"Assalamualaikum kak chik." Lana senyum sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
"Cepat masuk dulu. Hujan renyai-renyai ni. Nanti mudah kena demam." Lasrah mempelawa Lana masuk ke dalam keretanya.
Lana senyum lantas cepat-cepat masuk ke ruang sebelah pemandu. Dia cepat-cepat menghulurkan tangannya kepada Lasrah.
Setelah kejadian dengan Zack hujung minggu lepas, Lana rendahkan egonya untuk berbicara dengan Lasrah. Dia perlu sedarkan Lasrah siapa Zack yang sekarang berbanding siapa Zack yang dahulu.
"Buang tabiat apa kamu tiba-tiba ajak kak chik pergi girls day out ni?" Lasrah tidak tunggu lama. Dia terus bertanyakan kemusykilan hatinya.
Lana senyum lebar. "Saja! Nak meraikan Lana bakal habis chambering minggu depan."
Lasrah geleng kepala mendengar jawapan adiknya itu. "Kalau minggu depan habis chambering, kita raikan minggu depan jelah."
"Alaaa. Minggu depan nak kena raikan dengan master Lana." Lana sengih menjawab.
"Minggu satu lagi pun boleh raikan lagi."
"Alaaa. Kasilah 'can' untuk raikan awal." Lana tayang muka sedih.
"Yelah. Yelah. Kita buat pre celebration. Okay?" Lasrah mengalah dengan satu-satu adiknya itu.
Lana senyum menang. "Yeay! Kak chik jadi pemandu Lana hari ni. Okey?"
Lasrah jeling manja Lana. "Nak pergi mana ni? KLCC? Pavillion? Mid Valley? Aeon? Cepat! Cakap je nak pergi mana?"
"Kita pergi Keramat nak?"
"Keramat? Buat apa kat Keramat tu? Kalau nak meraikan kenalah pergi tempat 'have-have'." Lasrah berlucu.
"Eh kak chik. Kalau nak meraikan sesuatu, tak perlu 'have-have'. Yang penting kita raikan dengan orang yang kita sayang. Bersederhana pun takpe." Lana sengih.
"Betul tu. Jadi Lana nak ke mana?"
"Keramat." Lana jawab sepatah.
Lasrah jeling Lana. "Keramat tu besar dik. Kamu nak ke kedai mana?"
"Hehehe. Jap Lana set waze. Kak chik drive je. Itulah gunanya teknologi." Lana menekan-menekan skrin di dashboard kereta Lasrah.
Lasrah senyum sambil memandang tingkah Lana. "Kedai tomyam je?" Lasrah pandang Lana.
"Kedai ni best kak chik. Bukan setakat ada masakan panas je. Street food kat Thailand pun ada. Pulut mangga dia umphhh!" Lana tunjuk tanda bagus.
"Okeylah. Jomlah ke sana. Lana belanja kan?" Lasrah sengih pandang Lana.
"Mestilah. Duit berkepuk dalam ni." Jawab Lana sambil tepuk beg tangan di tepinya.
"Sengal!" Lasrah mengomen sambil menukar gear dan memulakan perjalanan mereka.
"Baca doa dulu kak chik." Sempat Lana memesan.
"Dahlah! Dalam hati." Lasrah menjawab sambil ketawa.