FAKHRI menunggu kepulangan abangnya. Dia tahu, abangnya tengah merancang untuk memperisterikan Aisy. Gila! Bentak Fakhri dalam hati. Dia tak boleh terima abangnya nak berkahwin dengan Aisy. Ya, dia masih sayangkan gadis itu. Bukan itu saja, dia tak mahu Aisy merana bila berkahwin dengan abangnya.
Fakhri tahu, Farhan tak ada perasaan dengan Aisy walau sedikitpun. Dia juga tahu, Farhan merancang untuk bernikah dengan Aisy hanya kerana dendam lelaki itu terhadap dirinya.
Fakhri rasa resah. Wajahnya diraup kasar. Fikirannya kusut-masai ketika ini. Dia tak boleh biarkan Farhan berkahwin dengan Aisy. Dia tak boleh biarkan abangnya mempergunakan gadis itu demi melunaskan dendamnya terhadap Fakhri.
"Tak, aku tak boleh biarkan Han kahwin ngan Aisy. Gila apa dia nak kahwin ngan Aisy! Selama ni dia bukan main tak suka perempuan tu. Tapi, bila dia tahu aku nak kahwin ngan bekas tunang dia, dia terus buat keputusan nak kahwin ngan Aisy," monolog Fakhri di dalam biliknya.
"Dia tahu aku ada perasaan ngan Aisy. Dia nak buat aku jealous. Dia dendam ngan aku." Fakhri membuat tanggapan. Namun tanggapannya itu benar belaka.
Bila bunyi pintu bilik Farhan kedengaran, dia terus keluar dari biliknya. Farhan selalu tutup pintu bilik dengan kuat, macam nak runtuh pintu itu. Lagi-lagi kalau dia tengah marah, memang dia hempas pintu itu kuat-kuat.
"Buka pintu ni Han. Aku nak cakap ngan kau," tutur Fakhri sambil mengetuk pintu itu.
Tak sampai seminit, Farhan membuka pintu itu semula. Jujur, dia benci menengok wajah adiknya. Benci yang amat sangat! Dia tengok tepi bibir Fakhri yang masih kemerahan disebabkan pukulannya. Puas hatinya melihat luka itu.
"Kau nak apa?"
"Aku nak cakap pasal kita. Tak baik kita macam ni, Han. Kita kena bincang benda ni elok-elok." Fakhri bertutur dengan lembut. Manalah tahu, hati Farhan juga akan jadi lembut bak sutera.
"Dah buat keputusan kan? Kau nak bincang apa lagi?" Farhan bersuara malas.
"Masalahnya sekarang ni, aku rasa kau dah buat keputusan gila." Fakhri mula menunjukkan protesnya.
"Aku ke kau, buat keputusan gila?" Farhan menyindir. Seperti biasa, lengannya menyilang ke dada.
"Aku tak rasa aku buat keputusan gila. Aku nak kahwin dengan Fiya sebab aku cintakan dia sepenuh hati aku. Kau tu yang buat keputusan gila. Kau nak kahwin ngan Aisy sebab kau dendam ngan aku. Bukan sebab kau ada perasaan dengan dia!" Fakhri meninggikan suaranya. Dia betul-betul geram dengan keputusan abangnya.
"Siapa cakap aku tak ada perasaan ngan dia?" Farhan mengukir senyuman sinis. Mulalah tu lakonannya.
"Kau tak payah nak tipulah, Han. Aku tak kau tak ada perasaan dengan dia."
Begitu yakin Fakhri menuturkan kata-kata. Kalau dia tak yakin, dia tak akan berkata seperti itu.
"Aku tahu apa tujuan kau nak kahwin ngan Aisy. Kau nak buat aku jealous, kau nak sakitkan hati aku kan?" Fakhri bersuara lagi. Dia betul-betul tak puas hati dengan rancangan gila abangnya.
"Aku nak kahwin dengan Aisy sebab aku dah ada perasaan ngan dia. Kenapa, kau tak percaya? Kalau kau boleh jatuh cinta dengan Fiya, takkan aku tak boleh jatuh cinta ngan Aisy?"
Farhan memulang paku buah keras. Dia menahan geramnya. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia menyepak terajang adiknya sekarang ini.
"Dahlah, aku malas nak bertekak ngan kau," katanya lantas mengatup pintu biliknya.
"Wei, aku tak habis cakap lagi!"
Fakhri cuba menegah, namun tak berjaya. Tiada lagi sahutan daripada Farhan. Dia melepaskan keluhan berat sebelum kembali menapak ke biliknya. Stres!
YOU ARE READING
Takdir Dia
RomanceAisy Wardina, seorang pengusaha homemade cake bersama sahabatnya, Dahlia. Kek mereka dilabelkan sebagai kek laku keras di Bandaraya Kuala Lumpur itu. Mana tidaknya, rasa kek mereka yang sedap dan tak terlalu manis itu sentiasa menjadi sebutan orang...