"Jadi kamulah Zack." Lasrah memandang Zack dari atas ke bawah.
"Ya. Saya Zack Zafran." Zack jawab tenang.
"Kenapa pilih Lana? Banyak lagi perempuan lain di luar sana." Lasrah bertanya sambil memeluk tubuh.
"Sebab Lana lain daripada perempuan lain yang saya kenali." Zack jawab tanpa ragu-ragu.
"Kak chikkk." Lana memegang tangan Lasrah yang bertanyakan Zack seolah-olah seorang anggota polis menyoal jawab pesalah.
Lasrah jeling Lana. "Takut sangat kak chik soal siasat kekasih dia."
Lana malu. Dia tertunduk memandang lantai.
"Masuklah. Umi dengan abah dah tunggu kat dalam tu." Lasrah mengajak Lana dan Zack masuk.
Lana dan Zack masuk ke dalam rumah. Lana segera menyalami umi dan abah walaupun umi kelihatan agak dingin terhadapnya. Hati Lana sedikit terguris dengan sikap umi tetapi dia sabarkan hatinya kerana dia yang bersalah dalam hal ini.
Zack mendekati Haji Lakiman. Dia segera menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Salam Zack di sambut Haji Lakiman dengan senyuman lebar.
"Duduklah."Pelawa Haji Lakiman.
Hajah Maimon yang duduk di sebelah Haji Lakiman sekadar menjeling Zack.
Lana cepat-cepat mengambil tempat di sebelah Zack.
"Lana. Pergi dapur bancuhkan kopi. Abah ada benda nak dibualkan dengan kawan kamu ni." Tegur Haji Lakiman saat Lana ingin duduk di kerusi sebelah Zack.
"Jom Lana." Lasrah tarik tangan Lana. Dengan lambat-lambat Lana bangun mengikuti Lasrah ke dapur. Lana tidak betah untuk meninggalkan Zack sendiri bersama umi dan abahnya.
Usai Lana dan Lasrah hilang ke dapur, Haji Lakiman memandang isteri yang duduk di sebelahnya. "Awak pun sama. Pergilah ke dapur tengok-tengokkan budak-budak tu. Saya nak berbincang sesama lelaki." Lembut tutur Haji Lakiman terhadap isterinya.
Hajah Maimon akur dengan permintaan suaminya. Dia segera bangun dan meninggalkan suaminya dan Zack.
Haji Lakiman memandang Zack yang kelihatan agak gugup bersendirian dengannya.
"Anak ini siapa namanya?" Tanya Haji Lakiman ramah.
Zack terasa mukanya seakan kebas. Andai ditoreh kulit mukanya saat itu, pasti tidak ada darah mengalir keluar melaluinya.
Zack tarik nafas dalam-dalam. "Zack Zafran nama saya haji. Haji boleh panggil saya Zack" Zack jawab gugup.
Haji Lakiman senyum lagi. "Tak perlu panggil saya haji. Panggil sahaja pakcik."
"Ba.. Baik pakcik." Zack masih lagi gugup.
"Kamu sudah bekerja atau masih lagi belajar?" Wajah Zack dipandang tepat.
Zack serba salah. Pandangan mata Haji Lakiman seakan-akan mampu membaca pemikirannya.
"Saya sudah bekerja pakcik."
"Jadinya kamu bukanlah sama belajar dengan Lana?"
"Tak. Tak. Saya tak belajar tinggi pun pakcik."
"Di mana kamu kenal Lana?"
Zack serba salah. Lana memintanya merahsiakan kisah silamnya dari pengetahuan keluarganya.
"Kedai buku pakcik. Pertama kali saya jumpa dia dekat kedai buku."
"Kamu bekerja di kedai buku ke?" Haji Lakiman berminat untuk mengetahui tentang Zack.
"Tak pakcik. Saya tak bekerja di kedai buku. Kebetulan saya ke kedai buku untuk mencari beberapa buah buku dan saya terlanggar Lana di sana. Lana juga sedang mencari buku ketika itu." Skema jawapan diberikan Zack. Dia cuba untuk berbicara sesopan mungkin dengan abah Lana.
"Terlanggar dan terus berkenalan?" Tanya Haji Lakiman yang kelihatan sangat berminat dengan perkenalan Zack dan Lana.
Zack tarik nafas. Walaupun Haji Lakiman sentiasa tersenyum saat bertanyakan soalan kepadanya namun renungan mata Haji Lakiman yang tampak mencerlung sedikit menakutkannya.
"Tak. Setelah beberapa kali saya terserempak dengan Lana dan rakannya di kedai buku yang sama, barulah saya berani nak tegur Lana."
Haji Lakiman menganggukkan kepalanya.
"Saya betul-betul sukakan Lana. Saya betul-betul ikhlas sukakan Lana. Saya takde niat untuk mempermainkan Lana." Beritahu Zack tiba-tiba tatkala dia berasakan Haji Lakiman masih boleh dibawa berbincang tidak seperti yang digambarkan oleh Lana.
Haji Lakiman pandang Zack. Tiada lagi garis senyuman di wajahnya.
Zack serba salah.
"Kamu sudah tahu bukan bahawa pakcik dan makcik sudah punya seseorang untuk dijodohkan dengan Lana?" Tanya Haji Lakiman tiba-tiba.
Zack angguk perlahan.
"Kamu mungkin juga sudah tahu bahawa Lana bersetuju untuk dijodohkan bersama lelaki pilihan kami tersebut." Beritahu Haji Lakiman lagi.
Zack pandang Haji Lakiman.
"Lana tak pernah beritahu saya yang dia setuju dengan pilihan tersebut." Zack mulai gusar.
Haji Lakiman senyum. "Lana ni anak yang baik. Dia selalunya taat akan perintah umi dan abahnya."
Zack termangu. Dia tidak tahu apakah maksud yang ingin disampaikan oleh abah Lana.
"Pakcik telah berjanji dengan sahabat pakcik untuk jodohkan Lana dengan anak beliau. Adakah pakcik akan digelar sebagai munafik jika pakcik gagal mengotakan janji pakcik?" Wajah Zack dipandang Haji Lakiman.
Zack serba salah. Sangkanya Haji Lakiman akan menerimanya dengan mudah namun sangkaan meleset.