SEPERTI biasa sebaik sahaja selesai dengan pertandingan, pasti Airil akan pulang untuk melihat Damia. Tan Sri Naim sudah berbuih mulut menegah jejaka itu dari terus buat begitu, takut nanti dia yang kelam-kabut untuk bersiap-sedia dengan pertandingannya. Namun, bagai mencurah air ke daun keladi... itu memang sesuai untuk mengklasifikasikan sikap Airil ketika ini. Lalu, Tan Sri Naim membenarkan sahaja Airil dengan dunianya. Lagipula, esok adalah pembedahan Damia.
Setelah mendapat kebenaran Tan Sri Naim, Airil masuk kedalam wad Damia. Seperti biasa, gadis itu akan terbaring sahaja diatas katil. Kali ini, Damia nampak lebih lemah daripada biasa. Kata Tan Sri Naim, Damia lebih gemar tidur sahaja. Katanya itu dapat meredakan sakit kepalanya.
Airil semakin risau. Sudahlah esok adalah pembedahan Damia, bertindih pula dengan pertandingannya. Itu menambahkan lagi resah dalam hati Airil.
Jam sudah menginjak ke angka dua pagi, namun Airil kekal berjaga. Matanya tidak lepas dari merenung wajah Damia yang masih tidak sedarkan diri. Dia melihat cara Damia bernafas, perlahan sahaja. Malah, denyutan jantung yang terpapar pada skrin mesin hayat turut sama menunjukkan keadaan Damia yang semakin lemah. Lambat sungguh denyut jantung Damia berdenyut. Setiap garisan yang terukir pasti ada jarak diantaranya.
Keluarga Damia semestinya ada memandangkan esok adalah hari penting. Namun, mereka memberi ruang buat Airil kerana waktu malam sahajalah masa yang ada untuk dia luangkan masa dengan Damia. Fatin turut sama menghadirkan diri. Dia terlentok tidur pada bahagian kiri katil Damia. Erat juga Fatin memegang tangan Damia.
Cuma Airil sahaja yang tidak tidur. Matanya tidak mengantuk. Perasaan risau jauh lebih tinggi berbanding kantuk dan penatnya.
Dan secara tiba-tiba Damia membuka matanya perlahan-lahan. Airil yang menyedari laju sahaja tegakkan badan yang elok bersandar pada kerusi tadi.
"Kenapa, Damia? Kau haus ke? Sakit kat mana-mana ke?" soal Airil bertubi-tubi. Cemas namun dia tetap dapat mengawal oktaf suaranya.
Damia menggeleng perlahan, "Aku okey. Kau buat apa dekat sini? Esok ada pertandingan akhir kan?" Damia menyoal dan menambahkan lagi rasa cemasnya apabila melihat jam sudah menginjak ke angka dua namun Airil tidak juga tidur. Matanya segar-bugar.
"Aku nak teman kau masuk dewan bedah." balas Airil, ringkas. Mata Airil merenung anak mata Damia dengan begitu dalam. Jelas kerisauan dalam matanya.
"Kalau ya pun, asal tak tidur? Kau tak mengantuk ke? Nanti hilang fokus macam mana?" Damia menyoal.
"Kenapa kau risaukan diri aku ni? Aku okey saje, Damia. Aku dah biasa dah tidur lambat. Kau patut ambil kisah tentang diri kau. Dengan tak makannya..." kata Airil. Dia cakna dengan pesanan doktor yang berharap agar Damia berpuasa makanan untuk beberapa jam demi mengelakkan dari sebarang komplikasi ketika pembedahan kelak. Jadi, Damia cuma boleh minum, minum dan minum sahaja.
"Aku nak tengok kau lawan." kata Damia.
"Nanti aku mintak coach rakam aku. Orang lain dapat rakam jauh-jauh, kan? Untuk kau, dari tempat VIP aku minta coach rakamkan." seloroh Airil.
Tiub pernafasan itu bergerak-gerak apabila Damia ketawa. Dia berhati-hati agar tidak mengejutkan Fatin. Sudahlah gadis itu asyik menangis-nangis setelah memberitahu perihal nenek yang telah meninggal dunia. Jujur, Damia sememangnya terkejut. Kawan baiknya itu menguruskan segalanya sendiri tanpa memberitahu Damia. Damia faham, Fatin bukan jenis meminta-minta dan dia tidaklah begitu susah sampai tak mampu untuk uruskan pengebumian nenek sendiri. Ditambah lagi dengan isu Tan Sri Iman dengan kes neneknya, tersedu-sedu Fatin menangis tadi. Kini, biarlah dia rehat sepenuhnya.
"Aku janji aku akan menangkan pingat tu untuk kau. Kau kena tengok tau! Kau kena tengok pingat tu, kau kena tengok aku naik atas podium. Kau kena gembira dan celebrate dengan aku. Janji, tau? Aku tuntut janji kau tu." kata Airil.
YOU ARE READING
Through Our Metaphysics ✔
Narrativa generaleTale No. 2 : Through Our Metaphysics mengisahkan tentang enam watak berbeza yang melalui pahitnya kejujuran dan manisnya penipuan yang direka mereka sendiri. Through Metaphysics for a Second Chance mengetengahkan kisah diantara Shauqi dan Fatin yan...