"Lana." Lasrah tegur Lana yang baru keluar dari bilik Haji Lakiman.
"Ya kak chik." Lana menjawab tanpa menoleh ke arah Lasrah. Dia berjalan terus ke sinki untuk membasuh gelas yang digunakan oleh abahnya tadi.
"Lana cakap apa dengan abah? Lama Lana dalam bilik abah." Lasrah mengikut Lana ke sinki.
"Takde cakap apa kak chik." Lana terasa sebal dengan sikap Lasrah. Dia membasuh gelas lantas meletakkannya di dalam bakul.
"Mustahil takde cakap apa-apa. Ada setengah jam Lana dalam bilik abah."
Lana berpaling. Wajah Lasrah ditatapnya. "Apa masalah kak chik ni sebenarnya ya? Tanya Lana cakap apa dengan abah. Bila Lana beritahu yang Lana tak cakap apa-apa dengan abah, kak chik tak percaya pula. Kak chik mahu apa sebenarnya dari Lana ni?"
Lasrah mendengus. "Bukan main lama dalam bilik abah, mustahillah kamu dengan abah takde cakap apa-apa."
"Lana lama dalam bilik abah pun sebab Lana tolong picitkan lengan abah yang lenguh je kot. Takkan itu pun perlu dimaklumkan kepada kak chik." Lana rimas dengan sikap Lasrah.
Lasrah diam.
Lana pandang lagi wajah Lasrah. "Kak chik takut Lana pujuk abah supaya terima Zack kan?" Lana menembak.
Lasrah berpaling. "Mana ada!" Laju dia menidakkan dakwaan Lana.
"Mengaku jelah kak chik. Lana bukan tak kenal perangai kak chik macam mana." Lana memerli. Dia berjalan ingin meninggalkan Lasrah di dapur.
"Kamu berdua bising-bising dekat dapur ni dah kenapa?" Hajah Maimon yang baru datang dari depan menyampuk.
"Umi tanyalah anak kesayangan umi tu. Semua yang Lana buat salah. Dia je yang betul." Jawab Lana sambil berlalu meninggalkan Lasrah dan Hajah Maimon di dapur.
Hajah Maimon pandang Lasrah. "Kamu berdua tak habis-habis lagi ke? Asyik bergaduh je kerja kamu berdua." Hajah Maimon mulai membebel.
"Kami tak bergaduh umi. Salah faham je tadi." Lasrah membela diri.
"Huh! Baguslah kalau tak bergaduh. Penat umi nak layan perangai kamu berdua." Hajah Maimon juga meninggalkan Lasrah sendirian di dapur.