Mak Kiah mengurut perlahan kakinya yang terasa lenguh. Sesekali dia membuang pandang ke sawah padi yang terbentang luas di hadapan rumahnya. Hatinya dipagut rasa sayu.
"Menung apa tu mak." Saiful menegur. Dia duduk di sebelah Mak Kiah.
"Haaa. Hang rupanya Pul. Mak takdak menung apalah aih." Mak Kiah paksa senyum.
"Bak sini kaki tu Pul tolong picitkan." Saiful membuka penutup minyak urut yang dibawa bersamanya tadi.
Mak Kiah menghulurkan kaki kanannya yang terasa sengal-sengal.
"Hang ni anak yang baik Pul. Mak rasa bangga sangat ada anak macam hang ni." Mak Kiah pandang Saiful. Air matanya bergenang terkenangkan nasib Saiful yang dibuang oleh keluarganya sendiri.
Saiful senyum pahit. "Mak dengan pak lagi baik sebab sanggup kutip budak jahat macam Pul ni." Ada getaran di hujung suara Saiful.
"Apa pulak hang kata hang budak jahat." Mak Kiah geram. Dia tepuk lembut lengan Saiful.
"Hang budak baik Pul. Tang mana hang kata hang budak jahat. Nakal sikit-sikit masa remaja tu adatlah. Dah tua-tua ni pandailah berubah. Tengok hang sekarang dah jadi usahawan berjaya. Hang boleh jaga kami anak beranak macam keluarga hang sendiri."
Saiful senyum mendengar pujian Mak Kiah. Tangannya laju mengurut kaki Mak Kiah.
"Berubah macam Zafran kan mak?" Saiful sengaja menyebut nama tersebut.
Mak Kiah diam. Dia terasa sayu. Kali terakhir dia melihat Zafran di hospital dulu, dia yakin yang anaknya itu telah benar-benar berubah.
"Mak tak rindu Zafran ke mak?" Saiful cuba meneroka isi hati ibu tua itu.
Mak Kiah buang pandang ke bendang. "Mak mana yang tak rindukan anak dia Pul. Sedangkan hang yang bukan keluar dari perut mak ni pun mak rindu bila kamu pergi kursus keusahawanan dua tiga hari dekat luar sana. Inikan pula anak yang mak kandungkan sembilan bulan sepuluh hari di dalam perut ni." Mak Kiah mulai sebak.
"Kalau Pul pujuk Zafran balik ke rumah ni mak suka dak?" Saiful pandang Mak Kiah.
Mak Kiah membalas pandangan Saiful. "Hang lupa ka macam mana pak hang mengamuk dekat hospital hari tu?"
"Nanti Pul pujuklah pak." Saiful berjanji.
"Pujuk aku apa?" Pak Zahir yang datang entah dari mana menyampuk perbualan Saiful dan Mak Kiah.
Parang yang disisipkan di pinggang dicampak ke tepi.
Saiful pandang Pak Zahir. "Pak. Apa kata kita ajak Zafran balik ke sini." Saiful memberi cadangan.
Mak Kiah diam membisu.
"Hang kata apa tadi? Aku tak dengaq. Cuba hang ulang semula." Pak Zahir pandang Saiful.
"Apa kata kita pujuk Zafran balik sini pak." Saiful ulang kata-katanya tadi.
"Siapa Zafran?" Pak Zahir pandang Saiful.
Saiful terdiam.
"Pada aku budak tu dah lama mati." Beritahu Pak Zahir sambil dia mencucuh rokok daunnya dengan api.
"Pakkkk. Sampai bila pak nak marah dekat Zafran." Saiful cuba memujuk.
"Aku habaq budak tu dah mati maknanya dah matilah. Yang hang tiba-tiba sebut fasal dia pasaipa?" Suara Pak Zahir sedikit meninggi.
"Pak tak kesian dekat mak ka? Mak rindu Zafran. Cheq pun rindu Zafran. Adik-adik yang lain pun rindu Zafran." Saiful masih berusaha memujuk.
Air mata Mak Kiah mulai bergenang melihat kekerasan hati suaminya.
Parang yang di campak tadi di capai semula. Pak Zahir mengunjuk parang tersebut kepada Saiful.
"Hang ingat ni Pul. Kalau hang panggil budak tu balik, lumat budak tu aku cincang nanti." Pak Zahir mengugut.
Saiful terpana melihat respon Pak Zahir. Mak Kiah mulai menangis teresak-esak. Hajatnya untuk bertemu dengan Zafran dan Lana lagi takkan kesampaian.
"Hang dengaq sini Pul. Lepas ni hang jangan sebut-sebut dah tentang Zafran. Biaq ja aku mati tanpa sempat jumpa anak aku sendiri. Biaq pak hang tu tengok aku mati dalam keadaan rindukan anak aku. Biaq dia rasa bersalah seumur hidup dia. Dia tak rasa apa yang aku rasa." Mak Kiah meluahkan perasaannya dalam tangis. Dia bangun lantas meninggalkan suaminya dan Saiful.
"Makkkk." Saiful memanggil Mak Kiah yang berlalu pergi. Rasa bersalah menyelubungi hatinya melihat Mak Kiah yang kesedihan.
"Pakkkk. Takkan sampai hati pak tengok mak lagu tuuuu." Saiful memandang Pak Zahir yang terdiam selepas mendengar luahan hati isterinya.
Pak Zahir bangun dari duduknya. "Aku tak tahulah!" Kasar suara Pak Zahir. Namun jauh dalam sudut hatinya dia turut merindukan Zafran. Tapi kerana amarah yang masih bersisa, beliau sanggup melihat isterinya menangis.
Saiful termenung memandang bendang sambil memikirkan sampai bila konflik ini akan berkesudahan.