Lana pandang Zack yang begitu tekun memandu meredah kegelapan malam.
"Kenapa pandang saya macam tu?" Zack perasan akan bebola mata Lana yang begitu asyik memandangnya.
"Awak borak apa dengan abah tadi?" Akhirnya perkara yang bermain-main di benak fikirannya sejak tadi disuarakan. Abahnya dan Zack rancak berbual berdua di pangkin luar rumah selepas mereka selesai menikmati makan malam.
Zack senyum melihat Lana yang penuh kerutan di dahi. Lagaknya seperti seorang detektif yang berfikir panjang untuk menyelesaikan kes.
"Senyum pulak. Saya tanya ni. Awak borak apa dengan abah tadi. Nampak macam serius je sampai abang Amirul pun tak join perbualan awak dengan abah tadi."
Zack ketawa kecil melihat Lana. Ternyata agak lucu cara Lana untuk cuba menyiasat butir bicara perbualannya dengan abahnya.
"Ketawa pulak dia." Lana mulai geram. Dia memeluk tubuhnya.
"Saya takde borak apa pun dengan abah tadi." Zack jawab bersahaja. Matanya fokus pada jalanraya.
Lana berpaling memandang Zack. "Punya lama awak dengan abah berborak dekat pangkin tu sampai mengantuk saya tunggu awak, boleh awak cakap takde borak apa-apa."
Zack pandang Lana sekilas. "Betullah. Saya dengan abah mana ada berborak."
"Habis tu? Takkanlah main tenung-tenung je tadi sampai dua jam?" Lana tidak puas hati.
Zack ketawa mengekek dengan reaksi Lana. "Hal orang lelaki berborak apa pun awak nak ambil tahu."
Lana jeling Zack yang masih ketawa mengekek itu. "Menyampah!" gerutu Lana.
"Betul. Saya takde borak apa-apa dengan abah, cuma abah je interview saya tadi." Zack mula bercerita setelah tawanya mulai reda.
Lana sedikit terperanjat mendengar jawapan Zack. "Abah interview apa? Fasal kerja? Fasal keluarga? Fasal perancangan kewangan di masa hadapan?" Lana tanya bertubi-tubi.
Zack geleng kepala. "Nope. Semua soalan itu tiada dalam skema soalan abah."
Mata Lana buntang. "Habis tu abah tanya fasal apa?" Lana tanya tak sabar.
"Surah Al-Mulk. Surah Al-Kahfi. Surah Yasin. Surah As-Sajadah. Surah Al-Waaqiah. Surah Ar-Rahman. Surah Ad-Dukhan dengan Surah Al-Insan." Tenang Zack beritahu.
Mulut Lana terlopong mendengar jawapan Zack itu. "Seriuslahhhh."
Zack sengih pandang Lana. "Mulut tu tutup. Masuk lalat nanti." Sempat Zack mengusik Lana.
Lana menutup mulutnya. Zack dijeling tajam.
Ketawa Zack melihat telatah Lana.
"Takkanlah abah tanya tentang surah-surah hafalan. Unbelievable." Lana masih tidak percaya.
"Percayalah. Itulah kenyataannya."
"Errrr. Habis tu awak dapat hafal tak semua surah-surah tu?" Lana tanya lambat-lambat.
Zack pandang Lana. "See my leg lah!" Zack jawab bersahaja.
Lana mencemik. "Saya tanya serius ni."
"Eh! Saya jawab pun serius apa."
Lana pandang Zack dengan hati yang sebal. Dia terasa seperti dipermainkan.
"Alaaa. Saya dah hafal siap-siaplah. Itu soalan bocor." Zack akhirnya berterus terang selepas puas dia mempermainkan perasaan Lana.
"Abah beritahu awak awal-awal ke?"
"Apa pulak abah yang beritahu. Amirullah yang pecahkan rahsia."
"Haaaa?" Mulut Lana ternganga luas.
"Amirul dah hadapi interview sedemikian rupa. Dia yang beritahu saya suruh bersedia in case abah tanya."
"Aik. Menantu pilihan pun kena hadap interview jugak ke?" Lana bicara sendiri.
"Abah awak cuma nak pastikan anak-anak perempuan dia dapat suami yang berkualiti yang mampu membimbing isteri dan anak-anaknya ke syurga." Sayu Zack berbicara.
"Tapi awak berjaya hafal semua surah tu kan?"
Zack angguk perlahan. "Tapi itulah. Saya dapat soalan bocor. Jadi saya rasa seolah-olah menipu abah pula."
Lana mengeluh perlahan. "Awak dah berusaha sehabis baik. Takde istilah menipu pun macam tu." Lana cuba memujuk hati Zack.
"Takpelah. Suatu hari nanti saya akan beritahu abah akan perkara sebenar."
Lana pegang lengan Zack yang beralas kurta lengan panjang. "Jangan! Bukan sekarang."
Zack pandang tindakan refleks Lana itu. "Baik. Tapi tangan awak tu."
"Errr. Maaf. Maaf." Lana segera tarik kembali tangannya. Hatinya berdebar-debar.
Begitu juga dengan hati Zack.