Lana mengambil angin di luar rumah. Dia duduk di pangkin di bawah pokok manggis di hadapan rumah abah dan umi.
"Lana." Lasrah datang sambil membawa 2 mug berisi kopi o.
Lana senyum melihat Lasrah. Dia segera memberi ruang untuk Lasrah duduk.
"Lana balik malam ni kak chik dengan abang Adam hantarkan ya." Lasrah memulakan bicara.
"Eh. Tak susahkan kak chik dan abang Adam ke? Takut nanti lewat pula kak chik dan abang Adam sampai rumah."
"Takpe. Abang Adam yang suruh kak chik beritahu kamu ni. Dia kata kasihan pula tengok kamu setiap minggu naik grab." Beritahu Lasrah sambil mengemaskan tudungnya yang di tiup angin.
"Terima kak chik sebab selalu bantu Lana." Lana senyum memandang Lasrah.
"Takpe. Kita kan adik beradik. Kalau hari ni kak chik tolong Lana, esok lusa Lana pula tolong kak chik kan?" Lasrah turut senyum.
"Betul tu." Jawab Lana sambil mengangkat mug berisi kopi lantas disuakan kopi tersebut ke mulutnya.
"Jadi boleh tak Lana tolong kak chik pula?" Lasrah bertanya serius.
Kopi yang disua tidak jadi dihirup. Lana letak kembali mug di lantai pangkin.
"Apa dia?" Wajah Lasrah ditatap Lana.
"Tinggalkan Zack." Bersahaja suara Lasrah memberitahu.
Lana terkesima.
"Tapi kenapa?" Lana pandang Lasrah. Dia perlukan penjelasan dari Lasrah.
"Sebab keluarga kita tak restu." Lasrah buang pandang ke luar pagar. Dia langsung tidak menoleh Lana yang duduk di sebelahnya.
"Tapi abah takde kata apa-apa pun kan?" Lana tidak puas hati.
Lasrah mula panas hati. "Dengan apa yang jadi dekat abah tu Lana boleh kata abah takde kata apa-apa? Itu respon abah Lana tahu tak? Hati abah tak boleh terima keputusan Lana."
"Tunggu abah sihat. Lana akan tanya abah semula." Lana jawab perlahan. Dia bangun ingin meninggalkan Lasrah di situ.
Lasrah yang nampak Lana bangun segera bersuara. "Lelaki yang penuh kisah hitam tu sanggup Lana pertahankan sehingga membelakangkan keluarga sendiri? Macam tu Lana mahu?"
Lana berpaling tatkala mendengar bicara Lasrah.
"Kak chik cakap apa ni? Kak chik mengarut apa?" Lana hampir menangis.
"Bila masa kak chik mengarut? Itu perkara benar yang Lana sorokkan daripada semua orang kan?"Lasrah bangun dari duduknya. Dia memang tepat ke mata Lana.
"Kak chik mengarut!" Lana berpaling. Dia ingin cepat-cepat pergi dari situ.
"Lana bayangkan perasaan umi dan abah kalau mereka tahu siapa Zack yang sebenarnya. Lana bayangkan juga apa yang angah akan buat pada Zack nanti?" Lasrah terusan mendera perasaan Lana.
Lana berpaling memandang Lasrah. Lasrah semakin mendesaknya.
"Apa yang kak chik nak sebenarnya?" Lana mulai menangis.
"Tinggalkan Zack." Lasrah memeluk tubuh. Dia terasa menang kerana mampu mengawal Lana.
"Mana kak chik tahu semua ni?" Lana pandang Lasrah.
"Dari mana kak chik tahu itu tidak penting tapi sebagai kakak, kak chik takkan biarkan Lana rosakkan masa depan Lana dengan mengahwini lelaki seperti dia. Lelaki yang tiada maruah sanggup menjual tubuh badan demi wang." Mata Lasrah mencerlung tajam.
"Ini mesti kerja Syafa bukan?" Lana membalas renungan Lasrah.
"Tak kisah kerja siapa tapi kak chik tetap akan halang Lana. Lana ingat ya, apa akan jadi pada abah kalau kak chik beritahu abah akan perkara ni. Lana ingat bukan pesanan doktor. Abah dah pernah kena serangan jantung sekali. Jangan sampai terjadinya dua kali. Buruk akibatnya."Lasrah mengugut Lana. Dia beredar meninggalkan Lana di situ.
Lana terduduk di pangkin. Dia menangis sendirian saat terkenangkan dia tidak punya siapa-siapa yang menyokongnya di saat ini.