Bab 10

23.1K 531 56
                                    

MARIAM duduk bersandar di atas sofa sambil menunggu kepulangan Syakilla. Tangan disilangkan ke dada. Wajahnya sugul tanpa reaksi. Satu keluhan berat dilepaskan. Bunyi enjin kereta menggamit perhatiannya untuk pergi menghendap di tingkap.

Syakilla melangkah turun dari perut kereta Gen2 milik Reza. Sempatlah sahabatnya itu tergedik-gedik dengan Reza sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

"Seronok kerja?" soal Mariam sebaik saja kaki Syakilla memijak muka pintu. Senyuman palsu menghiasi bibirnya.

Syakilla membetulkan kedudukan tali beg selempangnya yang melorot ke bahu. Kepalanya dianggukkan. Tak terkesan pun dengan soalan Mariam.

"Not bad. Seronoklah juga," balasnya.

"Kau kerja dekat mana sebenarnya?" Sekali lagi, Mariam mengulang kembali soalan semalam.

"Bernama Cooperation. Berapa kali kau nak tanya ni, Mariam?" Dengusan kasar terlepas di hujung ayatnya.

Mariam mengukirkan senyuman sinis. Menipu lagi? Kalau Hazril Irfan tak hantar mesej kepadanya, memberitahu keberadaan Syakilla, memang sampai sekaranglah dia ditipu hidup-hidup oleh Syakilla. Susah sangat nak jujur agaknya sampaikan terpaksa menipu.

"Kenapa tipu? Kenapa tak beritahu aku yang kau kerja satu office dengan Hazril?" soal Mariam, mahukan kepastian.

Syakilla tersentak. Tak lain tak bukan, Hazril Irfanlah yang bawa mulut tentang keberadaannya. Ah, tak guna punya Hazril!

"Perlu ke aku beritahu kau? Penting sangat ke?" soal Syakilla. Masih lagi berlagak biasa.

"Mestilah! Kita ni best friend. Mana boleh ada rahsia di antara kita. Nasib baiklah Hazril cakap kau kerja dekat tempat dia. Aku bukan apa, aku risaukan kau tapi, kau tipu aku. Susah sangat ke nak jujur dengan aku?"

"Kau cemburu ke?" soal Syakilla, sarkastik.

"Ya Allah! Aku tak fikir sampai ke situ pun, Kella. Atas sebab apa aku nak cemburukan kau? Bukannya kau nak ambil Hazril daripada aku pun, kan? Kau dah ada Reza. Macam aku cakap tadilah, aku risaukan kau."

Syakilla mencebik. Risaulah sangat! Geli pula dia dengar Mariam cakap macam tu. Rasa nak dikoyak-koyakkan saja mulut Mariam. Penuh dengan kepalsuan dan kepura-puraan.

"Dahlah, Mariam. Aku penatlah. Aku nak mandi lepas tu nak rehat kejap. Sorrylah, aku tipu kau. Aku bukan apa, aku tak nak kau fikir bukan-bukan aje bila aku kerja satu bumbung dengan bakal tunang kau," ujar Syakilla berbasa-basi.

Mariam menghantar langkah Syakilla melalui ekor mata. Punggungnya dihempas semula ke atas sofa. Rambutnya diselitkan ke belakang telinga.

Setibanya di bilik tidur, Syakilla melabuhkan punggungnya di birai katil. Beg selempangnya dicampak ke tepi. Wajahnya diraup kasar. Kenangan empat tahun yang lalu menerjah fikirannya.

SEORANG lelaki bertubuh tinggi lampai dan berkaca mata hitam berdiri tegak di hadapan Mak Ipah, iaitu pemilik kedai cendol paling laris di hujung kampung.

Syakilla yang dari tadi seronok menyantap cendol duriannya terus mengangkat muka memandang jejaka kacak itu. Cinta pandang pertama? Ceh!

"Siapa tu, abah?" soal Syakilla. Lurus jari telunjuknya menuding ke arah jejaka kacak yang sedang berbual-bual dengan Mak Ipah.

Pak Hassan turut memandang ke arah yang ditunjukkan oleh anak daranya. "Oh, itu anak kepada pemilik D'Popcornz. Dia dari Kuala Lumour. Dia datang ke kampung kita ni sebab nak pasarkan produk dia."

Anak kepada pemilik D'Popcornz? Setahunya, jenama itu adalah jenama paling laris di dalam dan luar Malaysia. Popcorn paling laris! Kalau dah namanya pun anak kepada usahawan terkenal mestilah lelaki kacak itu datangnya daripada golongan orang berada.

KERANAKU CINTA KAU [C]Where stories live. Discover now