Bahagian 74

78 6 0
                                    

Lana melutut di hadapan Haji Lakiman dan Hajah Maimon.

"Ini tujuan kamu tiba-tiba balik ke sini?" Ada nada tidak puas hati dalam nada suara Hajah Maimon.

Haji Lakiman hanya diam. Memandang ke arah Lana pun dia tidak mahu pada ketika ini.

"Apa janji Lana pada umi sebelum ini?" Suara Hajah Maimon naik satu oktah.

Hajah Maimon benar-benar geram dengan Lana. Lana sentiasa membuat keputusan mengikut kehendaknya tanpa mempedulikan pendapat dia dan suaminya.

"Dewi Lana. Umi tanya kamu ni?"

Lana angkat wajahnya yang kemerahan dek kerana menangis.

"Jawablah soalan umi tadi!" Hajah Maimon tidak dapat menyorok kemarahannya lagi.

Lana angguk perlahan. "Lana ingat."

"Kalau ingat kenapa mungkir!" Amarah Hajah Maimon semakin bertambah.

"Lana tahu kan abah dah berjanji dengan Haji Zakaria. Malulah abah bila terpaksa mungkiri janji." Hajah Maimon meluahkan rasanya.

Syafa yang duduk tidak jauh dari Lana hanya diam memerhati. Kini dia mengerti niat Lana mengajak dia menemaninya pulang ke Sabak Bernam hari ini memandangkan kelas mereka dibatalkan sempena hari konvokesyen di universiti.

"Malu umi macam ni. Malu tahu tak." Hajah Maimon mulai menangis.

"Umi. Abah.." Lana kembali menangis.

"Lana takde niat nak malukan umi dengan abah. Lagipun Lana dengan Luqman belum bertunang." Beritahu Lana dalam tangis.

"Kamu tahu tak apa hukumnya bila kita memungkiri janji?" Hajah Maimon naik marah mendengar kata-kata Lana.

"Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, tanda-tanda orang munafik ada tiga. Pertama apabila dia berbicara ia dusta. Kedua apabila dia berjanji tapi tidak tepati dan ketiga apabila dia amanah dia khianati. Faham kamu?"

"Faham umi." Lana mengangguk perlahan.

"Habis kamu mahu umi dengan abah menjadi orang yang munafik?"

Lana menangis lagi. Dia serba salah. Perlukah dia memberitahu umi tentang solat istikharah dan tahajud yang dilakukannya saban malam bagi mendapatkan petunjuk sebelum membuat keputusan drastik sebegitu.

"Siapa lelaki itu? Kerja apa? Graduan universiti mana? Universiti Al-Azhar? Universiti Jordan? Universiti Yarmouk? Beritahu umi."

Lana pandang uminya. Nyata dia terasa kecewa dengan sikap uminya yang sangat memandang darjat dan taraf pendidikan.

"Umi." Lana menangis. "Sejak bila umi memandang darjat ni?"

"Umi bukan pandang darjat. Umi cuma nak yang terbaik untuk Lana. Lelaki yang baik datang dari keluarga yang baik-baik dan datang dengan pendidikan yang baik-baik." Ton suara Hajah Maimon mulai menurun.

Syafa yang duduk di sana diam-diam menghantar pesanan ringkas kepada Lasrah memaklumkan mengenai pertelingkahan antara Lana dengan umi dan abahnya.





LELAKI SEPERTI DIAWhere stories live. Discover now