Bahagian 116

57 4 0
                                    

Lana menyenduk nasi ke dalam pinggan Zack dengan cermat. Selepas itu dia meletakkan pinggan itu di hadapan Zack.

"Terima kasih." Zack pandang Lana sambil tersenyum.

Lana balas senyuman Zack. Kemudian dia duduk di kerusi sebelah Zack.

"Lana. Duduk sebelah umi ni." Hajah Maimon bersuara tiba-tiba. Agak tegas bunyinya.

Lana akur. Dia bangun dari duduknya lantas mengambil tempat di sebelah uminya. Dia malas untuk bertelagah dengan uminya. Cukuplah mereka sering bermasam muka sejak akhir-akhir ini.

"Maaf pakcik nak tanya ni. Memandangkan kita tak pernah berkenalan secara sempurna sebelum ni, boleh pakcik tanya nak panggil nama kamu apa?" Haji Lakiman memulakan perbualan mereka bagi memecah ketegangan yang dibawa oleh isterinya.

Zack senyum. "Nama saya Zack Zafran. Pakcik nak panggil Zack boleh, nak panggil Zafran pun boleh juga." jawab Zack ramah cuba untuk bermesra.

"Kalau macam tu pakcik panggil kamu Zafranlah. Sedap sikit bunyinya." Haji Lakiman membuat keputusan.

"Takde masalah pakcik. Guru agama saya pun panggil saya Zafran. Lebih sedap disebut katanya." Zack senyum lebar.

"Kalau diikutkan, nama Zafran ni bermaksud kejayaan abah. Jadi elok jugalah kita panggil Zafran. Supaya sentiasa beroleh kejayaan." Amirul menyampuk sambil menepuk lembut bahu Zack yang duduk di sebelahnya.

"Eloklah kita panggil dengan nama yang mempunyai maksud yang baik-baik supaya beroleh kebaikan. Bila kita panggil nama dia, umpama doa kepadanya." Haji Lakiman mengiyakan kata-kata Amirul tadi.

Hajah Maimon sekadar menjeling melihat perbualan di antara suaminya dengan Amirul dan Zack. Lana dan Lasrah sekadar memasang telinga sambil menikmati makan malam mereka.

"Makanlah Zafran. Jangan malu-malu." Haji Lakiman menyendukkan kari udang ke dalam pinggan Zack.

"Terima kasih pakcik." Zack terkejut dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh Haji Lakiman. "Sedap makcik masak kari udang ni." Zack memuji makanan pada malam itu. Pujian itu cuba dilemparkan kepada Hajah Maimon yang kelihatan agak tegang di meja makan.

"Lasrah yang masak bukannya makcik masak." Hajah Maimon menjawab dengan nada sedikit keras.

Mendengarkan jawapan isterinya itu, Haji Lakiman berdehem perlahan.

"Kalau sedap makanlah banyak sedikit." Tambah Hajah Maimon tiba-tiba seolah-olah terpaksa bersikap ramah.

Serentak Lana dan Lasrah tertawa kecil tatkala umi mereka secara tiba-tiba bersikap ramah terhadap Zack.

"Tengah makan jangan ketawa. Tak elok." Haji Lakiman menegur lembut kedua-dua anak perempuannya itu. Hakikatnya dia juga ingin tertawa dengan tindakan refleks isterinya tadi selepas dia berdehem sebagai tanda protes atas kelakuan isterinya yang dilihat agak kasar dalam melayani tetamu mereka.

Hajah Maimon menjeling tajam akan Lana yang Lasrah yang masih menahan tawa. Amirul hanya berdiam mendengar teguran ayah mertuanya itu.

"Tadi kamu ada sebut tentang guru agama kamu. Kamu ada mendalami apa-apa pengkhususan ke?" Haji Lakiman kelihatan berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai latar belakang Zack.

"Takde belajar apa-apa bidang pengkhususan pun pakcik. Saya cuma belajar dan perbetulkan balik hidup saya. Belajar solat dengan betul dan sempurna. Perbaiki bacaan mengaji. Itu sahaja. Takde pengkhususan sunnah ke apa ke takde. Saya sekadar betulkan kembali hidup saya." Zack berterus terang.

Haji Lakiman sekadar menganggukkan kepala sebagai tanda memahami penerangan Zack itu.

"Alhamdulillah, bila kita rasa kita berada di jalan yang salah, kita kembali ke fitrah. Cari guru yang boleh bimbing kita kembali ke jalan yang benar. Jangan malu bermula dari bawah, tetapi malulah jika kita tak buat apa-apa perubahan dalam hidup kita. Jangan sesekali kita merasa ujub. Rasa diri kita ni orang baik, orang-orang yang beriman tetapi kita memandang rendah pada orang-orang yang ingin berubah ke jalan Allah. Kita hakimi dia tanpa sebarang usul periksa. Sebab apa, kita rasa diri kita ni baik seolah-olah dijamin syurga tetapi sedikit je tanda hitam dihati boleh menbawa kita ke neraka. Allahualam." Amirul mencelah dengan nada suara yang lembut.

Hajah Maimon tersentak. Nasi yang dikunyah terasa kesat.

Haji Lakiman juga sedikit tersentuh. Petang tadi Amirul juga ada menyebut perkara yang sama kepadanya ketika mereka berjalan pulang dari masjid. Oleh kerana itu, Haji Lakiman cuba bersikap terbuka dengan kehadiran Zack pada malam ini.

"Kadang-kadang orang yang lebih berusia ni tidaklah sentiasa betul, orang yang lebih muda juga boleh menegur orang yang lebih berusia jika mereka melakukan kesilapan tetapi teguran itu perlulah berhemah dan tidak mengguris hati orang yang ditegur. Yang penting sentiasa bersangka baik. Teguran itu tanda sayang." Bait-bait kata Amirul petang tadi masih memberi kesan di hati Haji Lakiman.

LELAKI SEPERTI DIAWhere stories live. Discover now