Dengan berat hati Mak Kiah meleraikan pelukannya. "Sekejap sangat balik sini." Ada nada kecewa dalam suara Mak Kiah.
Lana senyum memandang Mak Kiah. "Nanti Lana ajak Zafran balik sini lagi jenguk mak." Lana berjanji.
Mendengar janji Lana itu, mata Mak Kiah sedikit bersinar. Dia segera berpaling memandang Zack yang sudah berdiri di tepi pintu kereta. "Hang ingat pesan mak tu Zafran." Wajah Zack dipandang tepat.
Zack tunduk sambil menggaru kepala. "Ingat mak." Zack jawab lambat-lambat.
Saiful dan Pak Zahir hanya tersengih melihat Zack yang seakan terperangkap.
"Hang jangan nak dok ingat-ingat tapi tak buat. Cepat-cepat jumpa mak pak si Lana ni. Lepas tu beritahu mak dengan bapak. Nanti kami pergi sana meminang." Mak Kiah sudah berpuluh kali berpesan perkara yang sama kepada Zack sehingga pening kepala Zack memikirkan pesanan emaknya itu.
"Betul tu Zafran. Hang cepat-cepat jumpa mak pak Lana. Tak manis kalau hangpa berdua asyik ke hulu ke hilir berdua macam ni." Pak Zahir menyokong kata-kata isterinya itu.
"Cheq bukannya tak mahu jumpa mak pak Lana lagi. Lana ni ha, dia kata tunggu dia habis buat chambering dulu." Zack memberi alasan.
Ternganga Lana mendengar jawapan selamba Zack. Zack yang berdiri tidak jauh darinya dijeling tajam. "Cis! Kurang asam betul mamat ni. Jadikan aku sebagai alasan." Getus Lana dalam hatinya.
Zack senyum simpul tatkala melihat riak wajah Lana.
Mak Kiah berpaling ke arah Lana pula. "Kenapa nak tunggu lama-lama Lana? Lana tak sedia lagi ke?" Tangan Lana dipegang lembut.
Lana cuak. "Errr. Bukan... Bukan macam tu mak. Lana... Lana.. Errrr."
"Sudahlah tu Kiah oii. Biaq pi lah budak-budak ni berkenalan lebih rapat lagi. Lana tu pun baru habis belajaq. Cham.. Cham.. Chambering pun tak habis lagi. Bagi depa masa. Bukan lama pun." Pak Zahir menyampuk tatkala melihat Lana seakan mati kata.
"Betullah tu mak. Biaq depa rancang masa depan mereka. Bila masa yang sesuai untuk depa kahwin." Saiful akhirnya meluahkan pendapatnya.
Mak Kiah jeling suaminya dan Saiful yang tidak memihak kepadanya.
"Kami gerak dululah mak. Hari dah nak gelap ni." Zack akhirnya meminta diri. Tangannya dihulur kepada emaknya.
"Lain kali balik tidoq sini na." Sempat Mak Kiah berpesan sambil menyambut huluran tangan Zack.
"InsyaAllah." Jawab Zack perlahan.
"Lana nanti ikut Zafran balik sini lagi na." Mak Kiah seakan berat hati melepaskan Lana pergi.
"InsyaAllah mak. Nanti Lana datang lagi." Lana menyalami tangan Mak Kiah.
Zack bersalaman dengan bapanya dan Saiful sebelum dia hilang ke dalam kereta.
"Nanti habaqlah kalau dah sampai KL." Sempat Saiful berpesan sebelum kereta Zack mulai bergerak.
"InsyaAllah. Nanti aku call hang." Zack jawab sambil menaikkan tingkap keretanya.
Zack pandang Lana yang duduk di sebelahnya. "Apa?" Zack tanya Lana yang tayang muka tak puas hati.
Lana memeluk tubuhnya. "Amboi. Senangnya buat alasan kata saya nak settle chambering dulu." Lana jeling Zack.
Zack ketawa perlahan melihat reaksi Lana itu. "Betullah kan. Hari tu awak kata tunggu awak habiskan chambering awak tu."
Lana diam mendengar jawapan Zack itu.
Zack pandang Lana yang diam. "Takkan awak nak saya beritahu mak dengan bapak tentang keluarga awak yang menentang hubungan kita." Zack bersuara perlahan.
Lana angkat wajahnya. Wajah Zack ditenungnya. "Maaf." Lana bersuara sepatah.
"Takde apalah. Awak kan tak nak saya berputus asa. Jadi buat apa ungkapkan maaf." Zack senyum pandang Lana.
Mereka meneruskan perjalanan ke ibu kota dengan berbual mesra.