AWAL pagi. Mariam mengangkat panggilan daripada bakal ibu mertua tidak jadinya itu. Keningnya saling bertaut. Pelik, tiba-tiba Datin Bahiyyah menelefonnya. Selama empat bulan Hazril Irfan dan Syakilla mendirikan rumah tangga, belum pernah sekali pun Datin Bahiyyah meringankan jari untuk mendail nombornya.
"Assalamualaikum, mama." Mariam menyapa. Lembut.
"Waalaikumsalam. Mariam sihat?" soal Datin Bahiyyah sambil sebelah tangan mencekak pinggang.
"Sihat. Mama sihat?" tanya Mariam pula.
"Mama pun sihat, alhamdulillah. Mama dengar cerita yang Mariam sekarang ada kat Singapura. Betul ke?"
Mariam membisu untuk seketika. Dia bersuara semula. "Ya, mama. Saja nak rasa tempat baru sambil tenangkan fikiran."
"Oh, yalah. Mama faham. Mama call Mariam bukan apa. Mama tengok malam tadi bukan main sakan Mariam dengan Syakilla berbalas-balas status kat Facebook. Kamu berdua ada masalah ke?"
Mariam menepuk dahi. Dia terlupa yang dia ada bersahabat dengan Datin Bahiyyah di Facebook. Bibir diketap.
"Err, tak adalah. Kami bergurau aje," nafinya. Gila ke apa nak beritahu yang dia sengaja menyindir Syakilla? Auto reject jadi bakal menantu!
"Oh, bergurau. Mama ingatkan apalah tadi. Yalah, mama call Mariam pun sebab Mariam yang mulakan status tu, kan? Itu yang mama nak tanya. Terkejut mama dengan papa baca semalam." Datin Bahiyyah tergelak kecil.
"Maaflah, kalau status kami tu dah buat mama dengan papa fikir yang bukan-bukan. Yam dengan Kella memang macam ni sejak zaman sekolah," balas Mariam sekadar menutup malu.
"Tak apa, mama okey. Saja call nak tanya. Kalau Mariam dah cakap begitu, tak apalah. Mama letak panggilan dulu. Assalamualaikum," pamit Datin Bahiyyah.
"Waalaikumsalam," Mariam menjauhkan telefon dari telinganya. Nafas dihembus kasar.
HAZRIL IRFAN membesar dan mengecilkan gambarnya bersama Mariam ketika mereka berdua meluangkan masa bersama di dalam panggung wayang. Dia menyimpan gambar tersebut di dalam memo telefon kerana dia yakin yang Syakilla tidak akan menggodam aplikasi itu. Hatinya berasa sebu.
"Bila awak nak balik, sayang." Hazril Irfan menggumam perlahan. Gambar teman wanitanya dikucup lama.
Sekilas dia memandang Syakilla yang sedang nyenyak tidur tanpa seurat benang pun. Dia menemui kepuasan bersama isterinya tetapi bukan cinta. Sehingga kini pun dia belum mampu mencintai Syakilla.
Entahlah, bagaimanakah dengan nasib anak yang dikandungkan oleh isterinya kelak? Dia sendiri tidak pasti. Iphone diletakkan semula ke meja sisi. Dipusingkan badannya menghadap Syakilla. Rambut isterinya diusik manja.
"Abang..." Syakilla merengek apabila lenanya diganggu."Hei, good morning. How about last night?" soal Hazril Irfan sambil tersengih nakal.
Syakilla tertunduk malu. Disembamkan wajahnya ke dada bidang Hazril Irfan. Dikucup dada suaminya.
"Tak puas, erk?" soal Hazril Irfan. Pinggang Syakilla dirangkul kemas.
"Hesy! Mana ada." Syakilla menggeleng. Menafikan soalan suaminya.
"Habis tu, kenapa cium dada abang? Nak goda abanglah tu." Semakin galak Hazril Irfan memerahkan lagi pipi Syakilla yang sememangnya dah merah dek usikannya.
Syakilla mempamerkan mimik muka tak puas hati. Semakin dilayan nanti semakin kuning otak suaminya. Cepat-cepat dilafazkan ungkapan cinta paling manis untuk Hazril Irfan.
"I love you ketat-ketat, abang." Bibir Hazril Irfan dikucup sekilas. Mulut suaminya agak berbau. Nama pun baru bangun tidur.
"I love you ketat-ketat jugak," balas Hazril Irfan. Dibalas kucupan isterinya.
Syakilla melirik sekilas memandang jam dinding. Matanya membulat besar. Dia sudah terlajak tidur.
"Eh, abang. Ya Allah, sorry. Dah pukul sepuluh pagi. Mesti abang dah lambat masuk office, kan?" soal Syakilla. Kalut.
"Chill lah. Abang boleh cakap kat papa yang abang tak masuk office hari ni." Hazril Irfan tergelak melihat kekalutan isterinya itu.
"Betul ke ni?"
"Ya, betul. Dapatlah kita luangkan masa satu hari ni kat rumah. Betul tak?" Terangkat-angkat sebelah kening Hazril Irfan.
Syakilla mengangguk. Diletakkan kepalanya di atas lengan sasa Hazril Irfan. Tubuh tegap suaminya dipeluk erat. Disembamkan wajahnya di ceruk-ceruk leher Hazril Irfan.
KAMALIN MASTURA menghidangkan sarapan untuk keluarganya. Selepas itu, dia menghempas punggung di sebelah anak sulungnya. Pinggan diambil. Sekeping lempeng diletakkan ke dalam pinggan. Sambil tumis disudu sedikit ke atas permukaan lempeng.
"Mas bila nak cari pengganti Adli?" soal Encik Najib kepada anak perempuan tunggalnya itu. Sudah tiga tahun Kamalin Mastura menjadi janda. Dia gusar sekiranya Kamalin Mastura tidak bertemu jodoh lagi.
"Entahlah, abah. Mas masih tak boleh nak lupakan bekas suami," terang Kamalin Mastura.
"Mana boleh macam tu, Mas. Bekas suami kau pun dah bahagia dengan isteri dan anak baru dia. Sampai bila nak hidup dalam kenangan silam?" Puan Rosmah mencelah.
Kamalin Mastura mengeluh. Masalahnya, masih adakah lelaki yang sudi memperisterikan janda sepertinya? Sukar mencari lelaki yang betul-betul ikhlas zaman sekarang. Dia sudah pernah terluka dicurangi, dia tidak mahu terluka lagi.
"Entahlah. Mas serahkan pada takdir. Kalau ada jodoh, adalah. Kalau tak ada, redha. Lagipun, Mas ada anak-anak. Mas boleh hidup bertiga dengan Anis dan Anissa," jawab Kamalin Mastura sambil tersenyum kecil.
"Kau cakap senanglah, Mas. Anak-anak kau ni perlukan kasih seorang bapa. Si Adli tu selepas ceraikan kau tak ada pun dia datang jenguk Anis dengan Anissa. Bagi nafkah lagilah, haram! Satu sen pun tak bagi," leter Puan Rosmah.
"Hmm, macam inilah. Anak kawan abah tu single lagi. Orangnya pun boleh tahan kacak. Cuma, dia muda lima tahun daripada kamu. Abah rasa, apa kata kalau kamu kenal-kenal dengan anak kawan abah tu. Manalah tahu ada jodoh?" cadang Encik Najib.
"Tak maulah, abah. Mas dah tua. Kekoklah kalau kenal-kenal dengan lelaki yang lebih muda. Lagipun, bukan ke lelaki muda perlu cari perempuan yang jauh lebih muda daripada dia? Dan perempuan berumur pulak kena cari lelaki yang lebih tua. Barulah rumah tangga tu matang," ujar Kamalin Mastura.
"Tak ada maknanya. Kau kahwin dengan Adli yang tua tiga tahun daripada kau pun tak bahagia. Kematangan seseorang tu terletak pada minda dan sikap bukan pada umur. Kadang, orang yang lebih muda ni lebih bijak kendali rumah tangga." Encik Najib membidas lancang.
Kamalin Mastura diam tidak berkutik. Dia mengeluh. Masalahnya, lelaki itu sudikah berkenalan dengan janda seperti dirinya?
"Nanti abah telefon kawan abah yang kat Negeri Sembilan tu. Abah bincang-bincang sikit. Kau kenal-kenal lah dengan anak lelaki dia. Lupakan kisah silam. Cari kebahagiaan kau," sambung Encik Najib.
Wanita berparas jelita itu tidak menjawab. Menggeleng tidak, mengangguk pun tidak. Dia hanya membisu.
YOU ARE READING
KERANAKU CINTA KAU [C]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...