Episod 106

44 6 0
                                        

Sudut pandangan Imran
Imran's POV


AKU berada di dalam sebuah tempat yang gelap. Gelapnya seperti di dalam kubur. Aku pernah berada dalam kegelapan begini. Bezanya di dalam kamar yang gelap. Namun kali ini, gelapnya luas.

Aku merasakan luasnya kawasan ini kerana dinginnya udara mencengkam tulang-belulangku. Tetapi, langsung tiada ku peduli kerana aku sudah terbiasa dengan kedinginan malam. Apatahlagi diriku yang dingin terbentuk dari kedinginan ini.

Dalam kegelapan aku berjalan tanpa bantuan. Aku berjalan lurus. Seolah-olah aku tahu di mana arah tujuku. Namun, semakin jauh aku berjalan, tiada apa yang menarik. Semuanya kosong. Seperti diriku.

Kendatipun perjalanan gelap dan dingin ini bagaikan jiwaku yang sepi, aku sebenarnya tertanya-tanya. Di manakah aku berada?

Aku melilau kiri dan kanan. Semuanya kelam dan sunyi. Aku berjalan lagi demi mencari penghujungnya. Entah kenapa aku merasakan bahawa aku sebenarnya tidak bergerak. Walaupun kakiku berjalan, tempat ini masih sama. Gelap.

Aku masih berjalan untuk mencari jalan keluar. Mungkinkah ini adalah terowong? Ataupun aku terperangkap di dalam sebuah lubang mahupun gaung yang membawaku ke persekitaran gelap?

Aku akhirnya menemui cahaya di hujung jalan. Bagaikan terowong, aku berlari pantas.

Semakin aku mendekat, semakin jelas penglihatanku. Rupanya cahaya itu datangnya dari seorang perempuan berpakaian serba putih. Dari atas sampai bawah.

Perempuan itu membelakangiku. Aku hanya memerhatikan dia dari belakang. Pakaiannya sungguh cantik. Gaun putihnya bersinar-sinar seperti bulan purnama. Dihiasi pula dengan kerudungnya dan juga mahkota perak berhiaskan permata.

Subhanallah, perempuan muslimah. Aku tersenyum dengan kecantikannya. Aku tahu siapakah dia. Kerana dialah satu-satunya perempuan yang sering muncul di dalam mimpiku.

Ya, ini adalah mimpi. Sebuah mimpi inilah yang membuat aku tidak mahu bangun dari tidur. Biarlah aku tidur selama-lamanya dan bersama dia di alam khayalan ini.

Andai sahaja aku bisa memerintah mimpi, pasti aku menjadi raja buat permaisuriku sendiri. Namun apakah daya, diriku berpakaian gelap. Seperti kegelapan yang dingin tadi. Kini silauan cahaya dari gaunnya membuatkan ruang ini terang-benderang.

Bibir bergetar saat mahu menyeru permaisuriku ini. Dia masih membelakangiku. Dia tidak akan menoleh selagi aku tidak memanggilnya. Untuk itu, aku harus kuat.

"D.. Dinda... " perlahan aku memanggilnya.

Seperti yang ku duga, dia menoleh. Hati ini sebak saat melihat wajahnya yang masih berseri-seri. Dia masih seperti dulu. Kulitnya mulus, bibirnya mungil. Matanya membulat saat dirinya dipanggil. Wajah ayu inilah yang aku rindukan.

Ya Allah, aku mahu menangis. Mataku mula berkaca. Perlahan-lahan senyuman diukir kepadanya. Setitik air mata terjatuh tatkala dia membalas senyuman. Sungguh aku rindukan senyuman isteriku ini.

"Kenapa kanda menangis ?" soal dia perlahan dengan suara yang lembut. Ya Tuhan, aku rindukan suara lunak ini. Suara yang sering menemaniku di kala suka dan duka. Suara yang sering mengiring dalam nyanyianku. Suara yang sering menghiasi rumahku dengan leteran.

Aku merasakan mataku mula kemerahan kerana aku sedang menangis. Malah, wajahku juga mula terasa hangat walau persekitaran kami dingin.

Aku sudah tidak dapat tahan. Aku terus menarik Mawar dalam pelukan. Aku memeluknya dengan erat. Di bahunya aku menghamburkan tangisan yang aku sudah tidak dapat dikawal. Tersekat-sekat nafas saat perasaan sebak ini menyelubungi hati. Ya Allah, aku sedang memeluk isteriku yang sudah meninggal dunia.

550 TahunTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang