pagar itu sudahpun terbuka saat mereka tiba di situ. Kelihatan ada dua orang jejaka yang melihat ke arah mereka saat mereka berjalan mendekati pintu masuk. Seorang pengawal keselamatan menuju ke arah mereka.

"Assalamualaikum, pak cik. Kami nak hantar kek yang Datin Fatiha tempah." Aisy memulakan bicara.

"Waalaikumussalam. Oh, korang berdua nilah yang nak hantar kek tu?" Pak Cik Razi menegur dengan ramah.

"Ha'ah, pak cik." Dahlia mengiyakan.

Kelihatan Datin Fatiha memunculkan diri dari dalam rumah. Cantik dan sopan sahaja pemakaiannya. Dia mengukir senyum sebaik sahaja menyapa mata dengan Aisy dan Dahlia.

"Assalamualaikum, Datin." Aisy mengucapkan salam dengan mesra.

"Waalaikumussalam." Datin Fatiha menjawab salam seraya kakinya masih melangkah mendekati Aisy dan Dahlia.

"Ma order kek ke ma? Banyaknya. Nak buat apa banyak-banyak?" Fakhri mengerutkan pelipis. Nak kata ada kenduri, bila masa pula? Sambil itu, dia menekan punat 'unlock' pada kunci keretanya.

"Alaah, saja mama order banyak. Lagipun kek diorang memang sedap. Ingat tak kita makan masa majlis kahwin Ifrad dengan Auni hari tu?" Datin Fatiha cuba mengingatkan Fakhri tentang itu.

"Oh, yang tu eh? Sedap, sedap. Ri suka." Fakhri sengih bila teringat kembali rasanya. Memang sedap tak terkata. Manisnya pun sedang-sedang sahaja.

Farhan hanya mengerling Aisy dan Dahlia seperti orang tak berperasaan. Serius sahaja mukanya. Nak senyum, jauh sekali! Entah, memang dilahirkan tidak ada perasaan ke apa?

Farhan tak ada nak puji ke apa sebab dia bukan macam Fakhri yang gemar memakan manisan. Dia jaga betul pemakanannya. Manalah dia gemar makan benda-benda yang manis.

"Ma, Han gi office dulu." Dia mencium tangan ibunya.

Sejurus selepas itu, Fakhri pula yang mengucup tangan Datin Fatiha.

Takdir DiaWhere stories live. Discover now