FARHAN bermundar-mandir dalam bilik kerjanya. Tertekan betul dia. Sampaikan tidur tak lena, makan pun tak selera. Bertambah susut berat badannya. Mukanya pula kelihatan sedikit cengkung. Mana taknya, makan pun tak berselera macam selalu.
Pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Farhan tahu, kalau begitu cara ketukannya, sudah tentu kawan baiknya, Naufal. Tidak ada sesiapa lagi selain lelaki itu. Belum sempat dia menjawab, pintu itu dikuak. Naufal masuk ke dalam.
"Han," sapanya.
"Mm?" Farhan nak tak nak saja menyahut. Dia kembali duduk di atas kerusinya. Raut wajahnya jelas menunjukkan tekanan yang dialaminya ketika ini.
"Cuba bagitahu aku, sampai bila kau nak macam ni?"
Naufal labuhkan punggung di atas kerusi yang berhadapan dengan kawannya itu. Sejujurnya, dia sudah lelah melihat Farhan asyik tertekan saja. Masalah peribadi di bawa ke tempat kerja. Siapa saja yang tak stres?
"Sampai aku dapat Fiya balik," jawab Farhan, laju betul otaknya memproses jawapan.
Ya, dia mahukan Fiya. Dia masih sayang pada gadis itu. Sedikitpun rasa cintanya tak hilang buat gadis yang bernama Fiya Razila.
"Kau still gilakan perempuan tu buat apa? Sedarlah, Han. Dia dah tak nak kat kau." Entah berapa kali Naufal mengulangi pesanan yang sama. Tapi, sedikitpun tidak terkesan di hati Farhan.
"Aku yakin dia still cintakan aku, Fal. Aku tak rasa yang dia dah move on. Dia tu masih sayangkan aku!"
Jauh dari sudut hati, Farhan amat yakin bahawa Fiya masih punya hati padanya. Tak mungkinlah semudah itu Fiya lupakannya? Sedangkan selama ini, gadis itu sering mengungkap cinta padanya.
"Kalau dia masih sayangkan kau sekalipun, dia dah tak nak dekat kau. Sebab apa? Sebab dia tak percaya kat kau. Yes, memang semua ni bukan salah kau. Tu semua salah dia sebab tak percayakan kau. Tu kelemahan dia, Han. Dia tak percayakan kau. Kalau dia percaya, kau fikir dia nak putus tunang ngan kau?" Panjang lebar Naufal memberikan penjelasan. Dia berharap agar Farhan faham apa yang disampaikannya.
"Kalau dia sayang aku, kenapa dia tak percayakan aku, Fal? Kenapa?"
Farhan mengerutkan dahi. Menangis? Memang sudah puas dia menangisi apa yang telah terjadi. Kini, setitis air mata pun tidak membasahi pipinya lagi. Dia sudah jera menangis.
"Aku pun tak tahu nak cakap macam mana, Han. Kalau dia sayang kau, sepatutnya dia percayakan kau," kata Naufal dengan bersungguh-sungguh.
"Entahlah, Fal."
Farhan memicit pelipisnya. Pening kepalanya saat ini, memikirkan tentang Fiya. Gadis itu sudah menyekat nombor telefonnya. Itu yang dia tak dapat menghubungi gadis itu. Bila dia pergi ke butik Fiya, Fiya terus saja menghilang. Farhan tahu Fiya ada, cuma gadis itu tidak mahu menemuinya.
"Aku rasa kau tak payahlah fikir pasal dia lagi. Entah-entah dia tak fikir pun pasal kau. Buat apa kejarkan orang yang tak nak kita, Han? Buang masa aje."
Naufal meluahkan pendapatnya. Dia rasa, lebih baik Farhan lupakan saja Fiya. Lagipun, gadis itu langsung tidak mahu bersua muka dengan Farhan lagi. Apatah lagi ingin kembali membuka hati pada lelaki itu?
"Macam mana aku nak lupakan dia, Fal? Macam mana? Cuba kau bagitahu aku."
Soalan itu akhirnya terpacul keluar dari mulut Farhan. Selama ini, lelaki itu bukan main berkeras tak mahu lupakan Fiya.
"Kau kena belajar terima hakikat yang Fiya tak ada jodoh dengan kau. Kau kena percaya yang Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kau, Han," pesan Naufal dengan lembut. Moga-moga pesanan itu mampu melembutkan hati Farhan yang tepu dengan ego.
![](https://img.wattpad.com/cover/236818742-288-k52324.jpg)
YOU ARE READING
Takdir Dia
RomantikAisy Wardina, seorang pengusaha homemade cake bersama sahabatnya, Dahlia. Kek mereka dilabelkan sebagai kek laku keras di Bandaraya Kuala Lumpur itu. Mana tidaknya, rasa kek mereka yang sedap dan tak terlalu manis itu sentiasa menjadi sebutan orang...