Jantung Lana berdebar-debar menunggu talian di hujung sana dijawab. Dadanya terasa seperti ingin pecah kerana terlalu berdebar. Bagi Lana, dia harus selesaikan semua masalah ini sebelum dia tamat pengajian tidak lama lagi.
"Telefon umi ke?" Syafa yang baru keluar bilik air menegur Lana yang kelihatan gelisah sedang membuat panggilan telefon.
Lana geleng kepala. Panggilannya tidak berjawab. Lana sedikit kecewa.
Dia cuba mendail lagi nombor yang sama.
"Awak telefon siapa ni gelisah sangat?" Syafa masih berminat ingin tahu.
"Luqman." Lana jawab sepatah.
"Ooo." Mendengarkan jawapan Lana Syafa segera beredar keluar dari bilik. Dia ingin memberikan Lana lebih privasi.
"Assalamualaikum." Suara dihujung sana begitu ceria menerima panggilan.
"Waalaikumsalam." Lana mulai berdebar-debar.
"Maaf. Saya baru siap solat subuh. Itu yang tak jawab panggilan awak tadi." Luqman memberitahu tanpa di tanya.
Lana kerling jam di dinding. Jam 11.30 pagi. Terdapat perbezaan waktu 6 jam di antara Malaysia dan Mesir. Lana gigit bibir. Macam mana dia boleh lupa. Nasiblah sudah waktu subuh di sana. Jika tidak pasti dia sudah mengganggu waktu tidur Luqman di sana.
"Lana." Luqman panggil tatkala Lana hanya mendiamkan diri.
"Ya saya." Lana menjawab kalut.
Luqman senyum di sebelah sana. Namun sayangnya senyuman Luqman itu tidak mampu dilihat oleh Lana.
"Ada urusan penting ke awak telefon saya pagi-pagi ni." Tanya Luqman.
Kebiasaannya Lana tidak pernah menelefon Luqman, hanya Luqman yang menelefonnya sebulan sekali. Itu pun jarang Lana jawab panggilan Luqman. Jika dijawab ada sahaja alasan Lana samada di dalam kelas atau sedang sibuk mengulangkaji pelajaran. Begitu juga dengan pesanan melalui aplikasi whatsapp juga jarang Lana balas. Namun Luqman setia menghantar pesanan kepada Lana setiap minggu untuk bertanyakan khabar tentanh gadis itu.
"Eh tak. Takde apa." Lana berdalih.
"Mustahillah takde apa. Lana yang call saya dulu. Ini bukan perkara biasa. Luar biasa tahu." Luqman ketawa kecil setelah dia cuba berlucu.
Lana senyum kelat. Dia langsung tidak ikut ketawa.
"Lana. Ada hal penting ke ni? Awak macam serius je." Luqman seolah dapat mengesan riak Lana walaupun dia tidak melihat wajah gadis itu. Gadis itu sentiasa menolak pelawaannya untuk membuat panggilan video supaya dia dapat melihat wajah Lana bagi menghilangkan rindunya terhadap Lana.
"Luqman. Errr macam ni." Lana serba salah untuk bicara.
"Apa dia Lana? Saya dengar ni."
"Tak lama lagi kita akan tamat pengajian kan?"
"Iya. Betul tu. Tak lama lagi saya akan tamat pengajian dan terus pulang ke Malaysia. Tak sabar saya nak jumpa awak." Luqman meluahkan keterujaannya.
"Tapi saya tak." Jawapan bersahaja Lana yang agak keras mengejutkan Luqman.
Luqman diam sejenak. Satu minit. Dua minit. Luqman masih diam lagi.
"Luqman. Luqman. Awak ada kat sana lagi tak?" Lana panggil Luqman.
"Ada. Ada. Saya ada." Luqman jawab perlahan.
"Lana. Apa maksud saya tak tadi tu?" Luqman sambung bicara.
"Saya tak rindu awak Luqman. Saya tak rindu awak macam awak rindu saya. Maafkan saya Luqman." Lana menjawab penuh ikhlas. Tapi kali ini dengan nada yang lembut. Dia perlu berterus terang dengan Luqman.