"Dewi Lana!" Hujung lengan baju kurung Lana ditarik lembut.
"Iya Dewi Lasrah binti Haji Lakiman." Lana menjawab dengan suara dalam.
"Muka kamu ketat sangat ni kenapa?" Lasrah mendekati adiknya itu. Jarak antara mereka dirapatkan. Dia dapat rasakan bahawa adik bongsunya itu sedang berduka cita.
Lana memeluk badan kecil Lasrah. "Kak Chik...."
"Abah dengan umi tak izinkan kamu sambung belajar dalam bidang undang-undang ya?" Lasrah mencari riak wajah adiknya yang berada dalam pelukannya.
Perlahan Lana mengangguk namun wajahnya langsung tidak diangkat.
Keluhan kecil terkeluar dari mulut Lasrah.
"Berat sangat ke permintaan Lana ni Kak Chik?" Lana mengangkat wajahnya. Mengharapkan jawapan dari kakaknya itu.
Lasrah melepaskan pelukkannya terhadap Lana. Dia sendiri serba salah. Sedangkan dia sendiri pernah berada di situasi yang sama dengan Lana. Namun, kerana dia tidak mahu menjadi anak yang tidak patuh pada kehendak umi dan abah, dia rela korbankan perasaannya.
"Lana pun tahu kan Kak Chik pernah berada dalam situasi Lana." Lasrah bangun dari duduknya di birai katil.
Lana mengangguk perlahan.
"Kak Chik nak jadi doktor tapi abah dengan umi suruh Kak Chik belajar pengajian islam." Kata-kata Lasrah terhenti. Perlukah dia menyokong akan keinginan adik bongsunya itu atau menentang akan keinginan adik bongsunya itu.
"Tapi...... Kak Chik gembira ke dengan apa yang Kak Chik buat?" Lana memandang Lasrah. Dia amat mengharapkan pengertian daripada Lasrah.
"Kak Chik tak gembira dik." Lasrah menghela keluhan berat. Seberat perasaannya tatkala ini. Sebolehnya dia tidak mahu Lana menerima nasib sepertinya. Demi untuk tidak mengecewakan hati umi dan abahnya, Lasrah menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin sepertimana yang diingini kedua umi dan abahnya. Dia sanggup korbankan cita-citanya demi untuk memenuhi hasrat umi dan abahnya itu. Namun, terlalu sukar untuk Lasrah mencari kerjaya yang bersesuaian dengan bidang pengajiannya. Dan akhirnya Lasrah terpaksa membina kerjaya sebagai personal shopper bagi pembeli-pembeli di atas talian.
"Jadi Kak Chik sanggup ke tengok Lana pun tak gembira?" Lana cuba untuk mendapatkan sokongan dari kakaknya itu. Hanya pada Lasrah dia berharap agar memahaminya. Abang sulung dan abang keduanya sekarang sudah menjadi tenaga pengajar di tahfiz dan Lana yakin abang-abangnya akan memihak kepada umi dan abahnya. Hanya Lasrah yang tidak berjaya mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelulusannya.
Lasrah berpaling memandang Lana. "Life is hard Lana. Kak Chik tak nak Lana struggle macam Kak Chik nanti."
"Jadi Kak Chik kena tolong Lana convince umi dan abah supaya izinkan Lana sambung pelajaran dalam bidang undang-undang." Kesempatan tersebut diambil sepenuhnya oleh Lana. Dia ingin Lasrah membahaskan alasan yang munasabah ini bagi pihaknya.
Lasrah serba salah. "Tapi Kak Chik tak nak lukakan hati umi dan abah."
"Makanya Kak Chik tegar melihat adik Kak Chik ni struggle seperti Kak Chik?" Lana tayang muka suram.
Lasrah diam. Akalnya ligat berfikir. Membantu Lana memilih bidang pengajian yang bersesuaian dengan kehendak pasaran itu perlu namun kehendak umi dan abah yang inginkan anak-anak mereka penuhi dada dengan ilmu agama itu juga baik.
"Kak Chik...." Lana memegang bahu Lasrah.
Lasrah memandang Lana yang kelihatan sugul. Hatinya mudah terkesan tatkala melihat adiknya sugul.
"Lana bukannya belajar undang-undang dekat universiti biasa. Lana nak sambung belajar dekat UIA. Universiti Islam Antarabangsa. Mestilah universiti ni lebih islamik dan menitikberatkan hal agama. Bukan begitu?" Lana masih cuba meyakinkan kakaknya.
Lasrah pandang Lana. "Betul jugak tu. Nama pun Universiti Islam kan." Lasrah mengangguk sendiri. Dia mulai terpengaruh dengan kata-kata Lana.
Mata Lana kembali bersinar. "Macam mana Kak Chik? Boleh tak Kak Chik tolong Lana convince umi dengan abah?"
"Kalau macam tu Kak Chik cubalah. Tapi Kak Chik tak janji tau." Lasrah jawab serba salah.
Lana tersenyum lebar. "Takpe Kak Chik. Kak Chik nak cuba pun Lana dah bersyukur sangat. Lepas tu terpulanglah pada umi dan abah." Sekurang-kurangnya ada dikalangan ahli keluarga yang lain menyokong cita-cita Lana.