Lana dan Syafa berjalan menuju ke arah Zack yang sedang menunggu di dalam keretanya.
"Sampai bilalah saya ni kena jadi ubat nyamuk." Syafa mula membebel sendiri.
Lana pandang Syafa. "Ubat nyamuk? Apa tu?"
"Ubat nyamuk." Syafa pandang Lana balik. "Awak tak faham ke istilah ubat nyamuk tu?"
"Tak." Lana jungkit bahu.
"Ubat nyamuk ni macam saya lah! Awak dan Zack dating, saya jadi ubat nyamuk. Tukang teman pada awak berdua." Terang Syafa.
Lana pandang Syafa. Dia bingung. "Eh! Tak fahamlah maksud awak tu ubat nyamuk." Kening Lana berkerut-kerut.
"Zaman saya sekolah dulu-dulu kat kampung, kalau tukang teman orang dating ni dipanggil ubat nyamuk. Tapi kat tempat sayalah. Kat tempat awak tak tahu panggil apa."
Lana senyum. Dia mendapat akal untuk mengusik Syafa. "Ooo. Kalau kat tempat saya orang ketiga yang teman orang dating ni biasanya dipanggil syaitan. Sebab tu kita dilarang berdua-dua supaya tiada orang ketiga iaitu syaitan yang menghasut kita berbuat maksiat." Lana gelak tutup mulut.
Syafa pandang Lana. Matanya dibulatkan. "Ooo. Awak kata saya syaitan ya. Kalau macam tu saya tak nak teman awaklah." Syafa ugut untuk patah balik ke bilik.
Lana tarik tangan Syafa. "Eh saya gurau je." Lana senyum mengusik.
"Haaa. Tau takut." Syafa turut sama senyum. "Awak duduk depan macam biasa." Arah Syafa sambil menarik pintu belakang kereta Zack.
"Assalamualaikum." Lana memberi salam ketika membuka pintu kereta Zack.
Zack senyum lebar. Telefon di tangan terus di letak ke tepi. "Waalaikumsalam. Cepat masuk. Panas kat luar tu."
"Baru panas dunia dah takut, belum panas di akhirat nanti." Syafa dibelakang menyampuk.
Terdiam Zack dengan Lana mendengar reaksi spontan daripada Syafa.
Zack pandang Lana. Dia perasan Lana memakai tudung yang dibelinya berwarna mustard.
"Cantik awak pakai tudung yang saya beli." Ikhlas Zack memuji Lana. Matanya tidak beralih dari Lana.
Lana tersenyum malu. Dia lantas tundukkan wajahnya.
Syafa menjengah di antara Zack dan Lana. "Habis Lana je cantik. Saya ni tak cantik ke? Saya pun pakai tudung awak beli. Lana yang paksa. Dia kata nanti dia malu kalau pakai sorang-sorang depan awak."
Zack pusing belakang melihat Syafa. Zack telan air liur. Macam mana dia boleh tidak perasan Syafa juga memakai tudung pemberiannya yang berwarna maroon.
"Awak pun cantik jugak Fa." Zack puji Syafa pula.
Syafa menjeling Zack sekilas. "Eh. Kita dah beritahu dia baru nak puji. Huh! Tak ikhlas betul." Syafa mengomel perlahan.
Lana ketawa perlahan sambil menutup mulut dengan telatah Syafa. Sekurang-kurangnya kehadiran Syafa mengurangkan rasa kekok di antara dia dan Zack.
"Boleh kita gerak dah ke?" Zack pandang Lana.
Lana angguk perlahan.
"Haaa. Eloklah kita gerak sekarang. Kalau dibiarkan lagi lama si Zack tu tenung si Lana. Boleh tembus badan panahan mata Zack tu." Sempat Syafa mengusik Zack dan Lana.
"Faaaa." Lana bersuara. Sikap outspoken Syafa kadang-kadang agak merimaskannya.
"Jomlah gerak. Nanti lewat sampai sana." Arah Lana dan Zack memulakan pemanduan mereka untuk ke ibu kota bagi membantu Lana dan Syafa mencari material untuk assignment mereka.