Perlahan-lahan Lasrah meletakkan dulang di atas meja. Kopi didalam teko dituang perlahan ke dalam cawan. "Jemput minum abah. Jemput minum umi." Lembut Lasrah menolak cawan kopi ke arah abah dan uminya.
"Hmmm." Haji Lakiman meletakkan kitab agama ke meja. Kaca matanya turut ditanggalkan. "Lama ke kamu balik bercuti ni Kak Chik?" Haji Lakiman memulakan bicara.
Lasrah mengambil tempat di kerusi bersebelahan abah dan uminya. "Kak Chik balik 2 hari je abah."
Cawan kopi di meja diambil lantas Haji Lakiman hirup perlahan. Kemudian cawan itu diletakkan kembali ke meja.
"Kamu ada apa-apa nak beritahu kepada abah ke?" Haji Lakiman meneka. Melihat gerak geri anak gadisnya itu dia tahu ada sesuatu yang ingin disampaikan. Tambahan pula Lasrah pulang ke kampung secara tiba-tiba tanpa memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu seperti biasa.
"Errr abah." Lasrah tersenyum kelat.
"Kamu ada masalah ke Kak Chik?" Hajah Maimon menyampuk. Alas meja yang sedang dikait diletak ke tepi.
"Errr. Kak Chik takde sebarang masalah pun." Lasrah menjawab perlahan.
"Habis tu?" Serentak Haji Lakiman dan Hajah Maimon bertanya.
"Dewi Lana." Perlahan Lasrah menyebut nama adiknya itu.
Haji Lakiman dan Hajah Maimon mulai faham.
"Kenapa dengan Lana?" Haji Lakiman memandang Lasrah.
"Abah dengan umi pun dah tahu kan tentang tawaran ke universiti Lana." Lembut Lasrah berbicara. Bimbang apa yang bakal diperkatakan akan mengguris perasaan abah dan uminya.
Haji Lakiman menyandar di sofa. Barangkali cuba mendapatkan kedudukan yang selesa. Hajah Maimon kembali mengambil alas meja yang sedang dikait dan menyambungnya.
"Sekurang-kurangnya abah dengan umi dengarlah pendapat Lana." Lasrah seolah kesal melihat reaksi abah dan uminya.
"Abah cuma nak yang terbaik untuk anak-anak abah." Perlahan suara Haji Lakiman dan dia langsung tidak memandang Lasrah yang duduk disebelahnya.
"Abah nak anak-anak abah berjaya di dunia juga di akhirat." Sambungnya lagi.
Lasrah memandang wajah tua abahnya. "Kerjaya yang Lana pilih tu akan menyebabkan Lana berjaya di akhirat juga abah. Bukan hanya dengan menjadi ustaz dan ustazah je akan menjadi asbab untuk seseorang tu berjaya didunia dan juga di akhirat." Lasrah seakan tidak berpuas hati.
Hajah Maimon memandang Lasrah. Dia seolah memberi isyarat mata kepada Lasrah agar tidak membantah kehendak abahnya.
"Umi dengan abah ni bukan apa Kak Chik. Kami ni tak nak si Lana tu jadi peguam sebab nanti dia akan berdusta jika dia terpaksa menyebelahi orang yang salah." Hajah Maimon menyampuk.
Lasrah terpana. "Allahuakbar. Kesitu pulak abah dan umi fikir."
"Betullah kan. Kita biasa tengok yang peguam sanggup dibayar berjuta-juta demi menegakkan perkara yang batil." Hajah Maimon menambah lagi.
"Tapi macam mana pula dengan peguam yang bertungkus lumus membebaskan insan yang tidak bersalah? Yang sanggup dibayar sedikit dan ada juga yang tidak meminta sebarang bayaran demi membebaskan orang yang teraniaya?" Lasrah berhujah bak seorang peguam.
Haji Lakiman dan Hajah Maimon terdiam. Ada benarnya kata-kata Lasrah itu.
"Kita ni manusia biasa je abah umi. Kita tidak boleh menilai seseorang melalui ilmu duniawi dia. Manalah tahu, ilmu duniawi dia tu mampu membantu dia di akhirat kelak." Lasrah menambah.
"Jadi kamu balik ni atas permintaan Dewi Lana?" Haji Lakiman memandang Lasrah. Pandangannya tepat ke arah Lasrah.
Lasrah tunduk. Jari jemarinya digenggam erat. "Lana mengadu abah dengan umi langsung tak bagi dia peluang untuk berbicara." Ton suara Lasrah perlahan. Terasa sedikit kecut bila pandangan abah tepat kepadanya.
Haji Lakiman mengeluh. Kopiah di kepala ditanggalkan.
"Abah. Abah tengoklah anak abah ni. Kak Chik pun belajar Usuluddin kat Mesir dulu, tapi kesudahannya Kak Chik tak mampu jadi ustazah pun. Persekitaran sekarang ni dah berbeza abah. Bukan macam dulu-dulu. Balik sahaja belajar dari Mesir dah boleh jadi ustaz ustazah di sekolah. Jadi cikgu. Zaman sekarang dah berbeza abah." Lasrah seakan merayu.
"Untuk pertama kalinya Kak Chik merayu pada abah, izinkanlah Lana kejar cita-cita dia untuk menjadi seorang peguam. Cukuplah Kak Chik je yang menderita bila tak mampu kejar cita-cita Kak Chik untuk menjadi seorang doktor." Ada rembesan air mata dihujung mata Lasrah. Dia terasa kepedihannya. Suaranya turut sama tersekat-sekat ketika berbicara.
Haji Lakiman dan Hajah Maimon tergamam. Untuk pertama kalinya Lasrah meluahkan perasaan sebenarnya terhadap mereka.
Hajah Maimon memdekati Lasrah. Dipeluk anak gadisnya itu. Tiada apa yang mampu dia ucapkan terhadap kepedihan anaknya itu. Haji Lakiman hanya mampu tersandar dan memandang Lasrah yang mulai menangis didalam pelukan uminya.