Puan Maidah lihat pinggan Alayya yang sudah licin. Berselera gadis ini makan sarapannya, bermakna betullah sangkaan Puan Maidah, emosi Alayya beransur pulih.
"Layya, kerja Layya okay?" tanya Puan Maidah.
"Okay, sama macam selalu," jawab Alayya menggunakan jawapan selamat.
Kalau ikutkan, tidaklah begitu okay. Mana ada kerja yang okay sepanjang masa, nak pula tugas Alayya sekarang semakin berat. Kadang ada juga terlintas dalam fikiran, mahu berhenti. Tapi Alayya sedar diri, dia bukannya anak orang kaya mahupun ada harta sendiri. Jika tidak kerja, tak hiduplah Alayya di dunia.
"Hubungan dengan Ezzaq pun dah okay?" soalan kedua diajukan.
Alayya beri secangkir senyuman pada Puan Maidah. Gadis ini tahu yang Puan Maidah pasti akan bertanya soal Ezzaq.
"Okay." Alayya bertindak untuk menipu.
Okay apa? Mereka langsung tak berhubung sejak kes itu. 14 hari mereka tidak bersua muka, tidak saling mesej antara satu sama lain. Alayya diam, begitu juga dengan Ezzaq. Masing-masing sibuk dengan hidup sendiri.
"Dari senyuman Layya tu...umi rasa hubungan korang tak okay. Korang tak ada contact sesama sendiri sejak kejadian itu, kan?" Puan Maidah meneka.
Alayya termangu di tempat duduknya beberapa saat sebelum lambat-lambat mengangguk kepala.
"Ezzaq cerita?" Alayya ingin tahu, dari mana Puan Maidah dapat informasi ini, informasi yang tepat.
"Tak, Ezzaq tak cerita apa-apa pada umi. Umi pun tak tahu, apa yang dia buat sekarang. Naluri umi kuat mengatakan, korang langsung tak berhubung atau cuba perbaiki hubungan," jawab Puan Maidah.
"Baiki hubungan untuk apa, umi? Dulu, Ezzaq juga yang berkeras mahu hubungan kami ni renggang. Sekarang, Layya cuma makbulkan permintaan Ezzaq." Sempat pula Alayya memerli Ezzaq walaupun Alayya tahu, Ezzaq tidak akan dengar.
Puan Maidah geleng kepala.
"Kamu dengan baran dan keras kepala kamu, memang langsung tak dapat dipisahkan," kata Puan Maidah, seolah pasrah dengan tingkah Alayya.
Alayya hanya mencebik. Dia sudah biasa terima komen begitu tentang diri sendiri. Rasanya sudah lali yang teramat.
"Ezzaq mahu jaga batas dengan Layya kerana Layya adalah tunang orang masa tu. Ezzaq tak mahu timbulkan pergaduhan di antara kamu bertiga, sebab itu Ezzaq mengalah. Sama dengan perasaan dia. Ezzaq mengalah dengan perasaan sendiri, dia lebih rela abaikan perasaan dia demi lihat Layya bahagia dengan lelaki yang Layya suka"
"Ezzaq buat semuanya bersebab dan umi nampak, Ezzaq adalah seorang yang berfikiran panjang. Jika dia lakukan sesuatu, dia sudah fikir baik buruknya pada masa akan datang. Ezzaq tu baik, Layya." Sudah seperti memuji anak sendiri, berbakul-bakul kata bagus yang Puan Maidah beri pada Ezzaq.
YOU ARE READING
[C] CINTA YANG TIDAK TERGAPAI
ActionEzzaq Qayyum, Fayyad Hazim serta Alayya Dafeena merupakan sahabat baik di pusat jagaan anak yatim. Hubungan persahabatan yang terjalin sejak kecil membawa ketiga mereka layari kehidupan dewasa bersama, berjaya raih pekerjaan yang hebat pada mata mas...