Lana mundar mandir di dalam bilik. Panggilan telefon daripada Zack tadi membuatkan hatinya seakan mahu luruh.
"Kenapalah cari penyakit nak datang sini ambil saya kat sini Zack." Lana terasa begitu cuak. Dia belum mampu memberitahu umi dan abah akan perihal Zack dan dia yang semakin rapat dan akrab walaupun tidak pernah menyatakan cinta.
Lana buntu. Zack sudah dalam perjalanan ke Sabak Bernam. Bagaimana dia ingin memberitahu umi dan abah siapa Zack jika Zack tiba-tiba muncul di rumah untuk mengambilnya.
"Lana." Hajah Maimon mengetuk pintu bilik Lana.
"Allah. Zack dah sampai ke?" Lana semakin cuak.
"Lana oo Lana." Pintu bilik diketuk bertalu-talu.
"Ya umi." Lana membuka pintu lantas menghadiahkan senyuman manis kepada uminya.
"Abah tanya tu. Kamu nak balik ke kolej naik grab atau nak abah hantarkan?" Hajah Maimon terus bertanya.
"Tak. Tak. Lana balik sendiri. Abah tak perlu hantar. Lana naik grab." Laju Lana menjawab.
Hajah Maimon mengerling jam di dinding. "Dah dekat Asar ni. Kamu tak siap-siap lagi. Pukul berapa nak panggil grab? Takkan kamu nak naik grab kalau dah lewat petang. Bahayalah. Biar abah hantar je." Hajah Maimon membuat keputusan bagi pihak Lana.
Hajah Maimon ingin beredar untuk memaklumkan kepada suaminya supaya menghantar Lana pulang ke kolej namun tangan Lana dengan cepat menarik lengan uminya.
"Umi takpe umi. Errr Lana sebenarnya nak tumpang kawan balik ke kolej." Lana cuba tersenyum walaupun darahnya terasa berderau untuk menipu uminya.
Hajah Maimon pandang Lana. "Tadi kata nak naik grab, tiba-tiba nak tumpang kawan. Yang mana satu kamu ni?" Lana dipandang tepat.
Lana telan air liur.
"Errr. Lana bersiap-siap dulu umi. Nanti lewat." Lana masuk bilik dan terus mengunci pintu. Dia benar-benar cuak tatkala terpaksa menipu uminya.
Lana ambil tuala dan segera masuk ke dalam bilik air. Dia ingin mandi, bersiap-siap dan segera solat Asar. Dia ingin cepat-cepat pergi ke pondok bas dan akan meminta Zack mengambilnya disitu.
"Lanaaaa." Sekali lagi pintu bilik Lana diketuk.
"Lana dalam bilik air umi." Jerit Lana.
"Cepat sikit. Grab kamu dah sampai ni." Beritahu Hajah Maimon.
"Grab?" Lana cepat-cepat mematikan paip air.
"Umi. Minta dia tunggu dalam kereta je." Jerit Lana dari dalam bilik air. Terkocoh-kocoh Lana keluar dari bilik air.
"Huh. Macam tarzan dijeritnya kita." Hajah Maimon mengomen setelah mendengar jawapan Lana.
Hajah Maimon berjalan ke ruang depan lantas keluar dari rumah dan mendekati kereta Zack.
Cermin kereta Zack diketuk perlahan.
Zack menurunkan cermin keretanya. Kaca mata hitamnya ditanggalkan. Dari tadi dia cuma menelefon Lana tetapi panggilan tidak dijawab.
"Anak maaflah. Anak makcik tu baru nak mandi. Belum bersiap lagi. Anak tolong tunggu sekejap boleh?"
Zack terpinga melihat umi Lana di depan matanya. Lana saling tidak tumpah wajah uminya. Cuma wajah uminya agak sedikit garang berbanding Lana yang berair muka lembut dan comel.
"Anak ni bawak grab kan?" Hajah Maimon meneka tatkala Zack sekadar terpinga memerhatinya.
Zack bertambah terpinga mendengar kata-kata umi Lana. Dia ingin tergelak tetapi terpaksa ditelan bimbang dilabel biadap oleh umi Lana.
Hajah Maimon garu kepala. "Anak makcik tu dah tahu baru nak bersiap kenapa panggil grab cepat sangat. Anak tunggulah dulu ya. Takpe, pasang je meter tu, nanti makcik suruh Lana bayar lebih. Tunggu ya." Hajah Maimon berpesan sebelum dia kembali ke dalam rumah.
Zack ketawa perlahan setelah umi Lana hilang dari pandangannya.
"Grab dia panggil aku?" Zack ketawa sendirian.
Haji Lakiman memandang isterinya yang berjalan ke arahnya.
"Geram saya dengan si Lana tu. Dah tahu belum bersiap, dia pergi panggil grab awal-awal. Berjalanlah meter tu kalau kena tunggu dia bersiap dulu." Hajah Maimon membebel sambil mengambil tempat duduk di sebelah suaminya.
"Budak grab tu dah sampai ke?" Soal Haji Lakiman kepada isterinya.
"Itu yang saya bebelkan ni. Lana tu dah tahu belum siap, buat apa panggil grab awal-awal. Kan dah membazir terpaksa bayar driver tu tunggu dia. Meter grab tu berjalan kan." Hajah Maimon masih tidak berpuas hati.
"Kenapa tak di ajak budak tu masuk? Boleh dihidangkan air. Lama dia nak kena tunggu Lana dalam kereta tu." Haji Lakiman menukar topik isterinya.
"Kalau di ajak masuk kena matikan enjin. Nanti rugilah dia." Hajah Maimon menjawab.
"Kalau tak mati enjin pun takpe. Selamat je kereta dia tu dekat halaman rumah kita."
"Baiklah. Saya pelawa budak tu masuk." Hajah Maimon bangun untuk mendapatkan Zack yang disangka pemandu grab di dalam kereta.
"Umi." Lana tergopoh gapah keluar dari biliknya sambil membawa beg pakaiannya.
"Dah siap dah?" Hajah Maimon memandang Lana atas dan bawah.
"Lana gerak dulu umi." Lana menyalami uminya. Kemudian dia menghulurkan tangan kepada abahnya.
"Sikit lagi nak masuk waktu Asar. Tunggulah dulu." Bicara Haji Lakiman sambil menyambut tangan Lana.
"Grab dah tunggu lama tu abah. Nanti dia charge double kat Lana. Nanti sampai kolej Lana Asar ya." Lana beralasan.
"Iyalah kalau gitu. Hati-hati. Dah sampai kolej call umi atau abah." Haji Lakiman berpesan. Dia dan isterinya menghantar Lana sampai ke pintu depan.
"Assalamualaikum umi. Assalamualaikum abah." Lana melambai sebelum dia hilang ke dalam perut kereta Zack.