HAZRIL IRFAN menggenggam kuat tangan Syakilla. Dari tadi isterinya menjerit-jerit menahan sakit meneran bayi. Sesekali diungkapkan pula rintihan pilu. Diusap-usap kepala Syakilla. Dia amat menghargai pengorbanan Syakilla yang sanggup bertarung nyawa semata-mata nak melahirkan bayi untuknya.
"Sakit, bang." Syakilla menangis hiba. Nafasnya turun naik menahan seksa. Tak cukup nafas dia nak meneran bayinya lagi.
"Tahan, sayang. Sikit lagi. Teran kuat-kuat," pujuk Hazril Irfan. Dahi yang dibasahi peluh itu dikucup lama.
Sementara di luar, Datin Bahiyyah dan Dato' Imran sudah tidak sabar. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Masing-masing tak sabar ingin melihat cucu yang dah lama ditunggu kehadirannya.
Hazril Irfan menarik nafas lega sebaik saja isterinya berjaya bertahan. Bayi kecil yang berada di tangan doktor wanita itu dipandang. Senyumannya melebar.
Syakilla turut tersenyum. Dia dah tidak berdaya. Tenaganya habis digunakan untuk melahirkan zuriat untuk suami yang amat dicintai.
"Thanks, Kella."
Selesai semuanya, Hazril Irfan mendapatkan anak lelakinya. Kepala bayi itu dikucup lama. Air mata jantannya mengalir. Maafkan papa, sayang. Maafkan, papa. Desis hati kecilnya. Perlahan-lahan dia mengazankan tepi telinga bayi kecil tersebut.
Terharu Syakilla yang melihat tindak-tanduk suaminya. Dadanya berasa sebak apatah lagi setelah telinganya samar-samar mendengar alunan azan yang dialunkan oleh Hazril Irfan.
"Siapa nama dia?" soal Datin Bahiyyah kepada menantunya. Diambil bayi itu daripada tangan Hazril Irfan selepas diazankan.
"Affan Mikdam, ma." Syakilla menjawab, lembut.
"Sedap nama tu. Pandai Kella pilih," puji Dato' Imran.
"Affan Mikdam, cucu nenda." Datin Bahiyyah mengucup pipi tembam bayi itu bertalu-talu.
Hazril Irfan melabuhkan punggung di birai katil. Diletakkan tangannya di atas kepala Syakilla. Rambut Syakilla diusik-usik manja.
"Nanti abang nak baby lagi tau. Nak banyak-banyak," usik Hazril Irfan.
"Untuk abang, sayang sanggup. Lahirkan seratus pun sayang sanggup," balas Syakilla lalu belakang telapak tangan suaminya dikucup lama.
"Keluar hospital nanti kamu berdua terus balik kampung, kan?" tanya Dato' Imran.
"Ya, pa." Hazril Irfan mengangguk.
"Yalah, tak apa. Papa boleh handle syarikat." Dato' Imran terus mengucup dahi cucunya. Comel sangat cucu sulungnya ni.
Hazril Irfan tersenyum memandang mama dan papanya. Mereka kelihatan sungguh bahagia bermain dengan cucu. Pandangannya beralih pula ke wajah pucat lesi isterinya. Hidung Syakilla dikucup sekilas.
PAK HASSAN bergegas keluar dari rumah selepas mendengar bunyi enjin kereta. Kelihatan kereta Porsche milik menantu kesayangannya itu terparkir elok di hadapan rumahnya. Hati tuanya sudah tidak sabar ingin bermain dengan cucu.
"Timah! Yusman! Killa dah balik ni!" Laung Pak Hassan dari luar rumahnya.
Terkocoh-kocoh Mak Timah mendekati suaminya. Yusman pula berjalan laju. Bibir mereka bertiga menguntum senyuman sebaik saja Hazril Irfan keluar dari perut kereta untuk membantu isterinya.
"Ya Allah, tembamnya pipi dia." Mak Timah mencuit manja pipi cucunya yang berada dalam dukungan Syakilla.
"Ini mesti berat, kan?" Yusman menduga. Hidung mancung anak saudaranya dicuit-cuit. Comel macam dia.
"Beratlah juga," jawab Syakilla.
"Siapa nama cucu abah ni?" soal Pak Hassan, mahukan kepastian.
"Affan Mikdam," jawab Syakilla.
"Sedap nama tu," puji Pak Hassan. Pandai betil anak dan menantunya memilih nama.
Syakilla tersenyum lagi. Perlahan-lahan dia mengatur langkah masuk ke dalam rumah dengan bantuan Mak Timah manakala Hazril Irfan mengangkat beg pakaian mereka berdua.
"Berpantang nanti tak boleh makan benda bukan-bukan. Kena ikut petua mak. Pantang seratus hari..."
"Seratus hari?" Hazril Irfan mencelah. Terkejut.
"Kenapa?" soal Mak Timah. Dahinya berkerut memandang menantunya yang terkejut macam nampak hantu.
Hazril Irfan menggelengkan kepalanya sambil tersengih persis kerang busuk. Belakang tengkuknya yang tak gatal digaru. Bertabahlah, Hazril.
"Pantang seratus hari tu arwah nenek kamu yang amalkan tapi kalau emak, empat puluh empat hari cukuplah. Cuma makan kena jaga, kena dengar cakap emak. Faham?" Sebelah kening Mak Timah terangkat tingggi. Tajam matanya menikam ke dalam anak mata Syakilla.
"Faham, mak."
"Kamu pulak... Dah tahu isteri tengah berpantang jangan dibedal pula," pesan Mak Timah sambil melirik menantunya.
Hazril Irfan terbatuk. Pesanan Mak Timah memang makan dalam sungguh. Macam tahu-tahu aje tahap gatalnya ni tak boleh dibuat main.
Yusman membantu membentangkan tilam kecil untuk anak saudaranya. Diletakkan Affan Mikdam di atas tilam itu. Diagah-agah anak saudaranya yang tengah tidur. Kalau menangis nanti pandai-pandailah maknya memujuk.
"Tak lama lagi makan nasi minyak abang pulak," usik Syakilla. Seronok dia mengenakan abangnya setelah mendapat tahu Yusman menjalinkan hubungan cinta bersama wanita mualaf.
"Insya-Allah, doa-doakan." Yusman tersenyum manis. Tak sabar rasanya nak mendirikan rumah tangga dengan wanita yang disayangi.
"Hadiff mana, mak?" soal Hazril Irfan. Matanya bergelintar mencari gerangan itu. Tidak senang hatinya jika Hadiff ada.
"Hadiff dah balik Seremban. Dia kan dah habis cuti. Raya nanti baliklah dia," jawab Mak Timah.
Hazril Irfan menarik nafas lega. Nampak gayanya tak payahlah dia berasa tercabar melihat Hadiff mengusik-usik isterinya seperti sebelum ini.
"Ada bau orang cemburulah." Syakilla tergelak sambil memandang suaminya yang dah tayang riak muka tak puas hati.
"Mestilah abang cemburu sebab sayang tu bini abang. Mana ada suami yang tak sayangkan bini," ujar Hazril Irfan. Diletakkan kedua-dua belah telapak tangannya ke pipi Syakilla. Kepala isterinya digoyang-goyangkan.
Mak Timah dan Pak Hassan saling berpandangan sesama sendiri. Mereka tumpang gembira melihat anak dan menantunya bahagia.
YOU ARE READING
KERANAKU CINTA KAU [C]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...