"Umi." Perlahan Lana memanggil Hajah Maimon. Antara dengar atau tidak suaranya oleh Hajah Maimon. Tangannya ligat meramas kelapa untuk dikeluarkan santan.
Hajah Maimon yang sedang ralit mengupas bawang memandang Lana.
"Ada apa?" Jari jemarinya masih laju mengupas bawang.
Lana telan air liur. "Lana nak bincang fasal Luqman." Beritahu Lana teragak-agak.
"Haaa kenapa dengan Luqman? Kamu berdua nak percepatkan pertunangan ke? Bukan ke kamu berdua dah setuju nak tangguhkan pertunangan selepas tamat pengajian." Hajah Maimon kelihatan teruja.
"Tak. Tak. Bukan fasal tu."
"Habis tu fasal apa?" Pisau di tangan di letakkan ke tepi.
"Kamu berdua tak nak bertunang. Terus nak kahwin. Gitu?" Soalan Hajah Maimon bertubi-tubi.
Lana garu kepala. Melihatkan uminya yang bertanya soalan secara bertubi-tubi seperti machine gun buat Lana teragak-agak.
"Dah tu apa masalah kamu dengan si Luqman? Peninglah umi macam ni." Hajah Maimon bangun. Dia membawa bekas berisi bawang yang telah dikupas ke sinki untuk dibasuh sebelum di tumbuk lumat untuk dijadikan perencah memasak gulai ikan.
Lana diam. Otaknya ligat berfikir.
"Eh diam pulak budak bertuah ni. Tadi kata nak ajak umi bincang. Apa masalah kamu dengan Luqman ni?" Hajah Maimon tidak puas hati.
"Errr. Luqman takde masalah apa-apa umi." Lana jawab perlahan. Santan yang telah diperah diletakkan di dalam mangkuk di atas meja untuk kegunaan uminya nanti.
"Kalau dah Luqman takde masalah, maksudnya kamu yang buat masalah. Bukan begitu?" Hajah Maimon menembak.
Tembakannya tepat ke jantung Lana. Lana diam. Dia pura-pura sibuk mencuci pinggan mangkuk di sinki.
"Betul kan tekaan umi ni wahai Dewi Lana?" Suara Hajah Maimon ditekankan. Lana tidak di pandangnya.
Lana diam menikus. Umi seakan menghidu apa yang bakal diperkatakan olehnya.
"Dewi Lanaaaaa. Umi tanya ni. Kamu yang mencipta masalah kannnn??" Hajah Maimon berpaling memandang Lana yang berdiri kaku di sinki.
"Hari tu kamu sendiri yang bersetuju." Hajah Maimon mengingatkan Lana.
"Lana tahu tu." Jawab Lana perlahan. Dia mulai terjerat samada untuk menunaikn janjinya dengan Umi atau janjinya dengan Zack.
"Kamu dah ada seseorang ke?"
Lana terkejut. Berderau darahnya. Entah bila Hajah Maimon berdiri di sebelahnya.
Hajah Maimon pandang Lana atas bawah. "Kamu dah ada seseorang yang kamu suka ke?" Soalan tersebut diulang semula. Suara Hajah Maimon kedengaran tegas.
Lana geleng kepala takut-takut. "Takde umi." Berat untuk menjawab pertanyaan uminya itu.
"Kamu jangan nak buat perangai macam-macam. Boleh kena sakit jantung abah kamu dengan perangai kamu ni." Keras amaran yang diberikan oleh Hajah Maimon.
Lana telan air liur. Suara keras umi merupakan amaran buatnya. "Lana faham umi." Lana mengangguk walaupun anggukan untuk tidak terlihat oleh Hajah Maimon.
Cepat-cepat Lana mengambil periuk untuk menggulai ikan. Dia terus diam dan hanya menyiapkan kerja-kerja memasak di dapur tanpa sebarang suara.