PASANGAN mempelai yang lengkap mengenakan busana berwarna kuning diraja duduk dengan penuh sopan di atas pelamin. Seri wajah mereka berdua semakin menambahkan kehangatan pada majlis persandingan yang diadakan di dalam Dewan Besar Seri Sarimah.
Berpusu-pusu tetamu yang hadir yang terdiri daripada golongan ahli korporat dan sanak-saudara untuk bersama-sama meraikan hari bahagia itu.
Hazril Irfan menoleh memandang isterinya yang anggun dalam solekan yang tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis. Dia tersenyum.
"Nah, pegang Mikdam. Photographer nak ambil gambar tu." Datin Bahiyyah menyerahkan Affan Mikdam kepada anak lelakinya.
Hazril Irfan mengkendong bayi comel itu manakala sebelah tangan lagi menggenggam kemas tangan isterinya. Kedudukan mereka sangat intim. Cahaya lampu yang terhasil daripada kamera berkelip-kelip menangkap detik-detik bahagia itu.
"Nampak serasi sangat anak dengan menantu kau," puji Datin Shuhada selaku sahabat baik kepada Datin Bahiyyah.
"Terima kasih." Datin Bahiyyah tersenyum.
"Alah, pengantin malu-malu pulak. Ambil mikrofon ni. Hiburkanlah orang-orang dalam dewan ni." Dato' Imran mengusik.
"Nak buat ap..." Belum sempat Hazril Irfan menghabiskan ayatnya, lagu terlebih dahulu berkumandang.
Mak Timah dan Pak Hassan terus menoleh memandang anak menantu mereka yang berada di atas pelamin. Tersenyum-senyum pasangan suami isteri itu dibuatnya.
Jauh di sudut hati, Pak Hassan tidak sangka yang anak perempuannya mampu memikat hati lelaki kaya. Walaupun cara Syakilla salah namun kini dia nampak anak dan menantunya bahagia.
Syakilla menyanyikan terlebih dahulu lagu Cinta Terakhir milik Ari Lasso. Dia memandang ke dalam mata Hazril Irfan. Redup pandangan diberikan kepada suaminya.
Hazril Irfan terkedu seribu bahasa. Sepanjang mereka bergelar suami isteri, Syakilla tidak pernah menyanyi di hadapannya. Hatinya berasa sebak. Tangannya naik membelai pipi Syakilla. Dia tidak menyangka Syakilla mempunyai suara yang merdu.
"Pengantin lelaki, nyanyilah sekali." Dato' Imran bersuara lagi.
Syakilla terus berhenti menyanyi untuk memberikan laluan kepada suaminya. Dia nampak Hazril Irfan seperti takut-takut hendak mengeluarkan suara.
"Uit, nyanyilah...." Dato' Imran mendesak.
Hazril Irfan berdeham. Mikrofon dicengkam kuat. Diberikan Affan Mikdam kepada isterinya. Nafas ditarik. Kelopak mata ditutup rapat. Dikeluarkan juga suara emas itu akhirnya.
Syakilla mengangguk kecil mengikut rentak suara suaminya. Tangan Affan Mikdam digenggam lembut. Tidak dia nafikan suara suaminya agak sedap walaupun sedikit garau dan nyaring.
"Pengantin perempuan, sambung!"
Seronok Dato' Imran mengenakan pasangan suami isteri itu memandangkan dia sedang duduk di meja paling hadapan.
Syakilla tersenyum kepada bapa mentuanya. Setelah selesai menyanyi, Hazril Irfan membawa Syakilla memotong kek tiga tingkat yang ditempah oleh Datin Bahiyyah.
"Lepas selesai makan semua kita ambil gambar pulak." Datin Bahiyyah bersuara.
Mak Timah, Yusman dan Pak Hassan menghampiri Syakilla. Tersenyum mereka bertiga memandang Syakilla.
"Cantik anak abah," puji Pak Hassan.
"Tengoklah anak siapa." Syakilla tergelak kecil. Dilentokkan kepalanya ke bahu Pak Hassan. Lengan Pak Hassan dipaut.
YOU ARE READING
KERANAKU CINTA KAU [C]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...