"Betul ke ni umi?" Lana bertanya seakan tidak percaya.
Hajah Maimon mengangguk perlahan.
"Umi ni macam terpaksa je." Lana menilik wajah uminya.
Hajah Maimom tersenyum. "Umi redha."
"Abah?" Tanya Lana sepatah.
Hajah Maimon tersenyum lagi. "Abah juga redha."
"Alhamdulillah. Allah dengar doa-doa Lana selama ni." Lana mengangkat kedua belah tangan tanda bersyukur.
Hajah Maimon tersenyum sambil mengelus lembut kepala Lana yang bertudung litup.
"Maknanya bolehlah Lana mulakan persiapan kan umi?" Lana seakan tidak sabar. Matanya bercahaya.
Hajah Maimon angguk. "Kalau Lana perlukan apa-apa terutama sekali hal ehwal kewangan Lana cepat-cepat bagitau umi."
"Lana kena balas surat akuan terima dulu. Lepas tu Lana kena buat medical check up. Bukak akaun bank untuk pinjaman pelajaran. Buat gambar ukuran pasport banyak-banyak." Lana mula menyenaraikan tugas-tugas yang perlu diselesaikan olehnya.
"Lana nak buat pinjaman pelajaran ke?" Tanya Hajah Maimon.
"Emmm." Lana mengangguk laju.
"Kenapa nak buat pinjaman pelajaran. Abah kan mampu tanggung pembiayaan pelajaran Lana."
Lana terdiam seketika. "Lana tak nak susahkan abah. Dah lah Lana ingkar akan kehendak abah. Jadi Lana malu nak mintak abah biaya kos pelajaran Lana."Lana bersuara perlahan.
Hajah Maimon memeluk anak bongsunya itu. "Lana. Tanggungjawab abah dengan umi adalah untuk memastikan anak-anak abah dengan umi dapat pendidikan yang terbaik. Baik Along, Angah, Kak Chik waima Lana sekalipun, itu memang dah jadi tanggungjawab abah dengan umi untuk tanggung kos pendidikan kamu semua."
"Tapi Lana tak belajar kos yang abah dan umi nak...." Suara Lana tersekat-sekat.
Wajah Lana diangkat lembut. Mata Lana dan Hajah Maimon bertentangan. "Tugas umi dan abah sekarang adalah membiaya pendidikan Lana dan tugas Lana sekarang ni adalah dengan belajar dengan tekun dan sabar. Dan paling utama jaga tingkah laku selama dalam tempoh pembelajaran. Jangan sampai buat sesuatu yang boleh memalukan umi dan abah." Pesan Hajah Maimon.
Lana mengangguk perlahan. Badan uminya dirangkul kemas. Perlahan-lahan manik putih mengalir dipipinya. Lana bersyukur kerana Allah telah mengabulkan doa-doanya supaya dilembutkan hati abah dan uminya.