Episod 102

35 6 0
                                        

MALAM itu hati Kayla menjadi tidak tenteram. Di atas meja, terdapat tiga gambar yang Kayla sempat ambil di tempat kerjanya tadi. Gambar keempat adalah gambar baharu bersaiz A3. Gambar semasa berswafoto berempat di Festival Seni dan Budaya.

Kayla meneliti perbezaan antara wajah Imran di dalam gambar 1980 dan 2022. Namun hampa kerana kedua-duanya memiliki wajah yang seiras. Bezanya hanyalah warna gambar itu. Tidak mungkin kalau mereka pelanduk dua serupa. Tetapi boleh jadi kalau ya.

Nisa pernah berkata majikan pertama TidH ialah Tuan Norizman. Boleh jadi kalau Tuan Norizman dan Imran ada hubungan keluarga. Mungkin.

Tiba-tiba, Kayla teringatkan Abang Iman. Ya, wajah itu juga seiras dengan mereka. Malah Imran, Izman dan Iman mempunyai huruf yang sama di hadapan. Kayla jadi bingung. Adakah ketiga-tiga orang itu benar-benar orang yang berbeza? Bagaimana kalau mereka adalah orang yang sama?

Kalaulah benar mereka orang yang sama, maka siapakah Imran yang sebenarnya? Peluh Kayla menitik di dahi walaupun penghawa dingin dipasang dalam bilik tidurnya. Ketika itu jam menunjukkan pukul 10 malam.

Kayla meneliti lagi wajah Imran. Sekali lagi tiada yang berbeza. Betul-betul serupa. Kayla keliru lagi. Ikutkan hati ingin sahaja dia bertanya sendiri kepada empunya badan. Dia perlu tahu kebenaran ini.

Tiba-tiba, lukisan potret seorang wanita menjelma dalam fikiran. Kayla menghidupkan telefonnya dan melihat gambar potret itu. Adakah ianya berkaitan dengan persoalan yang bermain dalam fikirannya sekarang?

Akhirnya dia mengeluh. Dia tidak dapat berbuat apa-apa sekarang. Tetapi suatu hari nanti dia pasti akan mengetahui rahsia Imran. Kayla percaya banyak rahsia yang Imran sembunyikan.

Sungguh, rahsia misteri ini hanya Tuhan yang tahu.

🕰 ♦ 🕰 ♦ 🕰

DALAM keheningan malam, seorang lelaki masih termenung di dalam jeriji besi yang dingin. Seperti dirinya juga. Mukanya langsung tidak berperasaan sejak hari pertama dia diheret di sini.

Walaupun pandangan matanya menembusi dinding putih itu, tidak pernah sekalipun dia melupakan orang yang menyebabkan dia ke sini. Siapa lagi kalau bukan lelaki yang dikatakan hidup abadi itu.

Wajahnya sering menjengah di minda. Lelaki itu mendengus. Suatu hari nanti, dia akan membalas perbuatan lelaki itu. Siang malam dia tetap merancang untuk menghancurkan lelaki itu.

Tiba-tiba, dia terdengar sesuatu bunyi yang terjatuh. Apabila ditoleh ke sisi, sebuah mangga besar terjatuh. Ada seseorang yang membebaskannya!

Seorang lelaki yang bertopeng putih dan berpakaian serba hitam membuka pintu jeriji besi itu. Lalu dia memberi isyarat kepada banduan itu untuk keluar.

Lelaki yang digelar banduan itu berkerut dahi. Pada awalnya dia hairan. Beberapa saat barulah dia sedar siapa gerangan orang itu. Dia pun bingkas bangun dan mengikuti lelaki yang berpakaian hitam itu.

Sepanjang banduan itu membuntuti langkahnya, dia melilau sekeliling. Rupa-rupanya bukan dia sahaja yang dibebaskan. Hampir seisi penjara kosong tanpa banduan. Bagaimana agaknya lelaki itu melepaskan mereka?

Selain itu, beberapa manusia yang berseragam biru bergelimpangan di sana sini. Pasti lelaki itu telah melakukan sesuatu sehingga para pengawal penjara tidak sedarkan diri. Ataupun mereka telah mati?

Semakin lama, jalan yang dilalui mereka menjadi gelap. Banduan itu meraba-raba dalam kegelapan. Mujurlah lelaki yang membebaskannya tadi menarik hujung bajunya sebagai bantuan. Agaknya pasti lelaki itu memakai alat penglihatan malam.

Akhirnya, mereka tiba di sebuah pintu yang besar. Apabila dibuka, keadaan sudah terang walaupun dibekalkan cahaya bulan.

Banduan itu melihat sekeliling. Akhirnya, dia keluar juga dari tempat ini!

550 TahunTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang