Bahagian 80

69 4 0
                                    

Hajah Maimon masuk ke ruang tamu sambil membawang dulang berisi kopi dan cucur pisang.

"Minumlah." Pelawa Hajah Maimon acuh tak acuh.

Zack senyum ketat. Dia mulai terasa kehadirannya benar-benar tidak diterima dalam keluarga ini .

"Bincang apa dengan kawan Lana ni tadi?" Hajah Maimon senyum pandang suaminya. Dia menghulurkan secawan kopi kepada suaminya.

"Hidangkan pada tetamu dulu." Beritahu Haji Lakiman.

Hajah Maimon menghulurkan cawan kopi tersebut kepada Zack. Zack menyambutnya tetapi wajahnya ditundukkan. Dia tidak betah untuk bertentang mata dengan Hajah Maimon.

"Panggilkan Lana ke sini." Beritahu Haji Lakiman kepada isterinya.

Hajah Maimon menurut. Dia langsung hilang ke dapur memanggil Lana.

Seketika kemudian Hajah Maimon kembali bersama Lana yang berjalan lambat-lambat di belakangnya.

Hajah Maimon mengambil tempat di sebelah suaminya. Lana hanya berdiri di tepi.

"Lana duduk. Abah ada sesuatu nak tanya dengan Lana." Arah Haji Lakiman.

Lana menurut. Dia duduk di kerusi di sebelah Zack. Lana tunduk. Zack hanya diam memerhati.

"Betul ke Lana nak kahwin dengan lelaki ni?" Suara Haji Lakiman kedengaran agak tegas.

Zack angkat wajah. Hatinya sedikit terguris tatkala Haji Lakiman membahasakannya sebagai lelaki bukanlah namanya sendiri.

Lana turut angkat wajahnya. "Nama dia Zack abah dan Lana nak kahwin dengan dia."

Haji Lakiman diam seketika.

"Kamu betul nak kahwin dengan Zack? Kamu dah betul-betul kenal dia?" Soal Haji Lakiman. Kali ini dia menggunakan nama Zack tanpa kata ganti diri sebagai lelaki lagi.

Lana angguk. "Lana rasa Lana dah cukup kenal Zack." Jawab Lana perlahan.

Haji Lakiman mengeluh. Lana memang agak keras hati berbanding Lasrah yang sentiasa akur akan kata-katanya.

"Lana dah tahu latar belakang Zack? Latar belakang keluarga dia?" Soal Haji Lakiman seolah-oleh pegawai penyiasat.

Lana pandang Zack. Hati Lana terdetik kecil. "Takkan Zack dah beritahu abah."

Zack balas pandangan Lana. Dia menggeleng kecil sebagai isyarat kepada pandangan Lana itu.

"Lana dah pernah jumpa mak dan ayah Zack dekat Kedah." Lana menjawab bersahaja.

"Kamu pergi Kedah langsung tanpa minta izin umi dengan abah? Kenapa kamu ni Lana?" Hajah Maimon yang mendengar pengakuan Lana segera menyampuk.

"Maaf umi. Maaf abah. Lana pergi pun sebab ada kecemasan. Lana temankan Zack. Mak Zack jatuh dan dimasukkan ke dalam wad. Kami cuma pergi menziarah dan pulang pada hari yang sama." Lana membela diri.

Haji Lakiman mengeluh kecil. "Jadi Lana betul-betul nak kahwin dengan Zack. Macam mana janji Lana pada Luqman?"

"Nanti Lana akan beritahu sendiri tentang hal ni kepada Luqman. Lana yakin Luqman boleh terima." Cermat Lana menjawab. Dia tidak mahu menimbulkan kemarahan umi dan abahnya.

"Luqman boleh terima konon. Kamu yakin ke Luqman boleh terima hal ini. Ini hal besar tahu! Kamu dah memungkiri janji." Hajah Maimon menyampuk. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya.

Lana pandang uminya. "Lana yakin Luqman boleh terima umi. Luqman kan tinggi ilmu agamanya bak kata umi. Mesti dia dapat terima qada dan qadar ini. Ini semua ketentuan Allah."

"Senangnya kamu beralasan." Hajah Maimon menjeling Lana.

"Lana yakin Zack boleh bimbing Lana?" Soalan tersebut ditujukan kepada Lana tetapi pandangan Haji Lakiman tertancap kepada Zack.

Zack serba salah.

"Lana yakin abah yang Zack boleh bimbing Lana. Lana kenal Zack macam mana. Lana buat keputusan ni pun selepas Lana buat istikharah."

Haji Lakiman pandang Zack seolah-olah dia menuntut jawapan daripada Zack.

"Saya sedang berusaha memperbaiki diri. Mana yang kurang akan saya perbaiki lagi." Zack jawab teragak-agak.

"Baiki diri konon." Hajah Maimon mencelah lagi. Zack dijeling tajam.

Haji Lakiman berdehem tanda dia tidak suka akan reaksi yang diberikan isterinya.

"Kamu kena ingat Lana. Perkahwinan ini bukan perkara main-main. Datangnya bersama perkahwinan ini adalah satu tanggungjawab yang besar." Bicara Haji Lakiman.

Lana angguk tanda mengerti akan kata-kata abahnya itu.

"Abah sebenarnya memang tak boleh terima keputusan Lana ni. Sebab Lana membuat keputusan dengan membelakangkan abah dan umi. Sedangkan sebelum ini Lana bersetuju dengan keputusan abah dan umi." Haji Lakiman bersuara perlahan seakan berjauh hati dengan Lana.

Lana pandang abahnya. Manik-manik jernih bergenang di hujung matanya.

"Abah. Lana cuma nak satu benda je. Lana cuma nak restu abah. Itu je." Lana bicara dalam esakan perlahan.

Zack mulai serba salah.

"Abah tak boleh Lana. Untuk pertama kalinya abah rasa berjauh hati sangat dengan anak abah sendiri. Lana berbuat keputusan demi keputusan tanpa berbincang langsung dengan abah." Suara Haji Lakiman juga kedengaran sebak.

Hajah Maimon berpaling memandang suaminya. Dia memegang erat tangan suaminya. Dia mengerti perasaan suaminya yang terasa dikhianati oleh Lana. Mereka sangat berharap dapat melihat Lana berkahwin dengan Luqman. Harapan mereka agar Lana mempunyai seorang suami yang beriman yang mampu membimbingnya kelak.

Haji Lakiman memegang dadanya. "Allah." Dia menyeringai kesakitan.

"Abah. Abah." Lana bangun mendapatkan abahnya.

Zack turut sama bangun mendekati Haji Lakiman.

"Kak chik. Kak chik." Jerit Lana.

Zack cepat-cepat merangkul Haji Lakiman dan mengangkatnya membawa keluar rumah.

"Kunci kereta atas meja Lana." Arah Zack.

Dengan terkocoh-kocoh Lana mengambil kunci dan membuka pintu kereta.

Lasrah yang berlari dari dapur segera memeluk Hajah Maimon yang mulai menangis.

"Cepat semua masuk kereta." Arah Zack.

Lana duduk di bahagian penumpang di sebelah Zack.

Lasrah dan Hajah Maimon duduk di belakang sambil memegang Haji Lakiman.

"Cepat Zack. Cepat." Hajah Maimon bersuara sambil menepuk bahu Zack.

Zack dengan segera memandu ke hospital dalam kelam kabut tersebut.

LELAKI SEPERTI DIAWhere stories live. Discover now