PROLOG

38 4 2
                                    

KEADAAN dalam Starbucks begitu hingar-bingar untuk Fatin melakukan seperti apa yang dirancang oleh Adi. Jika dia terus melakukan perkara itu, dia tahu yang dia sedang mempertaruhkan maruah dan imejnya. Dia tidak mahu perkara itu berlaku, namun dia tidak betah juga melihat kecurangan depan matanya sendiri.

Genggaman tangan semakin diperketatkan. Gigi diketap berkali-kali. Kalau ikutkan nafsu barannya yang semakin membuak-buak, memang habis meja makan itu dilambungnya. Kemudian, air Starbucks yang cantik terhidang itu akan disiram keatas kepala si jejaka dan si gadis yang mungkin telah diperbodohkan sepertinya.

"Apa kau nak buat sekarang, Fatin?" soal Adi.

'Tapi, aku tak kuat macam apa yang otak aku fikirkan. Mulut bercakap macam berani sangat. Kalau buat betul-betul, sumpah rasa nak nangis.' bisik hati Fatin.

"Fatin?" lengan baju Fatin digoyang perlahan oleh Adi.

"Jomlah balik." perlahan Fatin berkata.

Langkah kaki disusun menuruni anak tangga menuju ke aras 1 bangunan Starbucks, seterusnya dia membawa diri keluar dari kedai itu. Membawa hati yang remuk dihentam oleh Shauqi. Kemudian, dia membawa diri menuju ke perhentian bas.

Adi bergegas mengejar Fatin yang laju sahaja meninggalkan Starbucks. Perhentian bas menjadi tempat Fatin berteduh dari lebatnya hujan pada petang itu. Tidak pasti dia memang ingin naik bas atau menjadikan tempat itu sebagai tempat teduhannya.

"Jomlah balik. Aku hantar." Adi menawarkan bantuan. Memandangkan Fatin datang ke sini dengan teksi dan susah hendak mencari teksi pada waktu yang sudah lewat petang begini. Kalau ada bas pun, mesti kena bersesak-sesak.

Fatin hanya diam tidak berkutik.

"Fatin." panggil Adi, lembut.

Meskipun Fatin hanya diam, bahu Fatin yang bergerak-gerak perlahan itu telah menjelaskan yang gadis itu sedang menangis teresak-esak. Menangis dalam diam bersama kekecewaan adalah satu kesakitan yang sukar untuk diungkapkan. Sesiapa pun mustahil untuk meredakan tangisan dalam diam itu. Rasa sakitnya menusuk jauh kedalam hati.

Adi meletakkan tangannya keatas angin seolah-olah ingin mengusap bahu Fatin. Kerana batas agama, dia tidak boleh bertindak seperti itu. Dia tidak tahu hendak berkata apa melainkan memujuk Fatin untuk bertenang.

"Lemahnya aku sebab jatuh pada satu kalimah tu." lirih suara Fatin berkata.

Adi hanya diam. Ya, kalimah itulah yang mampu menawan hati gadis. Bak mantera, hanya sekali ucapan sahaja ia berjaya menagih kasih gadis-gadis. Begitu mudah diucapkan, murah sekali kata-kata mereka. Satu kalimah yang mampu menakluk hati gadis-gadis.

'Saya janji, saya takkan tinggalkan awak.'

▪️▪️▪️▪️▪️

Through Our Metaphysics ✔Where stories live. Discover now