GELAK ketawa anak-anak Tengku Zubaidah memenuhi ruang makan yang besar itu. Masing-masing tergelak dengan keletah Haiqal dan Farhan yang banyak mulut. Ada sahaja yang mahu digaduhkan mereka namun keduanya akan berbaik selepas sepuluh minit bergaduh. Gaduh-gaduh sayang kata orang.
"Ma, tengok Farhan ni Ma, tak percaya pulak yang Haiqal lagi berbakat dari dia." Rengek Haiqal mengada.
"Eee perasannya. Ma, jangan layan dia ni Ma. Perasan lebih. Celah mana entah bakat dia tu." Cebik Farhan tidak mahu kalah dengan abangnya itu. Haiqal membalas dengan penumbuk ditunjukkan
"Eee haa kang!" Farhan pula mengacah-acah seperti mahu membaling sudunya pada Haiqal.
Tengku Zubaidah sudah memegang kepalanya.
'Ah sudah mula dah dua orang ni,' gumam Fareiz sendiri lalu tertawa kecil melihat gelagat kedua-dua adiknya itu. Begitulah mereka berdua. Bertekak sahaja kerjanya.
Namun jauh di sudut hati, Fareiz sangat bersyukur apabila dia dapat merasai saat-saat bahagia ini bersama keluarga. Sungguh dia berharap agar keadaan ini akan berterusan sehingga akhir nafasnya. Bahagia bersama keluarga adalah satu hadiah yang tidak ternilai baginya.
Teringat kembali Fareiz akan peristiwa tiga tahun lepas dimana Fiona, tunang kesayangannya meninggalkannya yang masih terlantar sakit. Tika itu, hanya Tuhan sahajalah yang tahu betapa putus asanya dia untuk meneruskan hidup. Orang yang dipercayai hampir tiga tahun itu sekelip mata berubah menjadi manusia yang tidak punyai rasa bersalah mahupun simpati. Namun apa yang paling membuatkan hubungan kekeluargaan mereka teruk berantakan adalah ketika papanya, arwah Tengku Mukris membuat keputusan untuk mendermakan sebahagian ginjal kepada dirinya. Malah Allah lebih sayangkan arwah papa, Allah tukarkan nyawa papa dengan nyawanya. Papa sanggup bertarung nyawa demi untuk menyelamatkan dirinya.
Kemalangan yang berlaku dahulu itu bukan sahaja hampir meragut nyawanya, namun kemalangan itu menghancurkan hubungan kekeluargan mereka. Mereka adik-beradik mula renggang dan sering bergaduh. Semuanya berubah secara mendadak.
Haiqal pergi jauh membawa diri, begitu juga dengan adik bongsunya itu, iaitu Farhan. Haiqal yang tidak dapat menerima hakikat kematian Tengku Mukriz, sering mengamuk dan akhirnya nekad membuat keputusan untuk keluar dari rumah. Farhan pula mengambil keputusan untuk tinggal di asrama kerana dia tidak mahu memperbesarkan lagi pergaduhan antara dia dan Haiqal. Hakikatnya, masing-masing tidak mampu menerima hakikat pemergian papa mereka yang amat mereka sayangi itu.
Setelah setahun mencari, barulah Fariez berjaya memujuk kedua-dua adiknya untuk kembali ke rumah agam mereka itu. Walaupun mereka bertiga sudah kembali tinggal bersama, hubungan mereka masih tidak seakrab yang dulu. Masing-masing ada haluan hidup sendiri dek kerana kerjaya masing-masing. Dan sudah pastinya, jurang antara dirinya dan Haiqal adalah paling besar kerana adiknya itu masih tidak boleh menerima apa yang telah berlaku dengan sepenuh hati.
Tengku Zubaidah pula sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung. Kematian Tengku Mukris dan keregangan hubungan mereka tiga beradik membuatkan ibu mereka itu semakin tertekan. Begitu juga bagi Fareiz, terlalu perit untuk dia menerima hakikat bahawa dirinyalah penyebab utama kematian papanya itu. Puas Fareiz mencari kekuatan untuk menerima semua yang telah terjadi. Jika bukan kerana Ivy yang sentiasa ada di sisi, rasanya dia tak akan secekal ini. Ivy yang banyak mendorongnya untuk terus bangkit dan meneruskan hidup seperti dahulu. Di saat Fareiz kehilangan semua impian, kerjaya dan keluarganya, Ivylah yang sentiasa berada di sisi untuk membantunya meneruskan kehidupan sehingga kini. Sungguh dia amat bersyukur dipertemukan dengan gadis sebaik Ivy.
"Hoi abang!" Panggil Farhan sedikit kuat, seraya menyedarkan Fareiz dari lamunan.
Spontan Fareiz tersentak. "Hah kenapa?"
"Kenapa apa pulak? Kau tu hah mengelamun kemain jauh," usik Haiqal sambil menggeleng dan kedengaran tawa kecil dari Tengku Zubaidah dan Farhan.
Fareiz hanya tersengih lalu menyambung kembali suapannya.
'Alamak, tertangkap lah pulak.'
ANDA SEDANG MEMBACA
Izinkan Aku Bernafas
RomanceIAB = Sinopsis Bahagia. Semua orang inginkan bahagia. Namun, bukan mudah untuk merasai bahagia. Bahagia merupakan 'hadiah' dari sesuatu yang diperoleh dari kesabaran, kesedihan, pengorbanan dan ketabahan. Senyuman sendiri tidak hanya dinamakan bahag...
