57 | 'Manifesto' Ala Shauqi

2 2 0
                                    

MEGAPHONE dipegang dengan erat bersama sepanduk yang berbaris tersusun dibelakang Shauqi. Lelaki itu dengan bangganya berdiri diatas pentas kecil yang berada dihadapan fakulti undang-undang. Matanya tajam memerhatikan kelibat pelajar-pelajar yang keluar dan masuk dari bangunan fakulti tersebut.

"Mana perempuan tu? Aku nak tunjuk dekat dia ni!" getus Shauqi. Dia bercekak pinggang seperti seorang pengetua sekolah yang memerhatikan anak muridnya masuk kedalam sekolah. Dia langsung tidak senang duduk apabila sasarannya langsung tidak muncul.

"Kau lupakan sajelah niat kau nak berparti dekat sini. Aku rasa dia takkan turun nak tengok punya. Tak pun, dia dah guna jalan lain sebab tahu kau dah buat road block untuk manifesto kau ni." getus Airil. Dia pun tidak mampu menahan teriknya mentari apabila terpaksa menjadi balaci Shauqi dalam manifestonya menentang Fatin.

Dia lagilah teruk keadaannya. Kadang-kala terpaksa terkejar-kejar menjadi pemandu tidak berbayar Damia. Kemudian, Shauqi pula telefon untuk membantunya dalam hal yang sungguh tidak masuk akal ini! Sekurang-kurangnya, bayarlah gaji!

"Eh, kau diam boleh tak. Kau bukannya nak meredakan sakit hati aku ni, kau hanya menambahkan lagi rasa serabut aku." Shauqi membalas dengan jelingan.

"Betul apa yang aku cakap, kan? Kau beria-ria nak buat benda alah ni sebab kau nak cari penyokong masa kau lawan kuiz dengan dia nanti kan? Tak payahlah kau susah-susah buat, dah memang kaulah orang yang paling ramai fans nanti." Airil berkata.

"Aku tak risau pasal tu pun! Sebab aku tahulah, perempuan kolot macam tu manalah popular dalam universiti ni. Entah-entah kuman pun tak kenal dia tahu." ejek Shauqi.

"Dah tu? Kenapa beria sangat kau nak buat macam ni?" soal Airil, bosan. Dah berlecak ketiaknya kerana berteduh dibawah mentari.

"Aku nak cabar dan malukan dia depan orang ramai." tekad Shauqi.

Airil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Rasa nak tergelak pula melihat gaya Shauqi yang semakin tidak keruan sejak dimalukan dihadapan begitu ramai pelajar jurusan undang-undang yang berada dalam auditorium tempoh hari.

Para junior yang jelas dibayar oleh Shauqi untuk menjadi penyokongnya itu turut berusaha menjerit nama Shauqi dengan mengangkat sepanduk setinggi-tingginya. Dah macam nak tercabut ketiak masing-masing apabila terlalu lama mengangkat tangan.

"Korang buat apa ni? Angkat tinggi lagi! Biar nampak bulu-bulu ketiak pun tak apa! Baru maskulin!" tegas Shauqi berkata. Ewah, dia bolehlah cakap begitu bila dia sendiri pun tak mengangkat tangan selama 40 minit lamanya. Setakat angkat megaphone macam orang jual ikan, baik tutup sahaja mulut itu.

Airil hanya menggelengkan kepala. Dia dah sakit kepala melihat gaya Shauqi yang tidak ubah seperti kanak-kanak.

Gaya bossy Shauqi itu terhenti apabila dia ternampak kelibat Fatin yang sedang berjalan dengan Adi serta Damia menuju ke pagar kampus. Bergegas dia berlari mengejar langkah Fatin.

"Eh, perempuan!" panggil Shauqi. Hampa, Fatin tetap berjalan tanpa pedulikan Shauqi yang berlari gaya Hafiz Suip dalam MV-nya iaitu Awan Nano. Bezanya, Shauqi tidak mempunyai rambut keriting ala-ala awan.

Tercungap-cungap Shauqi mengejar langkah Fatin sehinggalah dia dapat mencapai beg sekolah Fatin. Hampir terdorong gadis itu kebelakang apabila ditarik dengan kasar.

"Ish, apa tarik-tarik beg orang ni?! Awak tak ada beg ke?" getus Fatin. Dia membetulkan tali begnya yang jatuh melorot dibahunya. 

"Beria aku panggil kau dari jauh, kau buat pekak saje?" soal Shauqi, bengang.

"Awak tak panggil nama saya pun, kenapa pula saya nak menyahut?" soal Fatin kembali dalam nada yang sinis. Dia berpeluk tubuh sambil merenung wajah Shauqi dengan tajam.

Through Our Metaphysics ✔Where stories live. Discover now