DALAM kesunyian malam yang menemani, Imran menatap sekeping gambar bersaiz A3. Di dalam gambar itu, terdapat dirinya, Kayla, Fayyad dan Budin. Semuanya tersenyum berlatar belakangkan suasana meriah di stadium.
Gambar itu adalah gambar berswafoto. Di hujung kanan, Fayyad yang memegang telefon. Sebelahnya Budin, Imran dan hujung kiri ialah Kayla yang membuat gaya 'peace'. Fayyad membuat gaya 'thumbs up', Budin hanya menayangkan barisan giginya yang cantik dan Imran melingkarkan tangannya di bahu Budin dan Fayyad.
Imran tersenyum melihat wajah kegembiraan masing-masing. Waktu itu Fayyad yang meminta untuk berswafoto dengan Imran. Katanya wajah Imran ada iras-iras Randy Martin. Alang-alang itu, lebih baik ajak semua sebagai tanda kenangan.
Tidak sangka pula akhirnya dia memiliki gambar bersama 'klon' sahabat-sahabatnya di zaman moden. Kalau di zaman Melaka dahulu, hanya lukisan. Kini gambar sudah wujud dan lebih cantik. Malah, juga berwarna.
Sudah tiga hari sejak tamat Festival Seni dan Budaya. Dia sangat bersyukur kerana festival itu menemukan dia dengan pelanduk dua serupa Udin dan Fannani. Terkadang dia tersenyum bagaimana mereka seolah-olah 'dilahirkan semula'.
Tiba-tiba, pintu biliknya diketuk. Muncullah Pak Afi selaku sahabat baik Imran yang sudah dianggap darah dagingnya sendiri. Dia tersenyum lalu berjalan menuju ke meja kerja Imran.
"Kau buat apa malam-malam buta ni? " soal Pak Afi.
Dia pun ternampak sekeping gambar bersaiz A3 itu. Imran pula menunjukkan gambar itu.
"Kau percaya tak tiga orang dalam gambar tu pelanduk dua serupa kawan-kawan aku? ".
Pak Afi berkerut dahi lalu mengambil gambar itu. Dia meneliti dengan teliti.
"Engkau ni biar betul, Bang Imran? Lain macam ni sampai tiga orang sahabat kau ada kembar".
Imran hanya tersenyum.
"Macam mana kau hairan, itulah yang aku nampak sendiri depan mata aku. Susah betul nak percaya".
"Isy, jelmaan semula ke ni? " soal Pak Afi.
Imran pun menyandarkan badannya ke kerusi. Seketika, dia menghembuskan nafas sambil melontarkan pandangan ke arah tingkap. Memandangkan kelipan bintang di langit malam.
"Entahlah Hanafi. Jujur jantung aku dah nak tercabut masa tu. Siapa je tak terkejut sahabat yang dah meninggal tiba-tiba muncul. Kau mesti ingat yang aku pernah kata Mawar serupa dengan Kayla? Bezanya, rasa terkejut itu lebih tinggi. Mungkin aku begitu terkejut bila dua orang sekali gus muncul " terang Imran.
"Jadi, perempuan sebelah kau ni lah 'jelmaan' Mawar? Mana satu 'Fannani' dan 'Udin'? ".
"Dialah Mawar ataupun namanya Kayla. Paling hujung tu 'Fannnani'. Sebelahnya pula 'Udin'. Tapi sekarang, Fannani dah jadi Fayyad. Udin pula Budin. Kau rasa nama mereka pun lebih kurang sama kan? ".
"Haahlah, memang sama. Eh, aku rasalah kan. Allah dah bagi peluang untuk kau jumpa orang seperti mereka! Ya tak? " ujar Pak Afi sambil meletakkan gambar di atas meja kerja.
"Memang itu yang aku rasa. Aku rasa ini memang satu nikmat yang bernilai. Dalam banyak-banyak nikmat, bertemu semula dengan mereka antara nikmat yang paling aku terharu. Kau tahu, hatiku jadi sebak terkenang mereka balik. Peristiwa hitam yang menimpa kami masih segar. Tetapi bila lihat mereka, aku rasakan mereka masih selamat dan bahagia ".
Pak Afi mengangguk. Tahulah dia bahawa Imran mula membuka sesi bercerita. Dia pun menarik sebuah bangku dan duduk di sebelah Imran.
"Imran, daripada kau cerita pasal kesedihan kau, apa kata kau cerita pasal kau dengan Kayla. Hah, apa cite masa kat Negeri Sembilan tu? Haritu aku tengok kau balik je dari sana, senyum tak henti-henti. Lama aku tunggu masa ni tau! " teruja lelaki tua itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
550 Tahun
General FictionIndra minum seteguk air penawar akibat badannya cedera terlalu parah. Dari kepala sampai ke kaki semuanya berdarah. Pakaiannya agak compang - camping, tak ubah persis fakir miskin. Semuanya kerana pertempurannya dengan jin harimau. Umpama durian ru...