"TAKKAN tak ada peluang kedua untuk saya tebus, prof? Saya janji, saya takkan sia-siakan tempoh pengajian saya lagi. Lagipun, saya buat semua tu memang ada sebab. Saya buat hal yang menyebabkan saya penjara tu demi keluarga saya. Jadi, tolonglah..." lirih Zahran merayu. Dia hanya mampu memandang kakinya sendiri ketika merayu dihadapan ketua pensyarah di fakulti universiti mereka itu.
Profesor Zainal hanya mengeluh berat, "Kalau saya ada kuasa yang lebih kuat, saya mesti akan tolong awak. Masalahnya sekarang ni, bukan saya yang keluarkan arahan tu. Saya faham awak buat semua tu demi keluarga awak tapi once awak dah ada rekod penjara, agak sukar untuk bersihkan nama awak dalam universiti."
Zahran pula meraup wajahnya dengan kasar, "Jadi, memang dah tak ada peluang untuk saya langsung ke?"
"Kami akan lihat macam mana keputusan rektor dalam menguruskan masalah awak ni. Buat masa ini, mungkin pihak rektor akan hantar surat gantung pengajian untuk awak. Jika ada sebarang perubahan, Insha-Allah kami akan telefon." Professor Zainal memberi jaminan kepada Zahran.
"Sementara saya digantung ni, saya memang tak dapat guna bilik saya langsung?" soal Zahran.
Professor Zainal menggeleng perlahan. Jika hendak difikir secara logik, kalau sudah digantung, memang asrama pun turut sama dirampas. Ini membuatkan Zahran kembali sakit kepala memikirkan alasan untuk diberikan kepada maknya.
Dia tahu yang dia perlu jujur dalam hal besar ini tapi dia tidak mahu membebankan maknya untuk fikir apa yang dia harus lakukan sepanjang tempoh gantung pengajian. Nak duduk dirumah sahaja, nampak sangat yang dia itu biawak hidup. Kalau dia bekerja pula, dia nak tinggal dimana untuk menunjukkan yang dia tinggal di'asrama' sedangkan dia berkeliaran mencari kerja?
Aish, sakit kepala!
"Tak apalah kalau macam tu, prof. Saya faham dan sebagai orang yang dijatuhkan hukuman, saya kena hormat keputusan yang diberi, betul tak? Elok lagi digantung daripada dibuang universiti." ucap Zahran.
Professor Zainal tidak mengangguk dan tidak juga dia menggeleng, "Awak bersabarlah, Zahran. Saya yakin ada hikmah untuk awak atas apa yang terjadi. Saya tahu kebolehan awak dalam pelajaran. Saya tahu prestasi awak macam mana bila sertai kokurikulum. Dan saya juga akan turut sama pertahankan awak dalam mesyuarat nanti."
Professor Zainal sudah lama menjadi pensyarah Zahran sejak dari semester satu lagi, mereka sudah kenal dan Zahran juga sering menjadi pembantunya ketika membuat kajian (research) untuk PhD-nya. Dia tahu Zahran memang seorang pelajar yang berkebolehan tinggi, namun mungkin kerana keadaan keluarga membuatkan dia bertindak agak jauh.
"Terima kasih, prof. Saya hargai usaha prof tu. Tapi, kalau kata rektor pun tak mampu nak terima saya, prof janganlah terlalu tekan diri prof untuk bantu saya. Ini masalah saya, biar saya yang sakit kepala fikirkannya. Okeylah, saya minta maaf sebab ambil masa prof. Saya pergi dulu." ucap Zahran, lembut.
Professor Zainal mengangguk memberi izin dan menghantar Zahran melalui pandangan matanya sahaja.
Sayang terlalu sayang, tempoh pengajian Zahran digantung bukanlah atas kehendak pihak para pensyarah. Tetapi, ia sememangnya datang dari pengarah yang lebih kuat kuasanya iaitu rektor. Siapalah dia nak membantah...?
"...Buat masa ini, mungkin pihak rektor akan hantar surat gantung pengajian untuk awak. Jika ada sebarang perubahan, Insha-Allah kami akan telefon."
Begitulah apa yang diperkatakan oleh Professor Zainal sebentar tadi. Sesungguhnya perkhabaran itu bukanlah suatu berita yang Zahran nantikan. Jika surat tersebut dihantar tepat ke rumahnya, sudah tentu mak akan baca. Sekali gus, mak akan sakit kepala untuk fikir cara nak merayu kepada pihak universiti pula.
YOU ARE READING
Through Our Metaphysics ✔
General FictionTale No. 2 : Through Our Metaphysics mengisahkan tentang enam watak berbeza yang melalui pahitnya kejujuran dan manisnya penipuan yang direka mereka sendiri. Through Metaphysics for a Second Chance mengetengahkan kisah diantara Shauqi dan Fatin yan...