Zack senyum lebar. Dia tidak sabar menunggu ketibaan Lana dan Syafa. Seawal jam 6.00 petang dia sudah terpacak di pintu pagar luar UIA.
Minggu lepas Lana mempelawa Zack untuk mengikuti dia Syafa ke ceramah agama di Masjid Al-Syakirin Gombak. Dengan besar hati Zack menerima pelawaan tersebut walaupun dia sedikit gementar.
Senyuman Zack makin lebar tatkala melihat Lana yang manis berjubah putih dan bertudung labuh warna keemasan. Lana kelihatan seperti seorang pengantin yang menanti waktu untuk diijabkabulkan. Hati Zack berdegup kencang.
"Amboiiii. Tak berkedip mata dia tengok Lana." Syafa terus mengusik Zack.
Lana tertunduk malu dengan usikan Syafa itu.
"Eh. Manada." Zack kontrol macho sambil buka pintu di kereta di sebelah penumpang.
"Awak duduk depan Lana." Syafa cepat-cepat meloloskan badannya ke tempat duduk belakang.
Terlopong mulut Lana melihat Syafa yang telah hilang di dalam perut kereta. Mahu tidak mahu Lana terpaksa duduk di kerusi penumpang sebelah Zack.
Zack cepat-cepat masuk ke dalam kereta setelah Lana dan Syafa masuk ke dalam kereta. Enjin dihidupkan dan aircond di pasang.
"Panas tak?" Zack pandang Lana.
Lana pandang Zack malu-malu. "Tak." Lana jawab sepatah.
"Panas ni. Panas. Kuatkan sikit aircond tu." Syafa menyampuk dari belakang.
Zack pusing pandang Syafa di belakang. "Baik bos!"
"Kacak juga awak bila pakai sepasang baju melayu macam ni kan Zack. Macam orang nak menikah." Syafa mulakan perbualan di antara mereka bertiga yang kelihatan agak kekok.
"Mesti awak tergoda kan Syafa?" Zack menduga Syafa.
Syafa sengih mendengar pertanyaan Zack. "Eh. Tak kuasa saya nak tergoda dengan awak. Lana tu mungkinlah." Jawab Syafa selamba.
Lana jegil mata. Syafa sengih tayang gigi.
"Awak berdua dah makan belum?" Zack menukar tajuk perbualan mereka. Jika dibiarkan bimbang Syafa merapik lebih jauh. Lebih dia bimbangkan Lana akan mulai menjauhi dirinya.
"Dah tengahari tadi." Jawab Lana.
"Tak lapar ke?" Zack tanya lagi.
Laju Syafa mencelah. "Lapar jugak!"
"Nak makan dulu tak?" Zack memberi cadangan.
Lana tengok jam di tangan. "Kalau singgah makan sekarang, takut nanti tak sempat nak solat jemaah di masjid. Nanti nak dapat parking pun susah. Mesti ramai orang datang nak dengar ceramah ustaz tu." Lana memberikan cadangannya.
"Kita makan lepas habis ceramah okey tak?" Lana pandang Syafa.
Syafa tarik muka. Zack ketawa kecil melihat telatah Syafa yang kadangkala dapat mengurangkan rasa kekok antara dia dan Lana.
"Okey apa kata saya singgah stesen minyak dan grab roti dan kopi untuk awak alas perut dulu." Zack memberi cadangan setelah melihat Syafa yang kelihatan begitu kecewa.
Syafa tersenyum lebar. "Good idea. Itu saya setuju."
Tanpa berlengah Zack segera memberi isyarat masuk ke kawasan stesen minyak dan sekelip mata Zack hilang ke dalam kedai di stesen minyak tersebut untuk mendapatkan makanan dan minuman buat Syafa.
"Bagus Zack ni kalau dibuat suami. Memahami orangnya." Syafa beritahu Lana.
"Awak mengoratlah dia kalau awak rasa dia seorang yang memahami." Jawab Lana bersahaja.
"Masalahnya dia suka awak. Bukan suka saya." Selamba Syafa menjawab.
Lana pandang Syafa. "Mana awak tahu dia suka saya?"
Syafa mendekatkan dirinya dengan Lana yang duduk di tempat penumpang hadapan. "Awak tak perasan ke cara dia pandang awak tu lain cik Lana oiii."
"Ah! Merapiklah!" Lana cuba menidakkan kata-kata Syafa.
Zack kembali ke dalam kereta. "Borak tentang apa tu?" Tanya Zack tatkala melihat Lana dan Syafa terus terdiam bila dia masuk ke dalam kereta.
"Takde apa-apa." Laju Lana menjawab.
"Nah Syafa." Zack menghulurkan roti dan kopi yang dibeli kepada Syafa.
Laju Syafa menyambut pemberian Zack. "Thanks Zack." Syafa senyum.
"Nah. Ini untuk awak." Lembut suara Zack. Dia menghulurkan kopi dan roti kepada Lana.
Lana pandang Zack. "Errrr. Terima kasih." Lana menyambut pemberian Zack. "Errr. Awak tak makan ke?" Lana pandang tangan Zack yang kosong.
Zack senyum. Sekurang-kurangnya Lana memberi perhatian kepada dia. "Saya dah makan dan minum sebelum ambil awak berdua tadi." Zack berterus terang.
"Oh." Lana jawab sepatah. "Kalau macam tu marilah kita terus ke masjid. Nanti lewat sampai sana." Sambung Lana lagi.
"Baik puan!" Jawab Zack. Dia segera meneruskan perjalanan mereka.