"Umi. Abah." Lana meletakkan pinggan berisi cucur bilis dengan cermat. Dia segera mengambil tempat duduk di sebelah abahnya.
Lasrah juga cepat-cepat datang dari dapur. Dia tahu apa yang ada fikiran Lana saat ini. Lasrah duduk di kerusi sebelah Lana.
"Abah. Umi." Lana panggil lagi setelah tiada reaksi dari mereka berdua.
Kitab agama diletakkan ke meja. Cermin mata ditanggalkan dan diselit di kolar baju.
"Ada apa-apa yang Lana nak bincangkan ke?" Lembut suara Haji Lakiman bertanya. Wajah Lana ditatap dengan penuh kasih sayang. Lana anak bongsunya yang agak agresif berbanding adik beradik yang lain dari sudut kaca matanya.
"Abah. Emmm. Abah." Lana tergagap-gagap.
"Ada apa ni. Cuba beritahu abah." Haji Lakiman senyum.
"Umi kata abah nak jodohkan Lana. Betul ke?" Lana tanya tanpa gagap lagi.
Haji Lakiman memandang isterinya. Hajah Maimon diam kaku. Sebenarnya dia terlepas cakap masa di dapur tadi. Oleh sebab itu dia segera berlalu pergi dari dapur.
"Betul ke abah?" Lana bertanya perlahan. Matanya mula berkaca-kaca.
Bahu Lana di sentuh lembut. "Imam Zakaria bertanyakan Lana. Dia berniat nak jodohkan Lana dengan Luqman anaknya." Haji Lakiman menjelaskan dengan nada yang paling lembut agar Lana memahami.
"Tapi. Tapi Lana tak nak kahwin lagiiii...." Suara Lana seakan ingin menangis.
"Bukan sekarang sayang. Luqman pun masih belajar. Lana pun masih belajar." Pujuk Haji Lakiman.
"Tapi.. Tapi Lana tak kenal Luqman tu." Air mata semakin banyak bertakung.
Haji Lakiman mengeluh perlahan. Lana memang agak keras kepala. Dia cenderung untuk menolak semua permintaannya.
"Nanti kamu kenal lah Luqman tu Lana." Hajah Maimon akhirnya menyampuk.
"Tapi. Tapi Lana tak nakkkkk." Lana mulai menangis teresak-esak. Tangisan Lana makin lama makin menjadi-jadi.
Lasrah segera menarik tangan Lana masuk ke dalam bilik meninggal Haji Lakiman dan Hajah Maimon.
"Lana. Lana." Bahu Lana digegar kuat Lasrah.
"Dah kenapa kamu ni? Beria-ia sangat menangis. Macam kena kahwin paksa hari ni je. Drama betul lah!"
"Lana. Lana. Lana tak nak kahwin dengan Luqman Kak Chik." Lana menangis semula.
"Eh! Drama gila kamu ni Lana. Orang tu baru tanya je kot." Lasrah melepaskan tangan Lana yang dipegangnya.
"Baru tanya ke dah lama tanya ke. Yang Lana tahu Lana tak nak kahwin dengan dia. Lana tak kenal pun Luqman tu." Lana membentak perlahan.
Lasrah memandang Lana. Dia seolah-olah mencari sesuatu di wajah Lana.
"Kamu ada boyfriend kat sana ya?" Lasrah menembak.
"Kamu ada boyfriend dekat universiti?" Lasrah menembak lagi.
"Mana ada!" Lana cepat-cepat berpaling.
"Kamu kannnnn. Suka cari penyakitlah." Lasrah mulai pening. Kepalanya dipicit.
"Kamu dah tahu kan abah dengan umi macam mana." Lasrah sedikit kecewa dengan Lana yang kadangkala baginya agak kebudakkan.
"Kak Chik. Sumpah! Lana takde boyfriend dekat universiti." Lana mengangkat tangan.
Lasrah lega. "Habis tu tadi beria-ia menangis bila abah dengan umi suruh kahwin dengan Luqman macam dah ada steady boyfriend."
"Kat universiti memang takde." Lana mengiyakan. Tiba-tibq Lana teringatkan seseorang. Seseorang yang misteri.
"Legalah Kak Chik kalau macam tu. Kamu bukan tak tahu. Abah cukup tak suka kalau bercinta masa tengah belajar ni."
"Habis apa bezanya dengan suruh bertunang dengan Luqman?" Soal Lana.
Lasrah pandang Lana. "Tu kes lain. Malaslah Kak Chik layan kamu ni." Lasrah bangun.
"Apa yang lain? Sama je!" Lana membentak.
Lasrah berhenti di muka pintu. "Lain! Lain antara pilihan abah dengan pilihan sendiri." Lasrah terus berlalu pergi.
Lana menongkat dagu mendengar jawapan Lasrah.