"Umi! Abah!" Lana berlari keluar dari biliknya.
"Lanaaaa." Tegur Haji Lakiman lembut. Dia agak tidak selesa melihat anak gadisnya itu terjerit-jerit. Agak tidak sopan dari kaca mata penglihatannya.
Lana segera mendapatkan abah dan uminya di ruang tamu.
"Abah! Umi! Lana dapat masuk universiti." Lana menunjukkan surat tawaran universiti yang telah dicetak dari laman web.
"Kamu dapat universiti mana? Al-Azhar ke?" Hajah Maimon teruja.
Lana kecewa. "Apa umi niiii... Kan Lana dah kata Lana tak nak belajar kat luar negara. Universiti dalam Malaysia pun bagus-bagus juga." Lana tarik mukanya.
"Eh! Abang-abang dengan kakak kamu semua belajar dekat Al-Azhar. Jadi kamu pun kenalah belajar dekat Al-Azhar. Barulah terjamin masa depan." Hajah Maimon meninggi diri.
"Terjamin masa depan apanya umi. Tengok kak chik tu, susah nak dapat kerja. Last-last jadi personal shopper je." Laju Lana membidas.
"Lana. Kenapa cakap dengan umi macam tu?" Lembut Haji Lakiman menegur.
Lana memandang abahnya. "Tak lah abah. Lana kan dah bagitau Lana tak nak sambung belajar dekat Universiti Al-Azhar. Lana tak nak duduk jauh dari umi dengan abah.
Haji Lakiman menutup kitab yang dibacanya. Spek mata dibuka dan diletakkan di atas meja bersama dengan kitab yang dibacanya.
"Belajar dekat Universiti Al-Azhar tu kan bagus. Belajar pula bidang Pengajian Islam." Lembut Haji Lakiman bersuara.
"Lana takde memohon pun dekat Universiti Al-Azhar tu abah." Laju Lana menjawab.
"Apa????" Hajah Maimon terkejut mendengar pengakuan Lana. "Kamu ulang sekali lagi Dewi Lana binti Haji Lakiman."
"Errr. Errr. Sebenarnya umi abah, Lana tak mohon pengajian dekat Universiti Al-Azhar tu."
Hajah Maimon bangun dari duduknya. "Kamu dah kenapa Lana? Abang dan kakak kamu semua belajar kat sana tau!" Suara Hajah Maimon naik satu oktah.
"Lana dah beritahu umi dan abah kan. Lana nak belajar dalam bidang perundangan. Lana dah mohon nak sambung pengajian di UIA. Dah dapat pun." Perlahan-lahan Lana menghulurkan surat tawaran yang telah dia cetak tadi.
Hajah Maimon mendengus. "Kamu memang degil." Hajah Maimon memeluk tubuhnya.
"Lana." Haji Lakiman berbicara. "Abah bukan tak suka Lana nak belajar dalam bidang undang-undang tu. Tapi kalau boleh, abah tak nak Lana jadi seorang peguam. Bila Lana terpaksa mewakili pelanggan yang bersalah disisi undang-undang, dalam erti kata lain Lana terpaksa berlaku tidak adil dengan berusaha keras untuk memenangkan pelanggan Lana walaupun Lana tahu sebenarnya dia salah." Haji Lakiman mengeluarkan hujahnya.
"Tapi abah..."
"Takde tapi-tapi lagi. Abah tak terima keputusan Lana ni." Tegas Haji Lakiman membuat keputusan.
"Umi... Lana nakkk..." Belum habis Lana berbicara, uminya mengangkat kedua belah tangan.
"Keputusan abah muktamad. Umi akan ikut keputusan abah." Bicara Hajah Maimon sebelum dia bangun meninggalkan Lana dan suaminya.
"Abah. Lanaaa." Lana hampir menangis. Cita-citanya yang satu sejak dari kecil untuk menjadi seorang peguam untuk membela nasib insan yang teraniaya hampir terpadam. Abah dan uminya menolak mentah-mentah akan cita-citanya.
Haji Lakiman kembali menyarungkan kaca matanya. Kitab di meja kembali dibuka.
Lana mengerti. Jika abahnya kembali fokus kepada pekerjaan asalnya maka itu bermakna perbincangan di antara mereka telah selesai dan keputusan muktamad telah dibuat. Sebarang rayuan tidak akan dilayan sama sekali.
Lana mengesat air mata yang hampir luruh dari bibir matanya. Dia kembali ke dalam bilik dengan hujan air mata yang semakin lebat.