Zack berpusing membetulkan baringnya. Dia cuba mencari posisi yang selesa. Namun dia masih tidak mendapat posisi yang selesa. Jam dinding dikerling.
"Agrhhh. Dah 5.00 pagi." Zack mendengus perlahan.
Dia mengiring ke kanan. Kemudian mengiring ke kiri. Sekali sekala dia baring terlentang dan ada juga meniarap.
Dup dap. Dup dap. Jantung Zack berdegup kencang. Perlahan-lahan tangan kanan Zack naik ke dadanya.
"Nak mati ke aku ni?" Bisik Zack sendirian.
"Aku tak ready lagi nak mati ni Ya Allah. Banyak sangat dosa-dosa yang aku dah buat. Macam mana nak mati dan bertemu Tuhan. Surah Al-Fatihah pun merangkap-rangkap lagi." Zack sebak.
Dia duduk tegak. Fikirannya merewang jauh.
"Aku takdak anak macam hang! Anak aku takdak jahat macam hang lagu ni." Air mata meluncur laju. Hati emak mana yang tidak sedih bila mendapat tahunya anaknya berbuat kerja terkutuk demi kelangsungan hidupnya di ibu kota.
"Emak." Sepatah keluar dari mulut Zack. Sudah lama dia tidak menyebut perkataan itu.
Zack menangis. Dia menangis semahunya.
"Sampai hati mak dengan pak buang cheq lagu ni....." Zack menangis sekuat hati. Badannya terhincut-hincut kerana menangis teresak-esak.
"Aku takdak anak lagu hang ni. Hang berambus dari rumah aku tak payah balik-balik sini dah! Aku tak kebuloq makan duit haram hang tu. Kalau aku tau selama ni hang bagi duit haram kat aku, mak hang dengan adik-adik hang. Aku anak beranak sanggup mati kebuloq dari makan duit hang tu!" Si ayah meluahkan amarah. Malunya pada orang kampung tebal sekali. Malah malunya pada Allah lebih tebal lagi kerana dia tidak mampu mendidik anaknya supaya menjadi hamba Allah yang taat.
Zack meraup wajahnya setelah dia agak tenang. Semenjak dua menjak ini dia kerap teringatkan emak, ayah dan adik-adiknya di kampung nun di utara.
Zack bangun. Dengan longlai dia melangkah ke bilik air. Dia mandi bagi menyegarkan badannya.
Keluar sahaja dari bilik air, kedengaran azan Subuh berkumandang. Zack duduk dibirai katil. Hatinya kosong, sekosong rumahnya saat itu.
Zack bangun dan kembali ke bilik air. Dengan tertib dia mengambil wudhuk. Usai berwudhuk Zack kembali ke bilik dan dia kembali lengkap berpakaian. Zack terbongkok-bongkok mencari sesuatu di dalam laci almari.
Setelah jumpa, dia menghampar sehelai sejadah usang di lantai. Zack berdiri tegak di atas sejadah, lafaz niat solat Subuh dibaca perlahan. Zack solat Subuh pada pagi itu walaupun belum tertib sepenuhnya.