Alayya Dafeena buka pintu rumah. Spontan, wajah seorang jejaka serta seorang wanita menerpa retina mata Alayya. Alayya tidak pernah jumpa mereka bermakna Alayya tidak kenal siapa gerangan dua orang yang sedang berdiri di hadapan rumahnya tika ini.
"Assalamualaikum," tegur si lelaki dengan baik.
Sang wanita hanya tarik senyum yang begitu mesra. Sementara lirikan mata sang lelaki seolah simpati benar pada Alayya sekarang.
"Waalaikumussalam." Suara Alayya dan kipas angin tiada beza. Kedua-duanya perlahan seolah tidak berbunyi langsung.
Daripada pakaian mereka berdua, Alayya seolah dapat teka mereka merupakan seorang peguam.
"Nama saya, Muhammad. Ini rakan saya, Ratna. Kami peguam yang di hantar oleh PDRM untuk berurusan dengan Puan Alayya. Puan Alayya ada masa untuk kami?" soal Muhammad terlebih dahulu.
"Berurusan soal apa ya?" Alayya mahukan kepastian dahulu.
"Soal duit pampasan daripada pihak PDRM," jawab Muhammad.
"Saya tak perlukan duit tu. Awak berdua boleh balik." Alayya mahu tutup pintu rumah tapi pantas sahaja Ratna menghalang.
"Puan... kami faham keadaan Puan. Kami tahu, Puan masih dalam fasa bersedih tetapi ini bukan duit ihsan, bukan duit derma, ia adalah pampasan yang wajib diberikan pada Puan dan kandungan Puan. Mungkin sekarang, Puan tak rasa Puan perlukan duit ini tetapi saat anak Puan lahir, kemungkinan duit ini banyak bantu Puan dalam uruskan pembesarannya." Ratna memujuk Alayya.
Ratna dan Muhammad sebenarnya tahu Alayya akan menolak. Kebanyakan mangsa yang kehilangan ahli keluarga tak mahu pun duit itu sebenarnya. Mereka cuma mahu berjumpa dengan ahli keluarga semula. Duit itu tidak melambangkan apa-apa buat seseorang yang sedang bersedih.
"Pandailah saya besarkan anak saya. Saya masih ada kudrat, saya masih ada tenaga. Tolong...jangan ganggu saya." Alayya memohon, dia tak mahu terima mana-mana tetamu sekarang ini. Baru satu minggu Ezzaq gugur tapi sudah terlalu banyak benda yang Alayya perlu uruskan. Otaknya sakit.
"Puan...sekurangnya beri kami terangkan dulu tentang perkara ini. Ada beberapa dokumen yang kami bawa untuk Puan lihat. Kemudian Puan boleh fikirkan sendiri sama ada Puan bersetuju ataupun tidak." Muhammad turut masuk campur.
Mereka berdua tidak boleh pulang dengan tangan kosong. Mahu kedua peguam ini di marah oleh atasan mereka kerana pergi dan pulang tanpa sebarang penyelesaian.
Alayya pejam mata. Nafas panjang di hela sebelum Alayya buka pintu rumah, benarkan keduanya masuk ke dalam.
"Terima kasih, Puan," ucap Ratna.
Muhammad membuntuti Ratna ke dalam rumah, lalu keduanya duduk di atas sofa ruang tamu yang tersedia.
"Awak berdua...mahu minum air sejuk atau air manis?" Alayya cuba untuk layan Ratna dan Muhammad layaknya seperti seorang tetamu.
YOU ARE READING
[C] CINTA YANG TIDAK TERGAPAI
ActionEzzaq Qayyum, Fayyad Hazim serta Alayya Dafeena merupakan sahabat baik di pusat jagaan anak yatim. Hubungan persahabatan yang terjalin sejak kecil membawa ketiga mereka layari kehidupan dewasa bersama, berjaya raih pekerjaan yang hebat pada mata mas...