20 | Dua Perangkap

4 1 0
                                    

AUDITORIUM sangat sunyi dengan semua penonton yang fokus memerhatikan pelajar yang sibuk berdebat di meja persidangan. Juri-juri pula sibuk mengira dan mengutip markah berdasarkan kecemerlangan hujah dari setiap pedebat yang bertanding. 

Pemarkahan diambil kira isi mereka, strategi dalam mencelah iaitu point of information , gaya mereka menyampaikan hujah dan terakhir sekali adalah bahasa formal dan panggilan rasmi yang digunakan. Individu yang menjaga masa pula akan membunyikan loceng untuk memperingati setiap peserta tempoh untuk mereka berhujah.

Fatin menjadi serba tidak kena ketika menyampaikan hujahnya. Meskipun sudah berlatih berkali-kali bersama dengan ahli kumpulan yang lain namun, dia masih lagi kerap terlupa akan elemen penting yang diambil kira oleh juri. Ini semua bahana kerana tidak hadir hari terakhir latihan mereka. Makanya, dia menjadi serba salah kerana menipu demi Shauqi.

Pertandingan menjadi sangat sukar apabila dia tidak bersedia dengan segala bahan bacaan dan informasi yang diambil dari internet serta perpustakaan. Bayangkanlah, hari sebelumnya Shauqi membawa dia ke pusat membeli-belah secara tiba-tiba sehingga dia terlepas latihan. Kemudian semalam, dia kerap diganggu oleh Shauqi dengan mesej tanpa henti serta panggilan-panggilan yang tidak penting langsung!

Bayangkanlah, Shauqi kerap mesej dirinya hanya untuk beritahu yang dia sedang mabuk cinta dan merindukan Fatin sangat-sangat. Apa punya alasan dan jawapan itu?

"Baiklah, setelah pemarkahan dan keputusan Dipertuan Dewan... maka kami bersetuju untuk melanjutkan usul pihak pembangkang-"

Setelah keputusan diumumkan, secara rasminya, kumpulan Fatin kalah kepada pihak kerajaan. Kemudian, mereka bersalaman kepada pihak lawan sebelum membawa diri keluar dari auditorium.

"Korang, aku nak minta maaf sebab aku jadi punca kumpulan kita kalah." kata Fatin. Dia hanya mampu tunduk memandang lantai yang memantulkan wajahnya semula. Jelas di riak wajahnya yang dia sangat kecewa dengan diri sendiri. Prestasinya merudum dan merosot teruk!

Irdina memegang bahu Fatin untuk menenteramkan kawan mereka itu dari segala gundah-gulana, "Kau janganlah risau. Adat pertandingan memanglah macam tu, ada menang dan kalah. Ada turun dan naik. Kau janganlah salahkan diri kau."

"Betul. Apa pun, kumpulan kita tetap survive sampai semi-final kan? Itupun dah gempak!" sahut Murni sambil menunjukkan thumbs up kepada Fatin untuk menyalurkan semangat.

"Kau janganlah risau sangat, kita pun dapat markah juga." tambah Alisa pula.

Fatin membalas dengan senyuman. Nasib baik mereka jenis boleh dibawa berbincang. Semuanya berjalan dengan penuh cabaran namun tetap mereka boleh hadapi dengan cara baik.

"Awak! Sayang!" panggil satu suara. 

Fatin cukup kenal dengan suara itu. Pantas dia menoleh dan dia melihat Shauqi sedang berlari penuh semangat kearahnya. Nampaknya, jejaka itu baru sahaja selesai dengan latihan bola keranjang melihatkan dari pakaian dan peluh yang merenik didahinya.

"Sayang?" soal Irdina sambil menjungkitkan kening penuh kemusykilan.

Fatin tidak mampu berkata apa-apa melainkan tersenyum nipis apabila mendengarkan panggilan Shauqi itu. Keliru pula dia melihat gaya Shauqi yang tiba-tiba sahaja berani untuk mendedahkan hubungan mereka. Sedangkan, sebelum ini dia yang beria-ria hendak menyembunyikan segalanya.

Fatin menyambut Shauqi dengan sebuah senyuman, "Ada apa awak cari saya?"

Shauqi yang kelelahan berhenti berlari dan cuba untuk menarik nafasnya. Kemudian, dari dalam poket seluar, dia mengeluarkan sebuah kotak yang berisi seutas rantai gangsa. Rantai itu ringkas sahaja dan sesuai untuk Fatin yang sememangnya tidak sukakan barang kemas yang sarat bersama batu-batu yang besar.

Through Our Metaphysics ✔Where stories live. Discover now