36

7.9K 353 23
                                    

Alayya Dafeena berjalan masuk ke dalam bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya seorang diri. Sungguh anggun gadis ini mengambil langkah sehingga tiba di meja resepsi yang berada di lobi. Sekali pandang, Alayya terlihat seperti wanita berkelas dek kerana uniform SPRM yang tersarung pada tubuh langsing si wanita.

"Selamat pagi, boleh saya bantu?" anggota polis yang berjaga di meja resepsi ini menegur kehadiran Alayya dengan baik.

"Saya Pegawai Penyiasat SPRM. Saya ada janji temu dengan DSP Razaq daripada Jabatan Siasatan Jenayah"

"Saya akan cuba untuk hubungi DSP Razaq buat Puan. Sementara itu, Puan boleh ambil tempat duduk di ruang menunggu. Saya akan panggil Puan jika terima berita apa-apa daripada Jabatan Siasatan Jenayah." Lebar senyuman resepsi wanita ini, kenalah dengan tugasnya sebagai penyambut tetamu.

Alayya mengangguk sebelum ambil tempat berdekatan meja resepsi. Ruang menunggu ini tidaklah tertutup, masih terbuka tempatnya, berdekatan dengan pintu utama masuk dan keluar bangunan.

Alayya duduk tegak, memerhatikan orang yang lalu lalang di sini. Ia hanya dipenuhi oleh manusia yang berpakaian biru gelap. Apa boleh buat? Nama pun kunjungi Ibu Pejabat Polis.

Misha usap perut sendiri. Apa dirinya terlebih makan ke sehingga buat tubuh terasa malas saja ingin lakukan tugasan hari ini.

"Apa yang lambat sangat kau berjalan ni, Misha? Kita dah lambat tahu tak?" Athirah menegur Misha yang ketinggalan di belakang.

Mereka berdua baru sahaja pulang daripada sarapan pagi. Kalau ikutkan, masa yang mereka ambil sudah melebih satu jam. Kalau tidak naik segera, Athirah risau mereka akan dikenakan tindakan.

"Aku rasa tak sedap badanlah. Rasa malas sangat nak naik. Aku nak ambil MC la harini..." Misha usap tengkuk belakangnya sebelum kembali mengusap perut.

"Huh...alasan. Sebelum keluar makan pagi, kau elok aje. Kau tu tiba-tiba malas sebab Tuan Ezzaq tak ada kan harini? Sudah-sudahlah tu. Nasihat aku tak cukup lagi ke untuk buat kau sedar?" naik muak Athirah lihat tingkah obses si Misha ni. Misha bukannya tak tahu Ezzaq tu dah beristeri, siap tolak Misha berkali-kali lagi. Apalah yang di hadap sangat pada Ezzaq tu?

"Aku tak kacau dia okay. Aku cuma minat je, usha-usha sikit." Perlahan Misha membalas.

"Tak perlu usha sangatlah. Aku risau, kau tu yang kena usha dengan isteri Tuan." Athirah pandang ke arah satu tempat.

Apabila lihat Athirah tidak berkelip mata, Misha turut sama berpaling kepala, ingin tengok apa yang Athirah pandang.

Daripada jauh, Misha dapat lihat kelibat seorang wanita beruniform hitam, sedang duduk di meja menunggu, berhadapan kaunter resepsi. Sudah tentulah uniform itu bukan uniform PDRM kerana warnanya yang berbeza.

"Sudahlah, mari naik." Athirah tarik lengan Misha.

Mata Misha dikecilkan, ingin jelaskan pandangan agar dapat lihat muka si wanita dengan jelas.

"Itu bukan isteri Ezzaq ke?" Misha bertanya.

Perasaan menyesal mula terbit dalam hati Athirah. Tak sepatutnya Athirah pandang tempat yang sedang diduduki isteri Ezzaq sekarang.

"Oh...dia bukan polis? Aku ingat dia polis di jabatan lain." Suara Misha yang tidak bersemangat sebentar tadi langsung hilang, digantikan dengan nada yang agak lantang.

"Kenapa pun kalau dia bukan polis?" Athirah balas dengan persoalan lain.

"Maksudnya aku lebih bagus daripada dia. Takda istilah aku ni tak setaraf dengan dia." Misha tersenyum penuh makna.

Tangan langsung di rentap, melepaskan pegangan tangan Athirah pada lengan Misha. Athirah tidak sempat bertindak, kaki Misha sudah laju melangkah untuk dekati Alayya yang sedang berbual ringkas bersama anggota polis yang menjaga kaunter resepsi.

[C] CINTA YANG TIDAK TERGAPAIWhere stories live. Discover now