Bahagian 114

63 4 0
                                    

Lasrah mengelap tangannya dengan menggunakan tuala. Sesekali kepalanya dijengah keluar tingkap.

"Lambat lagi ke tetamu kamu nak tiba?" Suara Hajah Maimon mengejutkan Lasrah yang sedang asyik mengintai dari jendela.

"Errr. Katanya nak datang sebelum Maghrib. Nak solat berjemaah sama-sama." Lasrah menjawab takut-takut.

"Dah nak masuk waktu Maghrib ni. Takde pun lagi." Giliran Hajah Maimon pula mengintai dari celah tingkap.

"Kejap-kejap lagi adalah tu. Diaorang dah janji akan berjemaah sekali." Lasrah menjawab bersahaja. "Kak chik nak masuk bilik dulu umi. Nak bersihkan badan sebelum masuk waktu Maghrib." Beritahu Lasrah lantas hilang dari pandangan.

Hajah Maimon masih setia menanti di tepi jendela. Melihat jika ada kereta yang memasuki pagar rumah mereka.

"Umi. Tengok apa tu?" Amirul menegur Hajah Maimon yang berdiri di tepi tingkap.

"Umi tengok kot-kot tetamu kamu dah tiba. Entah-entah sesat ke. Tak jumpa rumah ke. Kamu dah send location pada tetamu kamu tu?" Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Hajah Maimon.

Amirul senyum memandang ibu mertuanya itu. "InsyaAllah. Mereka tak akan sesat umi. Mereka tahu rumah kita ni."

Azan Maghrib berkumandang dari masjid yang tidak jauh dari rumah mereka. "Dah masuk waktu ni umi. Saya nak ambil wudhuk dulu." Amirul meminta izin untuk beredar.

"Haaa. Itu ada kereta masuk tu." Suara Hajah Maimon kelihatan teruja tatkala melihat sebuah kereta memasuk perkarangan rumahnya.

Amirul segera menerpa ke tingkap untuk melihat gerangan tetamu yang dijemput mereka.

"Umi pergi ambil wudhuk dulu, saya jemput tetamu masuk." Suara Amirul sedikit cemas.

"Eh. Marilah kita sama-sama jemput tetamu masuk dulu. Nanti pun kita nak solat berjemaah sama-sama. Sempatlah ambil wudhuk sekejap lagi." Hajah Maimon melangkah meninggalkan Amirul yang masih berdiri di tepi jendela.

Salam diluar disambut dengan senyuman namun senyuman Hajah Maimon mati tatkala melihat gerangan tetamu yang tiba.

Amirul yang cuak melihat reaksi ibu mertuanya, segera menjemput tetamu mereka untuk masuk. "Lana. Zack. Marilah masuk. Dah masuk waktu Maghrib ni."

Lana dan Zack melangkah dengan hati yang berat tatkala melihat reaksi wajah Hajah Maimon.

"Masuklah." Amirul tetap mempelawa mereka masuk walaupun reaksi Hajah Maimon agak tegang.

"Umi. Marilah masuk. Kata nak solat berjemaah bersama." Amirul mempelawa ibu mertuanya pula.

Hajah Maimon melangkah dengan perasaan yang sebal. Namun, dia terpaksa menahan hatinya di hadapan menantunya, Amirul.

"Lana. Zack. Dah sampai dah." Lasrah keluar dari bilik dengan lengkap bertelekung menegur.

"Haah. Baru sampai kak chik. Maaf lewat sikit sampai." Lana menjawab perlahan.

"Takpelah. Kamu berdua pergilah siap-siap dan berwudhuk dulu. Selepas tu baru kita boleh solat Maghrib berjemaah." Kata Amirul.

Hajah Maimon menghilang ke dalam bilik untuk bersiap dan berwudhuk.

"Ada Lana dengan teman lelaki dia datang." Hajah Maimon memberitahu suaminya ketika dia masuk ke dalam bilik.

Haji Lakiman memandang isterinya. "Abang tahu." Jawabnya bersahaja.

"Habis tu? Abang tak kisah?" Hajah Maimon memandang tepat wajah suaminya yang kelihatan bersahaja.

Haji Lakiman bangun dari duduknya. Dia mengambil kopiah dari dalam almari seraya berkata. "Nak kata saya tak kisah tu, tidaklah. Tapi saya cuba nak beri mereka peluang."

"Mana abang tahu yang Lana dengan teman lelaki dia nak datang malam ni?"

"Amirul yang beritahu saya masa balik dari masjid petang tadi. Dia kata, dia nak beritahu saya awal-awal supaya saya tak terkejut. Dia takut saya kena serangan jantung lagi." Perlahan suara Haji Lakiman menjawab.

Hajah Maimon mendengus mendengar penjelasan suaminya. Dia masih tidak berpuas hati, namun memikirkan orang lain yang menantinya untuk solat berjemaah bersama, dia segera ke bilik air untuk berwudhuk.

"Zack. Jadi imam malam ni ya." Lembut Amirul meminta Zack untuk menjadi imam mereka.

"Eh. Saya tak layaklah. Lebih baik awak yang jadi imam." Zack menolak lembut akan permintaan Amirul itu.

Haji Lakiman menyampuk lembut. "Malam ni kita solat berimamkan kamu pula." Beritahu Haji Lakiman kepada Zack.

Zack seakan tidak percaya mendengar kata-kata bapa Lana itu.

Amirul mengangguk sambil tersenyum seolah-olah memberi galakan kepada Zack.

"Amirul. Kamu iqamat. Dah lewat ni." Haji Lakiman mengarahkan Amirul untuk iqamat.

Amirul lantas ke depan dan iqamat. Solat Maghrib mereka pada malam itu di imamkan oleh Zack untuk pertama kalinya.

LELAKI SEPERTI DIAWhere stories live. Discover now