Tangan Ezzaq Qayyum dan tok kadi sudah berjabat. Segala khutbah nikah yang Ezzaq dengari sebentar tadi sudah hilang, langsung tak tersemat dalam fikiran. Apa yang Ezzaq ingat sekarang cuma ayat akad nikah yang sempurna."Ezzaq Qayyum bin Ahmad Mifzal." Suara tua tok kadi itu jelas menyebut nama panjang Ezzaq.
"Saya." Ezzaq membalas sepatah.
"Aku nikahkan kau dengan Alayya Dafeena binti Daeez bersama mas kahwin sebanyak RM3,000 tunai"
"Aku terima nikahnya Alayya Dafeena binti Daeez bersama mas kahwin sebanyak RM3,000 tunai." Lancar, tiada cacat cela Ezzaq mengangkat akad. Sebutannya juga jelas, langsung tidak mengelirukan orang yang mendengar.
"Sah?"
"Sah"
"Sah?"
"Sah"
Ketika dua orang saksi yang disediakan pejabat agama memberi kata sah mereka, wajah tegang Ezzaq langsung berubah lega. Senyuman juga turut sama menghiasi wajah jejaka yang berusia 29 tahun ini.
Tangan di tadah untuk aminkan bacaan doa. Kepala Ezzaq hanya tertunduk memandang telapak tangan sendiri. Segala doa yang di baca oleh tok kadi, di aminkan dengan penuh serius oleh Ezzaq. Ezzaq mahu perkahwinannya bersama Alayya diberkati. Jika bukan di minta melalui doa, maka dengan cara apa lagi untuk peroleh berkah Tuhan?
Alayya yang duduk di sebelah Ezzaq sedari tadi hanya berdiam diri. Walaupun begitu, hati Alayya tidak setenang luarannya. Gelisah, takut, tidak percaya, kesal, semuanya ada bercampur aduk.
Tetapi, daripada ekor mata, Alayya dapat lihat betapa lebarnya senyuman pada wajah Ezzaq sekarang. Lelaki itu tidak main-main saat berkata dia ikhlas menjadi suami kerana lihat saja senyumannya, lebar seolah baru terima durian runtuh.
Bagi mengelak salah sangka orang pejabat agama, Alayya buat keputusan untuk turut tersenyum, menunjuk bahawa dirinya bahagia kerana berjaya menikah dengan Ezzaq Qayyum.
Sebaik penyerahan mas kahwin selesai. Ezzaq dan Alayya meminta izin secara baik untuk pulang. Bukan mereka berdua sahaja pasangan yang menikah di pejabat agama ini. Makin lama mereka di sini, makin lama penantian pasangan lain di luar.
Ucapan terima kasih sempat diberikan pada tok kadi serta kedua saksi yang tersedia. Inilah pernikahan kecil yang dipersetujui oleh Ezzaq dan Alayya. Menikah di pejabat agama, tanpa rakan mahupun keluarga, hanya ditemani sesama sendiri serta pekerja pejabat agama.
Orang lain mungkin kasihan pada pasangan ini tetapi Ezzaq dan Alayya yang memilih jalan mudah begini. Tidak membazir duit pada majlis, tidak menyinggung mana-mana pihak jika tidak diundang dan hanya fokus pada menghalalkan sebuah hubungan.
Alayya dan Ezzaq boloskan diri ke dalam kenderaan berjenama Proton milik Ezzaq. Penghawa dingin di buka sebelum Ezzaq capai satu beg kertas yang tergantung pada belakang kerusi Alayya.
YOU ARE READING
[C] CINTA YANG TIDAK TERGAPAI
ActionEzzaq Qayyum, Fayyad Hazim serta Alayya Dafeena merupakan sahabat baik di pusat jagaan anak yatim. Hubungan persahabatan yang terjalin sejak kecil membawa ketiga mereka layari kehidupan dewasa bersama, berjaya raih pekerjaan yang hebat pada mata mas...