Bab 64

34.5K 709 71
                                    

YUSMAN mencapai telefonnya yang menjerit-jerit minta diangkat. Tertera satu nombor yang tidak dikenali di skrin telefonnya. Panggilan itu dijawab. Telefon dilekapkan ke telinganya.

"Assalamualaikum. Awak sihat?"

Buntang matanya mendengar satu suara lunak yang amat dirindui. Dari mana Mariam dapat nombor telefonnya.

Facebook...

Ya, Facebook! Dia ada letak nombor telefonnya di dalam Facebook. Mungkin Mariam ada melawat akaun Facebooknya tapi, atas tujuan apa Mariam menelefonnya?

"Waalaikumussalam. Saya sihat. Ada apa awak call saya, Mariam?" Dingin nada suara Yusman membalas walaupun hatinya memberontak merindukan kenangan mereka bersama.

Walaupun Mariam telah melukakan hatinya tapi, terlalu sukar untuk dia melupakan Mariam. Selepas dia berpisah dengan bekas kekasihnya, iaitu Dina, dia bercinta pula dengan Mariam. Entah kenapa terlalu payah untuk dia melupakan Mariam.

"Saya nak minta maaf di atas khilaf saya selama ni. Saya tahu yang saya dah lukakan jati awak. Saya curang belakang awak. Saya punca awak kemalangan," ujar Mariam sayu.

"Benda dah lama. Saya dah maafkan awak," balas Yusman. Perlahan.

"Tapi adik awak masih tak maafkan saya. Dia masih berdendam dengan saya."

Berkerut dahi Yusman. Apa kena mengena Syakilla pula ni? Rasanya Mariam telefonnya sebab nak minta maaf tapi, tiba-tiba kaitkan adiknya sekali. Hatinya mula tertanya-tanya.

"Apa maksud awak?" soalnya.

"Hazril, adik ipar awak tu bakal tunang saya, Man. Sepatutnya dia bertunang dengan saya di hari Syakilla dan Hazril menikah. Syakilla sengaja perangkap Hazril supaya kahwin dengan dia. Syakilla buat macam tu sebab nak balas dendam untuk awak," beritahu Mariam. Air matanya yang mengalir diseka menggunakan hujung lengan bajunya.

Menggeletar tangan Yusman. Maksudnya, selama ini Syakilla telah menipunya sekeluarga? Telefon dicengkam. Panggilan daripada Mariam dimatikan segera.

Dia bingkas melangkah keluar dari bilik tidurnya. Terdengkot-dengkot langkahnya merapati ibu dan ayahnya yang sedang duduk menonton televisyen sambil ditemani oleh Syakilla, Hadiff dan Hazril Irfan.

"Eh, Man. Cakap nak tidur awal?" tegur Pak Hassan.

Yusman diam. Tajam matanya merenung Syakilla yang sedang duduk di sebelah Hazril Irfan. Pandangannya jatuh memandang perut adiknya yang membulat seperti belon.

"Apa adik dah buat?" soal Yusman.

"Adik buat apa?" soal Syakilla pula.

"Abang tanya sekali lagi. Apa adik dah buat!" jerkah Yusman. Bergema jeritannya di setiap sudut rumah.

Syakilla lekas berdiri. Sebelah tangan diletakkan ke perutnya. Tajam matanya memandang Yusman.

"Adik buat apa?"

"Anak dalam perut tu... Anak tu anak zina, kan?" Lurus jari telunjuk Yusman menuding perut adiknya. Tak relalah dia nak mengaku anak di dalam perut Syakilla tu anak saudaranya.

Terkejut semua orang yang mendengar tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh Yusman. Terutama sekali, Hazril Irfan. Dia turut berdiri menyaingi ketinggian isterinya.

"Apa abang cakap ni?" soal Syakilla. Dadanya berasa sempit. Sakit hatinya apabila status anak yang dikandung dipersoalkan.

"Adik dah tipu abang. Adik tipu emak dengan abah. Adik cakap adik kena perangkap tapi adik yang perangkap orang!"

Syakilla terkedu. Dia mati akal. Macam mana abangnya boleh tahu? Tajam matanya memandang Hazril Irfan kemudian beralih memandang Hadiff. Bibirnya menggeletar.

"Abang salah faham ni. Anak ni anak halal. Anak ni ada masa kami buat hubungan suami isteri." Hazril Irfan cuba menegakkan keadilan. Tidak mahu status anaknya disalah ertikan oleh Yusman.

"Jangan bela isteri kau bila dia dah buat salah. Dayus namanya tu. Kenapa tak beritahu kami apa yang Killa dah buat kat kau?" Tajam mata Yusman memandang Hazril Irfan.

"Ya Allah, apa yang dah jadi ni? Mak tak fahamlah." Mak Timah mencelah.

"Mariam call Man, mak. Mariam dah beritahu semuanya. Killa dan Hazril kahwin bukan sebab Hazril yang perangkap dia tapi, dia yang perangkap Hazril," jelas Yusman.

"Allahuakhbar! Betul ke ni, Syakilla? Betul ke Killa yang perangkap Hazril?" soal Pak Hassan, tak percaya. Tak mungkinlah anak gadisnya sanggup menconteng arang di mukanya sekeluarga.

Syakilla dah teresak-esak. Bibirnya bagaikan digam. Dia bungkam untuk membela dirinya sendiri. Segala penipuannya telah pun terbongkar. Semuanya disebabkan mulut celopar Mariam. Semakian meluak-luak rasa bencinya kepada Mariam.

"Kalau Mariam tak beritahu abang, sampai mati kau tipu keluarga, kan?" Kepala Syakilla ditunjal-tunjal. Geram Yusman dengan perangai adiknya.

"Abah izinkan kau pergi Kuala Lumpur sebab kau cakap nak cari kerja. Nak ubah nasib keluarga tapi, kau pergi menyundal dengan tunang orang!" Kali ini tangan Yusman naik ingin menampar pipi Syakilla tetapi lekas dihalang oleh Hazril Irfan.

"Benda dah lepas. Saya pun dah maafkan kesilapan dia." Lembut Hazril Irfan mengujar. Sebelah tangannya naik merangkul bahu isterinya.

Pak Hassan terduduk lemah di sofa. Selama ini dia terlalu percayakan anak perempuannya. Konon ingin mencari kerja. Rupa-rupanya, buat benda tidak elok di belakangnya.

"Adik buat semua ni sebab abang. Kenapa abang masih nak bela lagi perempuan macam tu!" Herdik Syakilla. Tangisannya semakin menjadi-jadi.

"Sebab abang masih cintakan dia!" Luah Yusman dalam tengkingan.

Membulat mata Hazril Irfan. Abang iparnya masih menyimpan perasaan kepada bekas teman wanitanya? Dia berdeham.

"Saya dah tak nak fikir pasal benda yang dah lepas. Saya pun dah maafkan Kella. Keluarga saya pun ikhlas terima dia," ujar Hazril Irfan lagi.

"Tapi anak abah dah pedajal kamu. Dia kata kamu yang perangkap dia. Ya Allah, Syakilla... Kenapa kamu buat macam ni?" Pak Hassan meraup wajah yang kelihatan rungsing manakala Mak Timah membisu sedari tadi.

"Sebab Killa cintakan Hazril," luah Syakilla dalam tangisan.

"Takkan disebabkan cinta kau sanggup buat benda bodoh!" jerkah Yusman sekali gus menolak tubuh Syakilla sehingga tubuh adiknya terhantuk kuat di bucu sofa.

Syakilla merintih kesakitan. Perutnya dipegang. Air matanya semakin galak mengalir. Hazril Irfan tergamam. Dia tidak sempat menghalang tindakan drastik abang iparnya.

"Yusman!" Mak Timah menengking.

KERANAKU CINTA KAU [C]Where stories live. Discover now