Bahagian 95

46 4 0
                                    

Lana leka membasuh pinggan di sinki. Hajah Maimon datang membawa pinggan yang digunakan ketika mereka makan tengahari tadi.

Lana diam. Dia fokus kepada kerja-kerjanya.

"Tiga hari lepas Haji Zakaria dengan isterinya ada datang melawat abah." Hajah Maimon memulakan bicara.

Hati Lana berdebar secara tiba-tiba.

"Ibu dan ayah Luqman tu kan?" Lana tanya lambat-lambat.

"Haah. Ibu dengan ayah Luqman." Hajah Maimon mengiyakan.

"Mereka datang lawat abah je kan?" Lana tanya dalam kerisauan. Dia bimbang Luqman menceritakan perkara sebenar kepada ibu dan ayahnya.

"Mereka datang lawat abah. Lepas tu ada benda nak dibincangkan kata mereka." Hajah Maimon menjawab tanpa mengesyaki pertanyaan Lana tersebut.

Lana berpusing memandang uminya. Dadanya berdebar-debar. "Bincang fasal apa umi?"

Hajah Maimon mendengus perlahan. Seolah melepaskan keluhan yang berat. Tangan yang laju mengelap pinggan yang telah dicuci Lana terhenti.

"Mereka nak bincang fasal kamu dan Luqman." Perlahan Hajah Maimon menjawab.

Lana terdiam. Jangan-jangan mereka datang untuk percepatkan majlis. Entah-entah Luqman yang suruh mereka datang untuk percepatkan majlis kahwin. Hati Lana berbisik sendiri. Dia mulai gusar.

"Bincang tentang apa umi?" Lana tanya tidak sabar.

"Kata mereka Luqman tidak mahu teruskan perkahwinan dia dan kamu. Mereka datang nak minta maaf sebab dah memungkiri janji." Lemah Hajah Maimon menjawab.

Lana senyum lega.

"Apa dia umi? Batalkan?" Lana pura-pura tidak dengar.

"Lebih kuranglah tak mahu teruskan dengan batalkan." Hajah Maimon mengeluh lagi.

Lana senyum makin lebar. Makin lincah tangannya mencuci pinggan mangkuk.

"Kenapa Luqman tiba-tiba tak nak teruskan?" Lana pura-pura sedih. Ton suaranya direndahkan.

"Entahlah. Kata ibunya dia dah bertemu seseorang di sana. Rakan sekelas di universitinya." Suara Hajah Maimon nyata begitu kecewa.

Lana berpaling memandang uminya. "Luqman dah punya kekasih hati di sana?" Lana tayang riak kecewa.

"Umi ingat, habis je kamu belajar bulan depan bolehlah teruskan dengan majlis pertunangan kamu berdua." Hajah Maimon benar-benar kecewa dengan perkhabaran yang dibawa oleh Haji Zakaria dan isterinya.

"Takpelah umi. Orang dah tak sudi. Mana boleh dipaksa-paksa." Lana berlakon dengan baik sekali.

"Kamu dengan Luqman ada bergaduh ke?" Hajah Maimon bertanya tiba-tiba.

Lana kelu.

"Errr. Kami takde bergaduh sebab kami pun jarang berkomunikasi. Lana sibuk, Luqman pun sama. Perbezaan waktu antara Malaysia dengan Mesir tu pun jauh jadi susah nak cari masa untuk berkomunikasi." Lana beralasan.

Hajah Maimon mengangguk. Dia berpuas hati dengan jawapan Lana.

Lana cepat-cepat lap tangan setelah dia selesai mencuci pinggan mangkuk. Dia tidak ingin berlama-lama di dapur. Dia bimbang jika disoal siasat oleh umi.

Lana sedia untuk melangkah keluar dari dapur.

"Lana." Hajah Maimon panggil Lana.

Langkah Lana terhenti. Hatinya berdebar-debar. Dia berpaling memandang uminya.

"Luqman tak tahu tentang kewujudan lelaki itu kan?"

Pertanyaan Hajah Maimon mengecutkan perut Lana. Walaupun suaranya perlahan namun kedengaran amat menakutkan.

Lana geleng kepala.

"Tak." Laju Lana menjawab.

"Lana tak beritahu dia apa-apa." Tambah Lana lagi. Dia terasa berdosa menipu umi. Tetapi dia terpaksa. Anggaplah dia sekadar berbohong sunat untuk kebaikan semua.

Hajah Maimon diam. Dia berpuas hati dengan jawapan Lana.

Melihatkan uminya diam dan kembali dengan kerja-kerjanya, Lana cepat-cepat berlalu pergi masuk ke dalam bilik.

"Fuh lega."

Lana yang berada di belakang pintu bilik mengusap dadanya.

LELAKI SEPERTI DIAWhere stories live. Discover now