FAKHRI turun ke bawah menggunakan lif. Seperti hari-hari biasa dia akan kelihatan kemas sepanjang masa. Langkah diatus menuju ke ruang makan. Selepas Isyak, mereka sekeluarga akan makan malam bersama. Waktu itu, mama, papa dan abangnya sudah ada di meja makan.
"Ha, turun pun Ri. Mari makan," pelawa Datin Fatiha yang baru sahaja ingin menjamah nasinya.
"Ya, ma." Fakhri menarik kerusi lalu duduk bersebelahan dengan Farhan. Dia lihat, Farhan leka betul menjamah kek yang dibelinya daripada Aisy. Hai, tak pernah-pernah dia suka makan kek. Nampak selera betul Farhan memakannya.
"Hai, selera betul makan. Bukan kau tak suka makan kek ke?" Ada saja modal Fakhri untuk mengusik abangnya yang satu itu.
"Dah kek ni sedap, aku sukalah," jawab Farhan selamba.
"Pandai Aisy buat kek. Sampaikan yang tak suka makan kek pun, jadi suka," celah Datin Fatiha. Tersengih dia.
"Ha tulah..." Dato' Mikail menyebelahi isterinya. Nasinya dijamah sampai licin pinggan itu.
Farhan dan Fakhri tidak membuat sebarang reaksi malah terus menjamu selera. Fakhri siap tambah nasi. Sedap sangat masakan mamanya dan Mak Cik Zati.
"Sedap. Rugi ni kalau tak tambah. Kau Han, tambahlah. Rugi doh tak tambah." Fakhri menyiku lengan sasa abangnya. Badan dia dan abangnya, lebih kurang saja. Cuma Fakhri berisi sikit daripada Farhan.
"Tak nak aku. Kenyang dah. Kau tu, kenyang-kenyang pun melantak lagi," sindir Farhan. Ada saja dua orang ni nak bertikam lidah.
"Eh, suka hatilah, badan aku." Fakhri tak puas hati pula dengan kata-kata abangnya. Kalau makan banyak sekalipun, yang gemuknya dia, bukan Farhan.
"Dahlah. Tak baik cakap banyak depan rezeki ni," ujar Dato' Mikail tanda protes.
Datin Fatiha berfikir sejenak. Malam ini, dia mahu merungkai segalanya. Dia mahu berbincang dengan suaminya dan Fakhri tentang hal tengah hari tadi.
"Ri, abang, lepas makan ni kita duduk kat ruang tamu kejap. Ada hal mama nak bincang."
"Okey." Fakhri mengangguk dalam kehairanan. Nak bincang tentang apa agaknya?
Dato' Mikail juga menjatuhkan kepala tanda setuju. Farhan hanya membisukan diri. Dia tertanya-tanya juga. Apa sebenarnya yang nak dibincangkan oleh mamanya?
Selesai makan, mereka duduk di ruang tamu. Farhan juga ada sekali. Dia sebenarnya nak tahu juga apa perkara yang hendak dibincangkan itu. Dia rasa, tak salah kalau dia nak tahu.
"Apa yang nak dibincangkan tu, Tiha?" Dato' Mikail menanya.
Datin Fatiha tarik nafas dalam-dalam. Sudah tiba masanya untuk dia beritahu semuanya.
"Macam ni, mama sebenarnya teringin nak Aisy jadi menantu mama." Baru saja itu yang keluar dari mulut Datin Fatiha, terus tercengang Fakhri. Farhan juga sama.
Dato' Mikail tak terkejut, kerana dia sudah sedia maklum tentang itu. Cuma dia belum tahu tentang peristiwa tengah hari tadi.
"Maksud mama?" Fakhri bertanya walhal dia cukup memahami apa yang dimaksudkan oleh mamanya. Dia dah agak, Datin Fatiha mahu Aisy berkahwin dengannya.
"Maksud mama, mama kalau boleh nak Aisy kahwin ngan Ri," terang Datin Fatiha. Dia tak berdebar saat memberitahu tentang itu. Cuma dia berdebar untuk menanti jawapan Fakhri.
"Aisy... kahwin ngan Ri?" Fakhri taklah terlalu terkejut. Tapi, dia seolah-olah tak boleh tunaikan hasrat mamanya itu. Berat baginya.
Datin Fatiha angguk, mengiyakan.
YOU ARE READING
Takdir Dia
RomanceAisy Wardina, seorang pengusaha homemade cake bersama sahabatnya, Dahlia. Kek mereka dilabelkan sebagai kek laku keras di Bandaraya Kuala Lumpur itu. Mana tidaknya, rasa kek mereka yang sedap dan tak terlalu manis itu sentiasa menjadi sebutan orang...