Lana senyum tatkala nampak Zack yang bersandar di kereta. Lengan kemeja berwarna pink lembut yang dilipat sehingga ke paras siku melengkapkan penampilan Zack.
"What a pleasant surprise. Kata sibuk dekat office." Lana sengih-sengih tengok Zack. Hatinya terasa berbunga-bunga melihat jejaka pujaannya ada di depan mata tetapi dia cuba sorokkan rasa teruja tersebut. Bimbang dikatakan lebih sudu daripada kuah. Biarlah Zack tidak tahu tentang keterujaannya itu.
"Memanglah sibuk tapi takut tuan puteri saya ni lapar. Sibuk ulangkaji pelajaran katanya sampai tak sempat nak makan." Zack buka kaca mata hitam yang dipakainya lantas disangkutkan di poket kemejanya. Pintu belakang keretanya dibuka lantas dia mengeluarkan satu beg kertas yang besar.
Lana senang hati mendengar omelan Zack itu. Terasa kurang sedikit tekanannya mengulangkaji tatkala melihat Zack yang tiba-tiba muncul di kolej kediamannya.
"Nah. Ambil ni. Jangan lupa makan. Ajak sekali anak singa seorang tu." Sempat Zack mengata Syafa.
Beg kertas bertukar tangan.
"Apa ni?" Lana buka beg kertas tersebut dan membelek isi kandungan beg tersebut.
"Makananlah. Takkan saya bawa toyol untuk bantu awak jawab exam pula." Zack jawab bersahaja.
Lana sengih. "Tahulah makanan. Tapi banyaknya awak beli." Lana masih membelek isi kandungan dalam beg kertas tersebut.
"Saya takut awak dengan Syafa lapar. So saya beli makanan untuk awak dengan Syafa makan sampai malam." Zack senyum memandang Lana. Dia sanggup mencuri masa rehatnya semata-mata untuk menghantar makanan kepada Lana. Kesempatan tersebut boleh digunakan untuk menatap wajah Lana yang sudah lama tidak bertemu dengannya.
"Awak kan sibuk. Tak perlulah susah payah nak hantar makanan dekat saya. Saya boleh beli dekat cafe bawah tu je." Lana tunjuk ke arah cafe yang tidak jauh dari mereka.
"Tak sudi ke terima makanan yang saya hantar?" Suara Zack sedikit kendur.
Lana senyum manis. Dia cuba membeli kembali hati Zack. "Bukan tak sudi. Saya bimbang menyusahkan awak. Itu je."
Zack senyum. Hilang segala rindunya tatkala melihat senyuman Lana.
"Demi awak, lautan api pun saya sanggup renang Lana. Apalah sangat setakat hantarkan makanan ni." Zack berseloroh.
"Eleh. Sanggup renang lautan api konon. Terkena api puntung rokok sendiri pun mengadu sakit." Lana perli Zack. Dia teringat akan Zack yang mengadu kesakitan tatkala terkena api puntung rokoknya sendiri dulu.
Zack senyum malu. Begitu cepat bakal peguam itu mematahkan hujahnya.
"Saya tak boleh lama-lama dekat sini ni. Nak kena masuk ke pejabat semula." Zack berdiri tegak kembali setelah agak lama bersandar di keretanya.
"Awak dah makan ke belum ni?" Lana tanya prihatin.
"Saya dah bungkus makanan untuk saya sekali tadi. Nanti saya makan dekat pejabat lepas saya solat Zohor." Zack menjawab.
"Takpelah kalau dah bungkus makanan untuk awak. Pandu kereta hati-hati." Pesan Lana tatkala Zack masuk ke dalam kereta. Hati Lana terasa berat untuk melepaskan Zack pergi. Rindunya pada Zack masih belum hilang sepenuhnya lagi tetapi dia terpaksa akur Zack masih berada dalam waktu bekerja ketika ini.
"Awak pun sama. Makan kenyang-kenyang. Tidur bila penat. Jangan pulun study sampai tak tidur. Jangan solat lambat. Doa sekali semoga dipermudahkan urusan awak jawab peperiksaan." Giliran Zack pula memesan. Hatinya masih tidak puas menatap Lana tetapi tanggungjawab dia pada kerjanya harus dia jalankan. Dia perlu menunjukkan contoh yang baik kepada Lana.
Lana angguk dan senyum. "Baik. Saya ingat pesanan awak tu." Tutur Lana dengan sebak di dada.
Zack lambai Lana. "Assalamualaikum." Tanpa tunggu Lana menjawab, kereta Zack sudah mula berlalu pergi.
"Waalaikumsalam." Jawab Lana dengan tangan yang masih melambai pemergian Zack. Kereta Zack dipandang sehingga hilang dari pandangan.
Usai kereta Zack hilang dari pandangan, Lana perlahan-lahan berjalan untuk kembali ke biliknya dengan membawa beg berisi makanan tersebut.